06 Disember 2010

HAKIKAT HIJRAH RASULULLAH




TANGGAL 1 Muharam merupakan tarikh penting bagi umat Islam. Tarikh keramat ini diambil daripada suatu peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah. Penentuan tarikh Hijrah ini (bersamaan 16 Julai 622M) kemudiannya diputuskan pada zaman khalifah Saidina Umar ibni al-Khattab pada tahun 17 hijrah bertujuan mengingati peristiwa penting itu di samping untuk memudahkan urusan pentadbiran negara. Beberapa cadangan telah dikemukakan pada beliau, ada yang mencadangkan tahun kelahiran Rasulullah, tarikh kebangkitannya menjadi Rasul dan ada pula yang mencadangkan tahun wafatnya. Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui oleh Saidina Umar kerana memandangkan hijrah adalah peristiwa yang terpenting di antara peristiwa-peristiwa lain sebagaimana katanya yang beraksud: Kita membuat tarikh dengan Hijrah Rasulullah s.a.w. keranan hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batil.

Kehadiran Maal Hijrah saban tahun diraikan kerana terdapat banyak pengajaran dan hikmah di sebalik peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah yang seharusnya dihayati oleh umat Islam.

Hijrah bukan berlaku secara kebetulan malah telah dilakukan dengan penuh perancangan serta mendapat arahan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.

Firman Allah dalam ayat 56 surah al-Ankabut yang bermaksud ''tidakkah engkau mendapati bumi Allah itu luas maka hendaklah kamu berhijrah padanya.'' (Surah an-Nisa: 97).

Faktor paling utama yang mendorong kepada berlakunya peristiwa ini ialah sokongan terhadap Islam yang datangnya daripada penduduk Madinah. Perjanjian Aqabah pertama dan kedua dengan penduduk Madinah memberikan sinar baru bagi perkembangan Islam yang kian tersepit di bumi jahiliah Mekah itu. Pergerakan Rasulullah s.a.w keluar dari kota Mekah juga diatur dengan penuh rapi agar tidak menimbulkan kegemparan di kalangan musuh yang juga merancang untuk membunuh Nabi s.a.w. Ini dapat dilihat daripada kesediaan Saidina Ali menggantikan Nabi di tempat tidur, bantuan bekalan makanan daripada Asma' binti Abu Bakr dan panduan perjalanan jalan daripada seorang yang mahir mengenai selok- belok laluan kota Mekah iaitu Abdullah bin 'Uraiqit.

Banyak perkara penting yang dapat dijadikan pengajaran dalam kita menghayati peristiwa Hijrah ini iaitu berkaitan dengan misi kerasulan Muhammad s.a.w. Walaupun Baginda telah berusaha menyebarkan Islam siang dan malam, penduduk kota Mekah gagal diislamkan secara menyeluruh.

Penduduk Madinah yang terdiri daripada golongan Ansar telah memberikan pertolongan yang besar terhadap Rasulullah dan kaum Muhajirin menegakkan Islam di kota tersebut. Perpaduan yang ditegakkan melalui Hijrah ini bukan sahaja menyatukan umat Islam tetapi seluruh penduduk Madinah yang juga terdiri daripada golongan bukan Islam. Piagam atau perjanjian Madinah yang dimeterai oleh Nabi menjadi asas kepada permuafakatan hidup dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama.

Penguasaan politik negara Madinah yang berasaskan Islam telah berjaya menjelmakan Islam sebagai sebuah agama yang mampu membina peradabannya tersendiri. Jika di Mekah, Islam hanya dikenali sebagai agama yang menekankan aspek-aspek keimanan dan kerohanian, khususnya dalam membina asas-asas seorang individu Muslim, maka di Madinah kita melihat Islam berinteraksi dalam seluruh lapangan kehidupan. Di kota inilah banyak ayat-ayat al-Quran diturun bagi menerangkan hukum-hakam dalam seluruh lapangan kehidupan. Negara yang ditegakkan di atas asas keimanan juga berjaya melahirkan para da'i dan mujahid yang sanggup mengorbankan diri untuk kebangkitan agama Allah. Madinah menjadi pusat kebangkitan strategi Islam dalam memperluaskan dakwahnya ke seluruh dunia. Sesungguhnya kemenangan kepada Islam pastinya akan berulang sekiranya umatnya bersikap positif untuk berubah ke arah kemajuan dalam seluruh aspek kehidupan. Perubahan ini tidak akan datang bergolek tetapi perlu dilaksanakan dengan penuh kesungguhan sebagaimana hijrah Rasulullah s.a.w. perlu dijadikan renungan untuk melakukan agenda perubahan dalam alaf baru ini.

Dipetik daripada:
DR. BADLIHISHAM NASIR, 
Jabatan Dakwah, Fakulti Pendidikan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber:
http://www.firdaus.net

0 comments: