14 Jun 2015
Gempa Bumi ~ Pembebasan Tenaga Menggegarkan Bumi
BUNYI hentakan kuat pada pukul 7.15 pagi akibat kepala katil yang berlaga di dinding secara tiba-tiba mengejutkan seorang pemuda yang sedang bersiap-siap ke tempat kerja. Lantai rumah pangsapuri yang didiami oleh Mohd. Nazir Ismail, 26, terasa bergegar.
Malah ketika matanya tertancap pada meja solek dan barangan yang terdapat di dalam biliknya, semuanya bergerak seperti ada satu daya yang menolak.
Gegaran yang berlangsung kira-kira lapan saat menyebabkan dia terfikir kemungkinan ada sesuatu yang buruk sedang berlaku.
Terkejut dengan situasi tersebut, pemuda yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Papar, Sabah itu terus bergegas keluar dari bangunan setinggi empat tingkat yang didiaminya.
Menurut Mohd. Nazir, sebelum ini dia pernah merasai gegaran atau pergerakan bumi akibat gempa bumi yang berlaku di negara jiran seperti Filipina dan Indonesia, namun kekuatannya tidak sama seperti pagi Jumaat pada 5 Jun, 2015 tersebut.
KEMAJUAN teknologi sedia ada perlu ditingkatkan untuk mengesan kejadian gempa bumi lebih awal.
Gelombang
"Gegarannya lebih kuat kerana katil di dalam bilik saya bergerak lalu melanggar dinding.
"Saya rasa tidak selamat berada di dalam rumah lantas bergegas keluar dari bangunan tersebut," kata Mohd. Nazir yang turut melihat jiran-jirannya sudah berkumpul di luar bangunan pangsapuri.
Hasil perbualannya dengan jiran-jiran, barulah dia tahu bahawa Ranau dilanda gempa yang menyebabkan ribuan penduduk di Sabah turut mengalami gegaran.
Dari segi geologi, gempa bumi merupakan satu proses semula jadi. Lazimnya, ia mengakibatkan perubahan pada permukaan bumi seperti jatuhan batuan dan tanah runtuh, peningkatan atau penurunan permukaan bumi.
Menurut Pensyarah Geologi Universiti Malaya, Prof. Dr. John Kuna Raj, gegaran yang dirasai seseorang ketika berlakunya gempa bumi disebabkan gelombang seismos yang bergerak di dalam dan permukaan bumi.
Jelasnya, gelombang itu terhasil apabila berlaku geseran akibat pergerakan plat tektonik pada satu tempoh tertentu melibatkan dua keping tektonik di bahagian tengahnya terdapat sempadan.
Bagi pergerakan plat, Kuna Raj memberitahu, dalam setahun jarak pergerakan berlaku sekitar 2.5 sentimer. Proses ini mengambil masa puluhan tahun untuk mengumpulkan tenaga sebelum dibebaskan dalam bentuk gelombang.
"Pergerakan ini akan menghasilkan tenaga yang lama-kelamaan terkumpul. Pada satu tahap, ia akan dibebaskan sebagai haba atau gelombang iaitu gelombang seismos.
"Secara hipotesis, pembebasan tenaga menyebabkan gempa bumi. Semakin lama masa dikumpulkan, semakin banyak tenaga tersimpan. Jika tenaga yang dikumpul banyak, maka lebih besar kekuatan gempa bumi yang berlaku," terangnya ketika ditemui di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fenomena yang sama juga berlaku apabila bongkah-bongkah batuan bergerak dalam arah bertentangan. Sempadan antara bongkah tersebut biasanya dikenali sebagai sesar dan gempa bumi juga wujud apabila alihan berlaku antara bongkah-bongkah batuan tersebut.
Biasanya, tempoh yang dikumpulkan untuk terjadinya gempa bumi adalah 20 tahun dan ke atas. Semakin lama jarak masa, semakin kuat tenaga yang dihasilkan semasa gempa bumi berlaku.
Beliau menambah, jika zon terlibat lebih kecil dan tempoh masa dikumpulkan lebih lama, magnitud gempa bumi yang berlaku lebih besar seperti di Nepal baru-baru ini. Tenaga gempa itu difahamkan telah tersimpan selama lapan dekad.
Kongsi pensyarah tersebut, gelombang seismos yang wujud semasa gempa bumi berlaku dibahagikan kepada tiga iaitu gelombang P, S, dan gelombang permukaan.
Gelombang P dan S biasanya wujud di kawasan 50 kilometer (km) dari permukaan bumi manakala gelombang permukaan pula terdapat di sekitar kawasan permukaan bumi sehingga 20km ke dalam.
SEISMOMETER digunakan untuk mengukur kekuatan gempa bumi yang berlaku.
Struktur bumi
Kesan daripada pengaliran gelombang P dapat dilihat dengan pergerakan objek kecil seperti botol atau bekas makanan yang diletakkan di atas meja. Gelombang S pula boleh menyebabkan gerakan bangunan dan lebih kuat berbanding P.
"Bagaimanapun, gelombang permukaan lebih besar dan ketara kesannya seperti berlaku rekahan pada permukaan bumi atau runtuhan bangunan. Dalam kejadian gempa bumi, gelombang P akan dirasa dahulu sebelum ketibaan gelombang S dan permukaan.
"Semasa kejadian gempa bumi, gelombang S dan permukaan memberi kesan kepada struktur kejuruteraan kerana amplitud gelombang adalah tinggi"," ujarnya.
Menyentuh tentang pergerakan plat tektonik, Kuna Raj berkata, pergerakannya akan menyebabkan pertembungan atau geseran berlaku sama ada keping lautan dan keping benua atau keping benua dan keping benua bergesel.
Dari segi sifat, keping benua lebih ringan berbanding keping lautan. Keadaan ini menyebabkan kepingan benua akan timbul jika berlaku pertembungan. Kepingan lautan pula biasanya akan bergerak ke bawah. Dalam pergerakan tersebut, kedua-dua kepingan tersebut dipisahkan oleh sempadan yang terdapat tenaga di tengah-tengah pergerakan. Misalnya, kepingan Eurosian dan kepingan Australia dipisahkan oleh lautan yang sangat dalam di Laut Sumatera.
"Bagi kedua-dua pergerakan kepingan, kesan yang terhasil adalah sama iaitu menyebabkan satu plat bergerak ke atas manakala satu lagi akan bergerak ke bawah, namun jika pertembungan berlaku di lautan, magnitud gegaran adalah tinggi kerana sempadannya lebih panjang seperti yang berlaku ketika kejadian tsunami 2004.
"Magnitud yang direkodkan dalam kejadian tersebut ialah 8.2 skala Ritcher melibatkan zon sepanjang 1,200km," jelas Kuna Raj.
Gempa bumi yang berlaku di dasar laut itu menyebabkan wujud gelombang merangsang pembentukan ombak besar tsunami turut menjejaskan Semenanjung Malaysia.
PERGERAKAN dan kedudukan gelombang dalam bumi ketika kejadian gempa bumi.
Tanda
Mengulas mengenai tanda-tanda awal gempa bumi, Kuna Raj berkata, ia tidak dapat dikenal pasti sebaliknya hanya dapat dikesan selepas berlaku pergerakan. Jadi, kawasan yang berhampiran pusat gegaran akan turut merasai pergerakan.
Kawasan Lingkaran Api Pasifik mempengaruhi kejadian gempa bumi, namun jika sesebuah negara terletak jauh dari kawasan tersebut tidak semestinya ia terhindar daripada bencana alam berkenaan.
Sementara itu, menurut Pakar Geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan, aktiviti manusia juga menyumbang kepada kejadian geobencana tersebut.
Walaupun secara dasarnya geobencana berlaku secara semula jadi akibat proses dalam perut bumi, namun aktiviti manusia mempercepatkan proses berkenaan malah semua tempat berisiko untuk mendapat bencana itu.
Memetik peribahasa Inggeris, what goes up must come down, Mohamad Ali berkata, kerakusan manusia meneroka alam menyebabkan bumi tidak tertanggung bebannya.
Jelasnya, Allah telah menjadikan alam dengan permukaan bumi terdapat gunung-ganang, tumbuh-tumbuhan dan manusia dengan penuh kesempurnaan untuk saling bergantung hidup dan mewujudkan keseimbangan alam.
"Manusia bertugas sebagai khalifah yang bertanggungjawab menjaga ketertiban dan kesempurnaan dunia. Namun, kerakusan perut bumi dikorek, bukit ditarah dan pokok ditebang akhirnya memberi kesan kepada bumi dengan kewujudan bencana seperti gempa bumi dan cuaca yang ekstrem.
"Alam yang dijadikan dengan kestabilan mula menyesuaikan diri untuk menerima kerosakan dan bebanan yang dilakukan oleh manusia. Lama-kelamaan, berlakulah isostatik equilibrium yang merujuk kepada proses bumi membebaskan bebanan yang terkumpul," terangnya menegaskan manusia perlu menjaga hubungan dengan Allah, manusia dan alam.
Tegas Mohamad Ali, kejadian tersebut tidak boleh dikekang namun prosesnya boleh dilambatkan dengan pengurusan dan koordinasi alam yang baik.
"Manusia perlu tahu bahawa bumi juga bernyawa dan mengerti dengan baik kewujudan alam ini," tuturnya penuh makna.
Sumber: Kosmo
Labels:
Alam Ciptaan Allah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan