13 Jun 2015

Eksplorasi Keunikan Taman Kinabalu



KAWASAN tanah tinggi mempunyai pelbagai keistimewaan dan keunikan yang tidak terdapat di tempat lain. Ini kerana, selain alam semula jadi yang unik, tanah tinggi juga terkenal sebagai pusat pelancongan dengan kepelbagaian aktiviti yang menyeronokkan.

Antara kawasan tanah tinggi popular yang sering dikunjungi adalah Taman Negara Kinabalu. Bagi penggemar eksplorasi tanah tinggi dalam dan luar negara, taman ini menjadi kegilaan dengan tarikan alam semula jadi unik dan lain daripada lain.

Bagi yang belum pernah mengunjungi kawasan ini, Taman Negara Kinabalu merupakan titik permulaan atau pintu masuk ke Gunung Kinabalu. Oleh itu, misi pendakian Gunung Kinabalu akan bermula dari kawasan ini.


Terletak pada ketinggian 1,585 meter (m) dari paras laut, taman ini memiliki panorama indah dengan pemandangan hijau yang pastinya mengujakan pengunjung.

Taman ini meliputi kawasan seluas 754 kilometer (km) persegi dan merangkumi kawasan sekitar Gunung Kinabalu, Gunung Tambayukon dan kaki bukit. Dengan keluasan tersebut, tidak hairan jika ramai pelancong dalam dan luar negara menggelarkannya sebagai syurga rimba pergunungan.

Gunung-gunung ini memiliki sejarah geografi yang menarik dengan mengambil masa beribu-ribu tahun untuk terbentuk. Gunung Kinabalu yang tersergam indah sebenarnya adalah massif granit yang kemudiannya tembus dari kerak ke permukaan bumi.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Taman Negara Kinabalu ini telah diisytiharkan sebagai tapak warisan UNESCO. Oleh demikian habitat flora dan fauna yang terdapat sekitar kawasan ini dipelihara dengan sebaik mungkin.

Untuk sampai ke kawasan ini, para pengunjung akan melalui perjalanan selama satu jam 45 minit dari Kota Kinabalu menaiki bas. Selain menggunakan bas, pengunjung boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi atau kereta sewa yang turut disediakan di hotel-hotel terkemuka sekitar Kota Kinabalu.

Untuk masuk ke taman ini, kadar bayaran RM3 untuk dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak akan dikenakan. Bagi pelancong luar negara pula, golongan dewasa akan dikenakan caj kemasukan sebanyak RM15 dan RM10 untuk kanak-kanak. Kepada yang ingin melakukan pendakian Gunung Kinabalu, caj sebanyak RM120 dikenakan.


Keindahan alam semula jadi yang terdapat di Taman Negara Kinabalu adalah terpelihara dan diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO.


Kaya dengan flora dan fauna, taman ini turut menempatkan 5,000 hingga 6,000 spesis debunga dan tumbuh-tumbuhan unik yang tidak terdapat di negara lain.

Taman Negara Kinabalu adalah kawasan yang sering menjadi pilihan kepada pengunjung yang ingin mengalami suasana santai dengan dikelilingi flora fauna yang cukup mengagumkan. Kepada yang ingin tinggal lebih lama di sini, penginapan dengan harga cukup berpatutan banyak disediakan di sini.

Pengunjung boleh memilih untuk menginap di asrama khas yang disediakan di sini seperti Kinabalu Mountain Lodge yang terletak kira-kira 3 km dari taman tersebut. Bayaran penginapan adalah antara RM30 hingga RM140.

Bercakap tentang keunikan flora dan fauna, taman ini padat dengan habitat yang unik dan terpelihara. Kajian membuktikan Taman Negara Kinabalu adalah antara kawasan paling kaya dengan khazanah alam di muka bumi ini.

Selain pelancong dalam dan luar negara, kawasan ini juga turut terkenal dalam kalangan ahli sains dan pengkaji flora dan fauna. Apa tidaknya, dianggarkan sebanyak 5,000 hingga 6,000 spesis tumbuhan terdapat di sini yang mana ada di antaranya tidak terdapat di negara lain.

Selain pendakian gunung, pengunjung berpeluang menghayati keindahan alam secara lebih mendalam dengan aktiviti lalu kanopi yang turut disediakan di sini. Dengan cara ini, sesiapa sahaja dapat melihat sendiri keunikan flora dan fauna seperti keindahan bunga spesis bunga terbesar dunia iaitu Rafflesia.

Sesungguhnya Taman Negara Kinabalu memiliki banyak keistimewaan yang menanti para pengunjung untuk diterokai. Kepada mereka yang gemarkan ekplorasi alam semula jadi, tidak perlu mengembara jauh ke negara orang kerana taman ini sudah cukup memuaskan hati pengunjung yang bertandang ke sini.

Artikel oleh: TOURISM MALAYSIA.
Sumber: Utusan

0 comments: