03 Januari 2021

MAAF ..... TIADA ENTRI BARU.

Related image

Adalah dimaklumkan pemilik blog kini sedang berehat daripada kerja-kerja mengurus dan mengemaskini blog ini.

InsyaAllah, suatu masa nanti jika ada kesempatan dan tahap kerajinan yang tinggi saya akan kembali berblog.

Terima kasih kepada para pengunjung yang sudi hadir untuk melawat sambil berkongsi ilmu yang dikongsi di blog ini.

27 Disember 2020

DOA KHATAM AL-QURAN

 Doa Khatam Al-Quran 


بِسْـــــمِ آللهِ آلرَّحْمٰنِ آلرَّحِيـمِ

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالِمِينَ. حَمْدًا شَاكِرِينَ. وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ. وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِنَا مُحَمَّدٍ وَءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

اَللَّهُمَّ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. وَتُبْ عَلَيْنا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ. وَاهْدِنَا وَوَفِّقْنَا إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمِ. بِبَرَكَةِ الْقُرْءآنِ الْعَظِيْمِ. اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا بِالقُرْءَانِ. وَاجْعَلْهُ لَنَا إِمَامًا وَنًورًا وَهُدًا وَرَحْمَةً. اللَّهُمَّ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نَسِينَا. وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا. وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ ءَانَآءَ الَّيْلِ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ. وَاجْعَلْهُ لَنَا حُجَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

اَللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِيْنَةِ الْقُرْءَانِ. وَأَكْرِمْنَا بِكَرَامَةِ الْقُرْءَانِوَشَرِّفْنَا بِشَرَافَةِ الْقُرْءَانِ. وَأَلْبِسْنَا بِخِلْعَةِ الْقُرْءَانِ. وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ بِشَفَاعَةِ الْقُرْءَانِ. وَعَافِنَا مِنْ كُلِّ بَلَآءِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْأَخِرَةِ بِحُرْمَةِ الْقُرْءَانِ.

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْءَانَ لَنَا فِى الدُّنْيَا قَرِيْنًا. وَفِي الْقَبْرِ مُؤْنِسًا. وَفِى الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا. وَعَلَى الصِّراطِ نُوْرًا. وَإِلَى الْجَنَّةِ رَفِيْقًا. وَمِنَ النَّارِ سِتْرًا وَحِجَابًا. وَإِلَى الْخَيْرتِ كُلِّهَا دَلِيْلاً وَإِمَامًا. بِفَضْلِكَ وَجُوْدِكَ وَكَرَمِكَ يَا كَرِيْمُ.

اَللَّهُمَّ اهْدِنَا بِهَدَايَةِ الْقُرْءَانِ. وَنَجِّنَا مِنَ النِّيْرَانِ بِكَرَامَةِ الْقُرْءَانِ. وَارْفَعْ دَرَجَاتِنَا بِفَضِيلَةِ الْقُرْءَانِ. وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا بِتِلَاوَةِ الْقُرْءَانِ. يَا ذَا الْفَضْلِ وَالْإِحْسَانِ.

رَبَّنَا ءَاتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار .وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ. سُبْحنَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ. وَسَلمٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ. وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالِمِيْنَ.


Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam, pujian orang-orang yang bersyukur dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Dan selawat dan salam ke atas rasul kita Muhammad dan juga ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.

Ya Allah, Tuhan kami terimalah doa kami dan amalan kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Yang Maha Mengetahui. Dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Mengasihi. Tunjuki dan bimbinglah kami kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus dengan berkat al-Quran. Ya Allah, kasihanilah kami dengan berkat al-Quran, dan jadikannya sebagai pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah, ingtkanlah kami apa yang telah kami lupa dari al-Quran, dan ajarlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi al-Quran, dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu-waktu malam dan siang, dan jadikanlah al-Quran itu sebagai hujah untuk kami. Wahai Tuhan pemelihara sekalian alam.

Ya Allah, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran, muliakan kami dengan kemuliaan al-Quran, dan serikan kami dengan ketinggian martabat al-Quran, dan pakaikan kami dengan pakaian permata al-Quran, masukkan kami ke dalam syurga dengan syafaat al-Quran, selamatkan kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan al-Quran.

Ya Allah, jadikanlah al-Quran semasa hidup kami di dunia sebagai rakan dan di dalam kubur sebagai kawan yang mesra, pada hari kiamat sebagai pembantu, sebagai cahaya penyuluh, semasa menuju ke syurga sebagai teman, dan sebagai penghadang dan pendinding dari api neraka, dan jadikanlah al-Quran untuk kami sebagai panduan dan ikutan kepada segala kebaikan, dengan limpah kurnia, kemurahan dan kemuliaan-Mu jua ya Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, tunjukilah kami dengan petunjuk al-Quran, selamatkanlah kami daripada api neraka dengan sebab kemuliaan al-Quran, tinggikanlah darjat martabat kami dengan sebab kelebihan al-Quran, dan hapuskanlah dosa kejahatan kami dengan sebab membaca al-Quran, ya Allah, Tuhan Yang Empunya segala macam kelebihan dan ehsan. Wahai Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka.

Allah mencucuri rahmat dan salam sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Maha Suci Tuhanmu, Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan dari apa yang mereka katakan dan selamat sejahtera kepada sekalian rasul. Dan segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

06 November 2020

DOA AL-MATHURAT


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami lidah yang lembut basah kerana mengingati dan menyebut nama-Mu, hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-Mu dan tubuh badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-Mu.

Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang berguna, keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah, kurniakanlah kami cara hidup (Din) yang jitu dan unggul, selamat daripada segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon, ya Allah, kecukupan daripada segalanya sehingga tidak sampai kami terpaksa meminta-minta daripada orang lain. Berikanlah kami, ya Allah, iman yang sebenar-benarnya sehingga kami tidak lagi gentar, mengharap dan menyembah selain daripada-Mu. 


Kembangkanlah naungan rahmat-Mu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami. Janganlah, ya Allah, Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri walaupun kadar sekelip mata sekalipun atau kadar masa yang lebih singkat dari itu, ya Allah, ya Tuhan kami, Engkau Tuhan yang Maha Memperkenankan segala permintaan.

Selawat dan restu-Mu untuk Junjungan kami Muhammad SAW, Nabi yang mulia, dan kepada keluarga Baginda dan para sahabat Baginda seluruhnya.

09 Disember 2018

Fakta Sejarah Tak Wajar Dimanipulasi Mengikut Kepentingan Pihak Tertentu


Edmund Burke (1729-1797) dan George Santayana (1863-1952), berkata bahawa “seseorang yang tidak belajar daripada sejarah akan ditakdirkan mengulangi kesilapan lalu”.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menulis melalui blognya bahawa hasil daripada mata pelajaran sejarah menjadikan masyarakat lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah. 

Mengikut Dr Mahatir, “kita telah belajar daripada pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian daripada sejarah”.

Dalam konteks undang-undang, ini disebut sebagai stare decisis iaitu keputusan mahkamah yang dahulu diambil sebagai petunjuk dalam memutuskan kes yang kemudian. Secara am, sekiranya fakta sama, maka keputusan kes yang dahulu akan mengikat mahkamah untuk membuat keputusan dalam kes baharu.

Sejarah mempunyai tujuan mulia

Sementara Ibnu Khaldun melalui karya tersohornya, Muqaddimah pula menyatakan, sejarah memiliki fungsi besar dan tujuan mulia.

Hal ini disebabkan melalui sejarah, kita dapat mengenal asal keadaan bangsa terdahulu dari sudut tamadun, moral, akhlak, budaya, pentadbiran, dan tokoh yang berjasa.

Tegasnya, sejarah adalah ‘riwayat hidup manusia dan negara’ melalui pelbagai peristiwa yang berlaku dan menjadi panduan untuk membina masa depan lebih baik.

Fakta sejarah

Terbitnya buku berjudul Billion Dollar Whale, karya Tom Wright, wartawan Wall Street Journal menandakan skandal kewangan ini merentas sempadan dan bersifat global.

Jika dikaitkan dengan pandangan Loepord von Ranke (1795-1886), isu ini cuba diangkat ke taraf wie es eigentlich gewesen (seperti sebenarnya berlaku) melalui hasrat Wright untuk membawa kisah itu dalam filem.

dalam sejarah China, pencatat istana, Su ma Chin dan anaknya Su ma Hwa menulis mengenai kelemahan dan kelebihan Raja terdahulu dan meninggalkan penulisan itu untuk maharaja seterusnya, agar tidak mengulangi kesilapan sama.

Masyarakat dan generasi seterusnya berhak mengetahui pelbagai fakta sejarah negaranya sejak berada dibangku sekolah lagi.

Apabila wujud dalam subtopik dalam sukatan Sejarah, tidak perlu lagi pelajar bergantung kepada jurnal yang kebanyakannya hanya disimpan di perpustakaan universiti. Di sinilah terletak kebolehan pelajar menilai sesuatu isu berkaitan sejarah negara yang selama ini hanya menghidangkan watak hero dalam kepemimpinan negara.

Untuk memasukkannya sebagai silibus Sejarah bukan sesuatu yang mudah kerana ia membabitkan pengadilan moral. Tokoh sejarah seperti Andrian Oldfield dan Qassim Ahmad mengaitkan pengadilan moral sebagai tindakan menjatuhkan hukuman dan penilaian terhadap peristiwa sejarah dan pelaku yang terbabit, sama ada berbentuk pujian atau kutukan.

Justeru, Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan mesti membuat penelitian dan kajian secara mendalam. Pelbagai aspek membabitkan kesan baik dan buruk terhadap perkembangan minda pelajar perlu diambil kira.

Perkara yang perlu dielakkan kesan daripada penulisan sejarah adalah kewujudan generasi yang membenci dan mencaci kepemimpinan negara, pada hal pemimpin berkenaan banyak jasanya kepada rakyat.

Kita perlu mengelak daripada menanam budaya mencari salah dan menuding jari dalam kalangan pelajar. Sebaliknya, didiklah mereka agar ‘menghargai sembilan kebaikan, bukan menghukum akibat satu kesilapan’.

Hakikatnya, pemimpin ialah insan yang tidak lekang daripada kesilapan. Sejarah memaparkan pelbagai kelemahan kepemimpinan terdahulu. Kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis pada 1511 dikaitkan dengan kelemahan pemimpin. Ketidakupayaan pembesar dan pejuang Melayu menentang pelbagai sistem pentadbiran diperkenalkan pihak British di Tanah Melayu menandakan mereka juga lemah strategi.

Akan tetapi, kelemahan itu bukan alasan untuk kita menyalahkan mereka keseluruhannya kerana itu iktibar dan peringatan, agar kita tidak mengulangi lagi perkara sama dan berusaha memperbaikinya.

Paling penting, fakta sejarah tidak menjadi propaganda pihak berkuasa untuk mengekalkan kuasa.

Setiap fakta sejarah yang ingin diketengahkan, sewajarnya mendidik masyarakat ke arah keharmonian negaranya. Sebagai contoh, pelajar didedahkan sejarah awal kedatangan bukan Melayu dan penerimaan mereka sebagai rakyat serta warganegara. Maka, akan lahirlah generasi yang saling bertoleransi dan bertanggungjawab walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya.

Hal lain yang tidak kurang penting ialah tidak menggunakan fakta sejarah untuk memburuk-burukkan dan mengaibkan seteru politik. Hal ini boleh berlaku jika hanya memilih fakta sejarah tertentu dan berkaitan untuk diketengahkan dalam sukatan mata pelajaran.

Jika berlaku, ini sangat malang kerana fakta sejarah dimanipulasi sebagai senjata menanam kebencian kepada kepemimpinan negara.  Akhirnya sejarah negara kita dilabel sebagai sejarah yang ditulis oleh golongan yang menang, bukan lagi bersandarkan peristiwa yang sewajarnya.

Dipetik daripada Artikel oleh Ibrahim Ahmad
Pensyarah Universiti Kuala Lumpur, Royal College of Medicine, Perak.
Disiarkan di BHarian (7/12/2018)

15 November 2018

ICERD dan Kedaulatan Negara

ISU berkaitan cadangan Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hangat dibicarakan pelbagai pihak, terutama yang mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Kumpulan yang membantah khuatir pengesahan Malaysia ke atas konvensyen berkenaan membawa implikasi negatif kepada keadaan demografi rakyat negara ini terutama Bumiputera dan Melayu kerana berpendapat, penduduk asal tidak lagi akan dilindungi keistimewaan seperti diperuntukkan dalam kontrak sosial.

Hujah bagi membantah cadangan itu kerana definisi dan skop ICERD dilihat bertentangan serta bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal Malaysia atau Bumiputera, juga yang biasanya dianggap sebahagian daripada kontrak sosial.

Berdasarkan maklumat dipaparkan, ICERD dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969, namun sehingga hari ini, Malaysia antara 15 negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.

Kredit: Bharian (1/11/2018)

Kontrak Sosial dan Timbal Balas

Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika itu British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai ‘kontrak sosial.’ Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Dipetik Dari Catatan Oleh: Zulkifli Jalil
Kredit: Utusan

Catatan Untuk Pengetahuan Umum:

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan kerajaan dunia dan resolusi, konvensyen atau protokolnya tidak semestinya dipatuhi oleh negara anggotanya.

Keputusan PBB mesti dikaji secara menyeluruh oleh negara anggotanya untuk mengelakkan impak negatif kepada nilai-nilai teras, kepentingan survival, kedaulatan dan keselamatan nasional.

Keputusan PBB tidak boleh mengatasi keputusan negara yang berdaulat. Ini kerana konsep dan sistem kenegaraan moden berdasarkan Perjanjian Damai Westphalia (1648) menegaskan, semua negara, besar atau kecil, mempunyai hak yang sama berkaitan kedaulatannya.

Kedaulatan negara juga dijadikan prinsip utama undang-undang antarabangsa yang menegaskan, sesebuah negara mempunyai kedaulatan yang eksklusif ke atas wilayahnya. Ia juga dimaktubkan dalam Kanun PBB bahawa tidak ada suatu autoriti boleh mengizinkan campur tangan mengenai hal ehwal yang dalam bidang kuasa sesebuah negara.

Majlis Keselamatan PBB hanya berfungsi untuk memelihara keamanan, Perhimpunan Agung PBB untuk membincangkan isu dunia, institusi sosioekonomi PBB untuk mewujudkan dunia yang saksama, dan institusi perundangan PBB untuk mengasaskan undang-undang antarabangsa. (Evan Luard 1979, dalam buku The United Nations: How It Works and What It Does).

Isu Ratifikasi ICERD.

Oleh itu, PBB tidak boleh mengarahkan negara anggotanya mematuhi atau mengguna pakai segala resolusi, konvensyen atau protokolnya.

ICERD yang diluluskan oleh PBB pada 1961 adalah untuk mematahkan gerakan anti-yahudi (antisemitism) pada 1960, berkuat kuasa pada 4 Januari 1969. Ini menunjukkan, ICERD sudah berkuat kuasa 59 tahun dan pendirian Malaysia tidak meratifikasikannya selama ini tidak pernah menimbulkan reaksi negatif.

Adakah Benar?

Adakah benar bahawa “Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan?”

Seterusnya, jika Perkara 153 tidak berkait dengan ratifikasi ICERD, kenapakah Hindraf memfailkan saman di Queen’s Bench Division, High Court of Justice, London, pada 30 Ogos 2007, dan mendesak Perlembagaan Persekutuan diisytiharkan sebagai tidak sah? Kenapakah dalam saman yang sama, Hindraf mengatakan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, kononnya bercanggah dengan Deklarasi Hak Manusia Sejagat? Adakah benar usaha meratifikasikan ICERD berkait dengan saman Hindraf mengenai Perlembagaan Persekutuan pada 2007?

Chow Yu Hui (DUN-Tras) dan Chiong Yoke Kong (DUN-Tanah Rata) pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kaitan ratifikasi ICERD dengan Deklarasi Setapak (1967). ADUN DAP ini, melalui kenyataannya dalam akhbar (12 November 2018) menyatakan bahawa “jika parti itu (DAP) mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan (ICERD)”.

“Dalam Deklarasi Setapak, pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label bumiputera dan bukan bumiputera”.

Kajian Leon Comber (1983) membayangkan Deklarasi Setapak berkait dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan Lee Kuan Yew pada 1964 hingga 1965.

Kesimpulannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan, ratifikasi ICERD akan dihalusi secara bijaksana. Rakyat Malaysia yang prihatin, mesti mendahului proses ini menerusi pendekatan berhemah dan berwibawa.

Dipetik dari Catatan: DATUK DR. RUHANIE AHMAD, lulusan ijazah PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kredit: Utusan (15/11/2018)

Kepentingan Institusi Diraja

Apabila Timur Tengah telah ditenggelami dengan kesan Arab Spring pada tahun 2011, satu trend strategik yang jelas dan nyata: di mana negara-negara Republikan seperti Mesir, Libya, dan Syria, terjerumus ke dalam konflik yang berpanjangan, bahkan rampasan kuasa dan peperangan di jalanan.

Hasil penyelidikan oleh Institut Legatum di Belanda, dan Unit Ekonomi, menjawab persoalan yang dicari. Tidak ada kekosongan kuasa di ketiga-tiga negara untuk mempunyai tempat institusi diraja.


Daripada aktivis jalanan menentang kerajaan, dan kerajaan menentang rakyat, dinamika sedemikian tidak hadir di negara-negara yang memperoleh manfaat apabila ditadbir oleh institusi diraja.

Malaysia, adalah himpunan sembilan orang Sultan, beberapa bekas Negeri-Negeri Selat dan dua negeri Borneo. Ia adalah gabungan karya entiti yang berbeza.

Ia berlaku serentak dengan pasca penjajah dan anti-penjajah. Walaupun Portugis, Belanda dan Inggeris, mungkin telah menguasai seluruh Tanah Melayu, dalam pembentukan awal Malaysia, Kesultanan seperti Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Pahang, mempunyai sedikit atau tidak ada bantuan luar dengan mereka. Mereka tetap wujud, lengkap dengan tradisi berabad lamanya.

Oleh itu, antara 1511 dan 1957, Kesultanan menikmati pelbagai bentuk hubungan dengan tetuan penjajah. Apabila Britain mencadangkan pembentukan sebuah negara, tanpa rasa hormat terhadap institusi diraja, orang Melayu bangkit melalui gabungan persatuan untuk membantah yang dikenali sebagai “hartal” atau pergerakan boikot.

Perkara penting adalah untuk menghantar mesej ke London bahawa pembentukan Persekutuan mesti terlebih dahulu melindungi hak-hak orang Melayu dan pemerintah yang mereka hormati.

Usaha untuk memburuk-burukkan institusi diraja harus dibendung, dan kesungguhan mereka atas talian (online), perlu dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MMCC); sekiranya terdapat usaha untuk menyemai benih ketegangan perkauman dan etnik.

Malaysia adalah pembinaan yang dibentuk oleh pelbagai kontrak sosial. Semangat kemerdekaan melindungi hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu, juga Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.

Kerabat diraja mempunyai tempat mereka dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang terkandung pelbagai kontrak sosial, yang Rakyat juga mendapat faedah tidak terhingga. Kuncinya adalah untuk mencipta formula yang menguntungkan kedua-dua belah pihak bagi menghalang haluan kiri atau kanan politik Malaysia.

Petikan Daripada Artikel:
Pertahan institusi diraja, lindungi rakyat dengan Perlembagaan, kontrak sosial
Oleh: Dato’ Dr. Rais Hussin, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Ketua Biro Polisi dan Strategik Bersatu.
Kredit: Utusan (13/11/2018)

Pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Cadangan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) itu perlu dinilai secara tempatan kerana budaya dan pegangan hidup mereka yang mengiktiraf konvensyen itu sendiri sudah berbeza dengan amalan di negara ini.

Realiti dan hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak bahawa amalan di negara ini ternyata berbeza dengan negara Barat.

Kalau semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang digubal pada 1957 sudah cukup harmoni untuk hidup di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam tempoh 60 tahun Malaysia merdeka tiada apa yang berlaku seperti di negara Barat kecuali peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu sahaja.

Tiada perkara yang sama rata di dunia ini, semuanya ada perbezaan termasuklah lelaki dan perempuan, orang kaya dan miskin.

Sebagaimana perumpamaan, alat muzik gitar yang mempunyai enam tali itu juga mempunyai perbezaan namun menghasilkan irama yang sama.

Keenam-enam tali yang terdapat pada sebuah gitar itu semuanya tidak sama. Dalam sebuah persembahan muzik, beberapa buah gitar yang berbeza digunakan, ada yang rhythm, ada yang base. Namun, semua lagu yang dimainkan adalah secara harmoni dan mengikut rentak yang sama.
Harmoninya sesebuah lagu itu bukan kerana persamaan yang terdapat pada kesemua tali gitar, tetapi kerana semuanya mengalunkan irama sama.

Kita jangan tertipu dengan keadaan yang menuntut kepada kesamarataan ini kerana Perlembagaan sendiri tidak menafikan hak kaum lain di negara ini.

Kredit: Utusan (13/11/2018)

09 November 2018

Adab Berkongsi Kisah Peribadi di Media Sosial

PENGGUNAAN media sosial kini sudah menjadi keutamaan bagi masyarakat kita dan hampir pasti, setiap orang akan memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media itu.

Media sosial dianggap penting dan menjadi tempat untuk menceritakan segala yang berlaku di dalam kehidupan hinggakan tanpa sedar sebenarnya apa yang diluahkan di media sosial sebenarnya sesuatu yang patut dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain.

Bagaimana kita harus kenal pasti apa yang patut dikongsikan dan apa yang sepatutnya dirahsiakan? Terdapat lima perkara penting yang sewajarnya tidak dihebahkan menggunakan platform media sosial.

Pertamanya pelan perancangan masa depan.

Saya pasti mereka yang berkongsi pelan dan rancangan ini dalam kalangan individu bermotivasi tinggi dan ingin menggalakkan orang ramai untuk turut serta.

Namun begitu, pelan perancangan ini mungkin terdapat kelemahan di dalamnya dan jikalau anda terlepas pandang, ia boleh dilihat oleh orang ramai di media sosial.

Sebaik-baiknya adalah untuk anda berkongsi hanya dengan mereka yang rapat dan dapat memberi sumbangan dari segi idea dan pelaksanaan rancangan berkenaan.

Kedua, berkongsi hal berkaitan saham akhirat. 

Kita sering lihat perkongsian tentang aktiviti ibadat yang tular di media sosial dan saya bersetuju, ia bagus dan dapat mendorong orang ramai untuk turut serta.

Namun begitu, aktiviti persendirian (ibadat yang dihukumkan sunat) seperti solat sunat, puasa sunat Isnin dan Khamis dan apa juga sedekah yang kita lakukan haruslah disembunyikan daripada pengetahuan masyarakat supaya keikhlasan itu dapat dijaga.

Kita harus pandai menggunakan peluang yang ada untuk mengajak orang ramai untuk melakukan perkara yang baik tetapi pada masa sama, merahsiakan amal ibadat. Ia adalah rahsia antara kita dan Allah SWT sahaja.

Daripada Sa’ad Abi Waqqas RA, Rasullullah SAW bersabda; “Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, hamba yang hatinya selalu merasa cukup dan yang suka mengasingkan diri.” (HR Muslim)

Keikhlasan itu sesuatu yang sangat berharga. Bayangkan anda sedang menjunjung sebuah peti emas yang terbuka dan berjalan di sekitar bandar raya yang sesak. Sudah pasti anda akan bersungguh-sungguh menjaganya. Begitu juga segala amal kita lakukan. Sudah pasti kita tidak mahu segala pahala kita itu dirompak begitu saja.

Ketiganya, rahsiakanlah mengenai perjalanan kehidupan anda. 

Terdapat beberapa perkara penting yang harus anda rahsiakan dari pengetahuan umum dan antaranya adalah cara anda menjalani kehidupan seharian.

Tidak ada faedahnya jika anda menceritakan kepada orang ramai mengenai perihal peribadi seperti taraf kewangan atau hal rumah tangga di laman sosial. Ia mungkin membuatkan orang lain berasa kurang senang dan mungkin juga ada yang akan meluat dengan apa yang dikongsikan.

Perkara seperti ini terlalu bahaya untuk pandangan mata dan pengetahuan orang lain kerana kemudaratan yang akan timbul dan ia juga mungkin disalahertikan oleh orang lain yang tidak memahami tujuan anda berkongsi.

Sejak kebelakangan ini, ramai yang mentafsir perbuatan sebegini sebagai langkah yang ‘perlu’ dilakukan dan dianggap sebagai strategi pemasaran yang efektif. Namun begitu sesuatu yang kita perlu sedar, kita tidak pernah pula lihat Bill Gates, Mark Zuckerberg dan Warren Buffett berbuat sedemikian.

Keempat, berkongsi konflik rumah tangga. 

Tidak dinafikan setiap keluarga akan ada turun naiknya dan ada kala kita memerlukan tempat untuk meluahkan segala yang terpendam.

Namun begitu, media sosial bukanlah tempatnya. Sebaliknya, anda harus merahsiakan dan tidak membuka aib keluarga daripada dilihat oleh orang ramai kerana ia akan memalukan diri sendiri di kemudian hari. Perkara seperti ini adalah sangat sensitif dan mungkin akan menghantui diri dan keluarga kita pada masa depan.

Jika memerlukan bantuan dan sokongan, mungkin kaunselor, rakan karib ataupun saudara yang hampir adalah pilihan yang lebih baik daripada meluahkannya di laman sosial.

Sekurang-kurangnya wujud interaksi dua hala dan dapat meluahkan perasaan sepenuhnya. Selain itu, terdapat lontaran idea dan perbandingan pendapat yang kondusif bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Terakhir sekali, dilarang membuka aib di media sosial. 

Memang terbukti, ia dapat membantu untuk menjadikan sesuatu perkara itu tular. Namun begitu, kita haruslah lebih beretika ketika ingin berkongsi sesuatu dan berfikir dahulu sebelum bertindak.

Kita harus lebih bijak untuk membezakan apa yang boleh dikongsikan supaya dapat dijadikan pengajaran dengan apa yang sensitif dan mungkin mendatangkan malu jika apa yang dikongsikan sesuatu yang tidak berasas. Sebaik-baiknya adalah untuk kita mengkaji dulu berita yang diterima sebelum anda menekan butang ‘share’ (kongsi).

Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Wahai orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu,”. (Al-Hujurat: 6)

Di dalam surah lain pula Allah SWT berfirman yang bermaksud; “Sesungguhnya orang-orang yang membawa ifk (berita bohong) adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira berita bohong itu buruk bagi kamu, bahkan ia adalah baik bagi kamu. Setiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa dikerjakannya dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar,”. (An Nur:11)

Oleh itu, marilah kita mengambil pengajaran dan melakukan perubahan di dalam kehidupan seharian kita termasuk di alam siber. Moga perubahan ini akan menjadikan kehidupan kita lebih harmoni dan positif.

Artikel Oleh: Mohd Shazly Khan
Kredit: Bharian (1/11/2018)

10 Ogos 2018

Manfaat Surah al-Kahfi

Pada malam Jumaat atau hari Jumaat disunatkan kita membaca Surah al-Kahfi berdasarkan dalil hadis yang darjatnya sahih daripada Nabi SAW.

Pertama: “Barang siapa membaca al-Kahfi pada malam Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya antara dirinya hingga ke Baitul Atiq (Ka’bah).” (Riwayat ad-Darimi)

Kedua: “Barang siapa membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya cahaya akan meneranginya selama waktu antara Jumaat yang satu ke Jumaat berikutnya.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Antara kelebihan Surah al-Kahfi adalah seperti yang diriwayatkan Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi akan terpelihara daripada dajjal.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Abu Dawud pula seperti yang dikatakan oleh Qatadah, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menghafal ayat akhir daripada Surah al- Kahfi akan terpelihara daripada fitnah Dajjal.”

Berdasarkan hadis itu, secara ringkasnya ada dua pendapat mengenai kelebihan membaca Surah al-Kahfi iaitu bacaan 10 ayat yang terawal dan 10 ayat terakhir.

Mengapa 10 ayat terawal dan 10 ayat terakhir di-pilih?

Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al-Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al-Quran manakala 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur.

Dengan menghafal ayat awal dan ayat akhir surah itu akan menambahkan lagi keimanan bagi mereka yang benar-benar mentadabburkan ayat al-Quran serta mengharap pemeliharaan Allah SWT daripada fitnah dajjal.

Membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat sangat digalakkan ke atas setiap Muslim tidak kira 10 ayat terawal mahupun 10 ayat terakhir atau sebahagiannya dan lebih baik membaca satu surah lengkap.

Ini kerana surah al-Kahfi dapat menjadi benteng keimanan yang kukuh daripada fitnah dajjal bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Maka surah itu memberi harapan baru bagi mereka yang tidak mempunyai harta yang banyak.

Tambahan pula pada akhir zaman ini tentangan terhadap Islam semakin kuat sehingga Rasulullah SAW bersabda: “Akan sampai satu masa manusia yang mempunyai kesabaran pada agamanya akan menjadi seperti orang yang menggenggam bara api.” (Riwayat al-Tirmizi)

Sejajar dengan keadaan itu, Allah SWT menurunkan surah al-Kahfi supaya ia dapat menjadi benteng keimanan buat seorang Muslim menerusi model utamanya sendiri iaitu segolongan pemuda yang teguh keimanannya.

Mereka meninggalkan segala harta dunia demi keimanan mereka terhadap Allah SWT dan hari akhirat sehingga ganjaran yang mereka terima berlipat kali ganda.

Artikel oleh: Datuk Dr Zahazan Mohamed
Kredit: Harian Metro Online
Tarikh Artikel: Jul 27, 2018

13 Julai 2018

Bahaya Ungkapan 'Kalau' Pada Akidah

Imam Muslim merekodkan hadis bernombor 1278 dalam bab takdir di bawah tajuk 'Perintah agar kuat, tidak lemah dan perintah memohon pertolongan hanya kepada Allah,' yang bermaksud:

Daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Apapun, kedua-duanya memang ada kebaikan (kerana beriman). Bersungguh-sungguhlah mencapai sesuatu yang bermanfaat untuk kamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah SWT dan janganlah kamu menjadi orang yang lemah."

"Apabila kamu ditimpa sesuatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan, 'Kalau saya tadi berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan terjadi begini dan begitu', tetapi katakanlah, 'Ini sudah takdir Allah dan apa dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan. Sesungguhnya perkataan 'kalau' akan membukakan jalan syaitan."

Rupa-rupanya perkataan 'kalau' yang sama maknanya dengan seandainya dan biasa dipertuturkan oleh rakyat Malaysia adalah asalnya diambil daripada perkataan 'lau' dalam bahasa Arab.

Apabila menelusuri komentar ulama mengenai hadis di atas, secara umumnya penggunaan perkataan 'lau' yang membawa maksud 'kalau' dan seandainya itu kepada dua keadaan.

Tak puas hati terhadap takdir

Keadaan pertama, ia digunakan dengan maksud berasa tidak puas hati terhadap takdir yang ditentukan oleh Allah SWT. Perkara ini dilarang Rasulullah SAW berdasarkan hadis di atas, bahkan ditegah oleh Allah SWT seperti dalam al-Quran yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang (munafik) yang sudah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): "Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh."

"(Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu, penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan." (Ali Imran: 156)

Imam Nawawi mengatakan perkataan 'kalau' tercampak ke dalam hati manusia untuk menentang qadar Allah dan membuka ruang kepada syaitan untuk melakukan keraguan.

Penggunaan perkataan 'kalau' dalam dialog yang menggunakannya dengan persepsi betul terkandung pula adalah berdasarkan firmah Allah SWT yg bermaksud:

"Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita daripada pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang yang ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing."

"Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada." (Ali Imran: 154)

Keadaan kedua ialah menggunakan perkataan 'kalau' untuk menerangkan sesuatu yang bermanfaat seperti firman Allah SWT yg mermaksud:

"Kalau ada di langit dan di bumi tuhan selain Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan." (Al-Anbiya': 22)

Imam Nawawi mencatatkan jika mengungkap 'kalau' kerana menyesal disebabkan kecuaian tidak melakukan ketaatan pada masa lalu, maka ia tidak termasuk dalam kategori larangan. Lebih-lebih lagi ia akan menjadi motivasi untuk tidak mengulangi kecuaian yang lalu.

Persoal kejadian

Mempersoalkan sesuatu yang sudah dijadikan Allah adalah kesalahan, termasuk dalam larangan menggunakan perkataan 'kalau' apatah lagi jika mengeluarkan perkataan yang difahami seolah-olah mempertikaikan mengapa Allah menciptakan sesuatu.

Tidak kiralah apa juga profesion kita, lebih-lebih lagi yang menggunakan ucapan dan syarahan sebagai medium utama profesion seperti ahli politik, penceramah dan pensyarah, kita perlu berhati-hati ketika memilih setiap perkataan.

Kita perlu menggeruni peringatan Rasulullah SAW yg bermaksud: "Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia memandang remeh dengan perkataan diungkapkan, menyebabkan dia terhumban ke dalam api neraka 70 tahun. (HR Tirmizi)

Kredit:
BHarian

03 Jun 2018

Tips Asas Penjagaan Kenderaan

APABILA memiliki sesebuah kenderaan, seringkali sebagai kita mengabaikan aspek penjagaan dan penyelengaraan yang rapi hingga mengakibatkan kerosakan pada kereta yang memerlukan kos membaik pulih yang tinggi.

Jika dilihat kebanyakkan dari kita hanya memberikan tumpuan kepada beberapa aspek sahaja antaranya penjagaan tayar, brek dan juga bateri. Namun sebagai pemilik kenderaan yang bijak, kita seharusnya memberi tumpuan kepada beberapa aspek lain.

Jadi kami kongsikan tips penyelengaraan kereta yang penting untuk anda agar memberi manfaat kepada semua.

TAYAR
Pastikan tekanan udara pada tayar anda mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Tekanan udara yang tidak tepat boleh menyebabkan tayar anda mudah retak dan pecah.  Selain itu, permukaan tayar anda akan haus lebih cepat.

Anda boleh mengukur tahap kehausan tayar anda dengan melihat tanda di bahagian tengah bunga tayar tersebut. Pastikan bunga pada tayar tidak kurang dari takat tanda. Periksa  tayar sekurang-kurangnya seminggu sekali.

MINYAK ENJIN
Minyak enjin atau pelincir memastikan pemanduan kereta anda senyap dan perjalanan jauh tidak menjadi masalah. Minyak enjin perlu ditukar mengikut tempoh masa pengunaan atau jumlah jarak perjalanan.

Minyak enjin jenis semi-sintetik boleh digunakan sehingga 5,000 km atau 3 bulan manakala minyak sintetik penuh boleh digunakan sehingga 10,000 km atau 6 bulan.

Jangan biarkan minyak tersebut di dalam enjin kereta melebihi had yang ditetapkan kerana ini boleh meninggalkan keladak yang akan melekat dan menebal pada bahagian dalam enjin. Ini boleh menyebabkan pelbagai masalah lain dan kerosakan kritikal pada enjin.

PALAM PENCUCUH (SPARK PLUG)
Ditukar selepas 20,000 km perjalanan. Jika anda menggunakannya sehingga 30,000 hingga 40,000 km masih tidak menjadi masalah. Tetapi jika melebihi 40,000 km, elektrod di dalam palam pencucuh akan menipis, menyebabkan cucuhan api di dalam silinder enjin tidak lengkap atau lemah.

BATERI
Terdapat dua jenis bateri iaitu sel kering dan sel basah. Anda boleh mengenalpasti jenis bateri kereta anda dengan melihat pada permukaannya.

Jika sel basah, bateri tersebut akan mempunyai tutup tempat untuk mengisi air suling, dan sel kering sebaliknya.

Bagi sel basah anda perlu sering membuat pengisian semula air suling bateri dalam tempoh 2 tahun. Jika bateri sel basah menjadi kering, bateri tersebut akan kehilangan cas selepas hanya 6 bulan.

Jangka hayat bateri kereta kebiasaannya 18 bulan hingga 2 tahun namun ada juga bateri yang mampu bertahan lebih lama sehingga 4 tahun tetapi harganya agak berbanding bateri lain.

PENAPIS UDARA (AIR FILTER)
Perlu ditukar setiap 20,000km kerana untuk melancar penapisan penyedutan udara luar masuk ke injection.

MINYAK GEAR (GEAR OIL)
Bagi mereka yang menggunakan transmisi manual, anda tidak memerlukan ATF tetapi sebaliknya memerlukan minyak gear. Minyak ini boleh ditukar setiap 60,000km perjalanan.

PENYEJUK RADIATOR (RADIATOR COOLANT)
Harga sebotol adalah RM8 – RM15. Selalunya berwarna hijau. Boleh ditukar setiap 60,000km sekali. Penggunaan coolant berbanding air biasa akan menjadikan enjin lebih lambat panas dan juga tak mudah mendidih. Jika boleh, anda juga boleh mongosongkan tangki radiator semasa menukar coolant (Radiator flush).

TALI SAWAT (BELT)
Terdapat beberapa jenis tali sawat dalam kereta anda yang lebih dikenali sebagai timing belt. Anda perlu memastikan tali sawat tidak haus dan longgar. Tali sawat yang longgar akan mengakibatkan bunyi nyaring pada bahagian enjin. Servis tali sawat anda jika ini berlaku.

BREK
Anda perlu memeriksa brake disc serta lapisan brake disc setiap 15000 km. Jika lapisan pad kelihatan menipis hingga hampir pada backing plate, pad perlu diganti. Kadar kehausan ketebalan pelapik brake pad yang dibenarkan adalah tidak kurang 2 milimeter (mm).

Sekiranya ketebalan pelapik brek kurang 2 mm, hujung klip akan bergesel menyentuh brake disc dan bunyi akan kedengaran menandakan paras minimum penggunaan brake pad dan ia harus ditukar dengan segera.

Jika tidak, pelbagai masalah akan timbul apa yang kita panggil secondary defect. Antaranya brake disc akan mengalami kesan calar yang sangat banyak, brake disc akan hangit (terbakar) meninggalkan kesan hitam kebiruan dan ini akan menyebabkan less effectiveness of braking system.

Semoga perkongsian ini akan memberi manfaat kepada semua pengguna bagi memastikan kenderaan kita sentiasa berada dalam keadaan sempurna untuk memulakan perjalanan dekat mahu pun jauh.

Sumber : https://voiz.asia
Kredit: Sinar Harian

02 Mei 2018

Hayati Iktibar Surah Luqman

DIKATEGORIKAN sebagai antara surah popular dalam al-Quran, pengajaran terkandung dalam Surah Luqman lazimnya ditujukan buat anak-anak sebagai panduan dalam menjalani hidup bersyariat.

Namun, perlu juga diambil perhatian bahawa, wasiat diturunkan oleh Luqman al-Hakim iaitu seorang ulama pada zaman Nabi Daud a.s. itu juga merupakan panduan terbaik bagi ibu bapa dalam mendidik anak.

Terdapat sembilan rahsia diperincikan dalam Surah Luqman perlu dijadikan panduan bukan sahaja kepada anak-anak malah ibu bapa dalam mendidik anak soleh. Perkara itu katanya adalah:

10 April 2018

Rob Pope Berlari 15,600km Kelilingi Amerika Syarikat

“SAYA mendapat inspirasi untuk melakukan larian solo sejauh 15,600 kilometer (km) ketika menonton filem adaptasi rea­liti, Forrest Gump yang dilakonkan oleh pelakon Tom Hanks pada tahun 1994.

“Forest Gump yang merupakan watak utama dalam filem itu berlari mengelilingi Amerika Syarikat selepas ditinggalkan kekasih dan dari situ saya terfikir tidak mustahil jika aksi tersebut dilakukan dalam dunia realiti,” jelas Rob Pope, 39.

Justeru, pada awal tahun 2016, Pope mencabar dirinya untuk meniru aksi yang difilemkan itu de­ngan berlari secara solo mengelilingi Amerika Syarikat.

Menurut lelaki yang berasal dari Liverpool, England itu, pada mula­nya dia mengakui cabaran tersebut agak mustahil untuk dilakukan ke­rana dia terpaksa berlari sejauh 15,600km hanya dalam masa 409 hari.

03 April 2018

129 Tahun Menara Eiffel Dikunjungi Awam

Suasana di kawasan sekitar begitu meriah. Di setiap penjuru menara tersebut, kelihatan puluhan pelancong dari dalam dan luar negara mengambil kesem­patan untuk merakam potret mereka di Menara Eiffel yang begitu popular dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia.

Masing-masing kelihatan tersenyum puas tatkala berpeluang meninjau keindahan struktur dan seni bina menara tersebut. Riak kagum jelas terpancar pada wajah mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa menara yang didirikan oleh seorang arkitek terkenal Perancis, Alexandre Gustave Eiffel pada tanggal 31 Mac 1889 itu telah berjaya menawan setiap mata yang memandang.

31 Mac, 2018, genap 129 tahun Menara Eiffel dibuka kepada orang awam.

02 April 2018

Potensi Ketum Dalam Perubatan

Image result for daun ketum

Ubah Persepsi Ketum

KETUM atau nama saintifiknya, Mitragyna Speciosa merupakan khazanah negara yang tidak ternilai, terbukti sejenis tumbuhan semula jadi yang dikenal pasti memiliki pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan, mampu menjana pendapatan penduduk selain berpotensi menjadi komoditi baru menjana ekonomi negara.

Melalui pelbagai kajian pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang telah dijalankan farmaseutikal antarabangsa mendapati daum ketum yang telah diproses secara klinikal mampu memberi manfaat yang banyak terhadap dunia perubatan demi kebaikan manusia sejagat.

Sehingga kini, amat sedikit paten berhubung dengan ubat atau produk berasaskan ketum seperti mana yang terdapat dalam laman web European Patent Office (Espacenet), World Intellectual Property Organization (WIPO), US Patent and Trademark Office (USPTO) dan Google Patent.

09 Januari 2017

Beza Antara Ketua Dengan Pemimpin



Banyak orang boleh menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Apakah perbezaan antara ketua dengan pemimpin? Ada sembilan perkara yang membezakan antara seorang ketua dengan seorang pemimpin.

Pertama, seorang ketua dia ialah ‘pendesak’ yang hanya tahu menyampaikan maksud dan tujuannya tanpa mengambil kira keadaan orang yang didesaknya. Yang difikirkannya berapa banyak yang boleh dia dapat manfaat daripada orang sekelilingnya, bukan berapa banyak manfaat yang mampu diberikannya.

21 Disember 2015

Masjid Ihsaniah Iskandariah Terbina Guna Anyaman Buluh


MASJID Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak menggunakan buluh sebagai bahan utama untuk dinding yang menjadikannya unik.

MASJID merupakan seni bina Islam yang sering mendapat perhatian di seluruh dunia kerana ia merupakan satu tanda fizikal penting bagi umat Islam terutamanya sebagai tempat beribadat dan penyatuan masyarakat Islam.

Lazimnya masjid dibina menggunakan bahan bata, batu dan kayu. Namun begitu, di negara ini terdapat sebuah masjid yang menggunakan bahan yang amat istimewa iaitu buluh sebagai bahan binaan utama.

Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang boleh didapati dengan mudah di negara ini. Tumbuhan itu merupakan bahan binaan yang tidak asing lagi dalam seni bina rumah Melayu pada zaman dahulu, namun penggunaannya sebagai bahan binaan yang dijadikan dinding masjid telah mendapat perhatian ramai.

13 Disember 2015

Keputusan Piala Malaysia 2015



KEPUTUSAN PIALA MALAYSIA 2015

Keputusan Peringkat Akhir

Tarikh Perlawanan: 12/12/2015
Selangor Vs Kedah (2 - 0)
Venue: Stadium Shah Alam

Penjaring Selangor: Ahmad Hazwan Bakri (3', 47')

01 Disember 2015

Fikiran Dan Pilihan Menentukan Kehidupan



SEMUA orang mahukan hasil kehidupan yang baik/positif; hidup dalam tenang, bahagia, sihat dan memiliki wang yang banyak. Namun begitu, tidak semua orang mampu memilikinya.

Ada orang memiliki banyak wang, tetapi hidup mereka tidak tenang dan bahagia kerana menghadapi penyakit kronik. Dengan sebanyak mana wang pun tidak dapat mengubati penyakit mereka, malah hidup mereka hanya menunggu dan mengira hari kematian. Wang tidak mampu membahagiakan kita apabila sakit.

Ada orang yang miskin hidup mereka, tetapi hidup bahagia dan tenang, kerana mereka diberi Allah kesihatan yang baik. Sesungguhnya, walaupun, segala-galanya memerlukan wang, tetapi tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan wang.

26 November 2015

Pentingnya Persediaan 
Hadapi Banjir



BARU-BARU ini penulis menerima satu kiriman video yang menunjukkan bahaya banjir. Di dalam video tersebut dipaparkan, “hanya dengan 12 inci (0.3 meter) kedalaman air mengalir, sebuah kereta kecil boleh dihanyutkan. Manakala kedalaman air antara 18 hingga 24 inci (0.4-0.6 meter) pula boleh menghanyutkan kenderaan bersaiz besar.”

Kenyataan ini membawa penulis mengimbau pengalaman lalu. Seorang jiran maut kerana cuba melintasi satu kawasan banjir berhampiran taman perumahan kami. Ketika itu, air masih cetek dan aliran air juga “kelihatan” amat perlahan.

Namun, siapa menyangka, ketika cuba melintasi kawasan tersebut, kenderaan jiran tadi telah dibawa arus kerana secara tiba-tiba aliran air menjadi deras dan meningkat dengan mendadak. Ini amat mengejutkan bagi kejiranan kami.

23 November 2015

Generasi Y dan Z Mendahulukan Telefon Bimbit



Telefon bimbit adalah segala-galanya sekarang. Orang sekarang terutamanya yang berumur 34 tahun ke bawah seperti tidak boleh berenggang sama sekali dengan telefon bimbit. Kehidupannya adalah dalam lingkungan objek leper yang bersegi empat tepat itu.

Sambil makan, jari jemari mereka pantas mengimbas skrin telefon. Begitu juga apabila menonton televisyen atau mendengar ucapan penting. Pendek kata, apa juga kerja yang sedang dibuat mesti ditemani atau diselang seli dengan mengimbas telefon bimbit.

Orang malah sanggup membahayakan nyawa dengan memandu sambil menggunakan telefon bimbit. Ada pula telefon bimbit yang dicipta untuk memudahkan pengguna menaip sambil memandu.

29 Oktober 2015

Makanan dan Minuman Tercemar Punca Kepialu (Tifoid)


Bakteria daripada najis manusia punca utama Kepialu ~ Gambar Hiasan

Umum mengetahui, demam kepialu atau tifoid yang dilaporkan menular di beberapa kawasan di ibu negara bukanlah isu kesihatan yang baharu, namun generasi hari ini kurang mengetahui tentang wabak ini yang boleh mengancam kualiti hidup manusia.

Pelbagai pihak dipersalahkan termasuklah restoran yang menggunakan khidmat pekerja asing tanpa izin (PATI) di bahagian dapur yang tidak melalui pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan suntikan vaksin untuk mencegah penularan wabak tifoid.

Demam kepialu adalah disebabkan oleh bakteria yang dinamakan Salmonella typhi (S.typhi) yang diambil daripada nama seorang pakar bakteria Amerika Syarikat iaitu Daniel Elmer Salmon pada 1900.