20 Januari 2011

Penilaian Baru Ganti PTK: Nilai Tugas Hakiki

 

TANJUNG MALIM: Ujian penilaian tugas hakiki adalah antara kriteria yang dijangka dimasukkan dalam sistem penilaian baru untuk kakitangan awam bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan mulai 1 Januari lalu.

Kriteria itu adalah antara cadangan yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam mesyuarat pertama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menurut sumber, ujian penilaian baru itu kelak dibuat berdasarkan keunikan jabatan masing-masing dan lebih fokus kepada tugas hakiki kakitangan, berbanding PTK yang kebanyakan soalannya tidak ada kaitan dengan tugas mereka.

Sebelum ini, peperiksaan PTK menimbulkan pelbagai kontroversi kerana ramai kakitangan awam, terutama yang berpengalaman sukar mendapat kenaikan pangkat sehingga kerajaan mengambil keputusan memansuhkannya.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, sistem baru yang akan diperkenalkan nanti hanya untuk menilai prestasi kerja serta membabitkan pergerakan gaji tahunan kakitangan, bukannya bagi pertimbangan kenaikan pangkat.
Bagi kenaikan pangkat, difahamkan penjawat awam yang mempunyai prestasi cemerlang dan berpengalaman akan diberi keutamaan dengan menghadiri kursus khas serta dinaikkan pangkat secara automatik tanpa tertakluk kepada kekosongan jawatan.

Kaedah baru itu berbeza dengan sistem sebelum ini yang mewajibkan penjawat awam lulus cemerlang dalam PTK, tetapi terpaksa menunggu kekosongan jawatan sebelum dinaikkan pangkat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Abu Bakar Abdullah ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pemantapan Perkhidmatan di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini semalam, mengesahkan sistem penilaian baru akan mengambil kira keunikan setiap jabatan dan pencapaian individu dalam tugas hakiki.

“Apa yang kita rangka mengikut keperluan dan tata cara perkhidmatan sedia ada. Ia bukan seperti konsep terdahulu yang digubal serta digunakan semua jabatan, sedangkan ia tidak memenuhi keperluan.

“Ia juga berbeza mengikut profesyen seperti polis, guru dan doktor. Saya yakin sistem baru yang belum diberi nama itu akan lebih adil dan pasti semua pihak berpuas hati,” katanya.

Abu Bakar berkata, sistem berkenaan juga bukan hanya menumpukan kepada satu tempoh masa, sebaliknya penilaian berterusan yang menyerupai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu.

Sumber:

0 comments: