Oleh Hazirah Che Sab
Dengan Izin Allah, sudah banyak kali bumi terselamat dan mengelak daripada menjadi sasaran pelanggaran asteroid. Malah, tanpa disedari sejak awal bulan ini, sudah lebih 40 objek berhampiran bumi yang ditemui dan dicatatkan, termasuk ancaman tahi bintang yang melintasi bumi tetapi dapat ‘ditepis.’
Bagaimana dengan takdir Bumi pada masa akan datang terhadap ancaman asteroid atau merujuk batu atau himpunan batuan pejal bahan logam besi atau nikel yang dalam, pelbagai saiz ini termasuk batu gergasi?
Terbaru, saintis Russia - Leonid Sokolov daripada Univesiti St Petersburg, meramalkan bumi bakal dihentam asteroid Apophis pada 13 April 2036. Ini bukan kali pertama ramalan impak maut bakal dicetuskan Apophis kerana pada 2004, saintis Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) meramalkan asteroid ini akan menghentam bumi pada 2029. NASA turut meramalkan pertembungan hampir Apophis-Bumi pada 2068.
Ringkasnya, berdasarkan kedua-dua ramalan itu, hayat bumi didakwa mereka cuma tinggal antara 18 - 25 tahun kerana impak Apophis boleh meragut jutaan nyawa selain mencetuskan kekalutan di seluruh dunia.
Menurut ramalan saintis Russia itu, asteroid sepanjang 270 meter, ukur lilit 330 meter itu dan ketinggian bangunan 90 tingkat dengan berat sekitar 25 juta tan, itu bergerak pada jarak 37,014 kilometer sejam dan dianggarkan merentasi lohong graviti pada 2029 lalu melanggar Bumi tujuh tahun kemudian.
Ketua Program Objek Menghampiri Bumi NASA, Deo Yeomans, berkata pengiraan lebih tepat laluan Apophis dalam tempoh beberapa tahun sudah pasti menyaksikan usaha pakar mengeluarkannya daripada mana-mana kemungkinan perlanggaran dengan Bumi pada 2036.
“Kemungkinan senario yang berlaku adalah Apophis akan menghampiri Bumi pada akhir 2012 dan awal 2013. Namun, kehadirannya pasti dipantau hebat deretan teleskop optikal di daratan serta sistem radar sofistikated.
“Andai ia berada di laluan membahayakan, NASA akan bertindak menggunakan kelengkapan serta peralatan bagi mengubah laluan Apophis dan sekali gus mengurangkan ancamannya menghentam bumi,” kata Yeomans.
Ketua Agensi Angkasa Lepas Russia, Anatoly Perminov, pula menegaskan kemungkinan mengerah sebuah angkasa lepas bagi memusnahkan Apophis. Malah, penyelidik NASA, Agensi Angkasa Lepas Eropah dan China juga akan dipelawa menyertai misi Apophis.
“Kita perlu mewujudkan satu sistem yang akan membenarkan kami menghalang satu perlanggaran, berbanding hanya duduk dan menunggu apa yang akan berlaku dan membunuh ramai,” kata Perminov.
Selain Apophis, ada beberapa lagi laporan penemuan asteroid yang berhampiran bumi. Terbaru, juga awal bulan ini, penemuan apa dikenali asteroid berpotensi bahaya (PHA) yang baru diumumkan dan kali ini ia juga melepasi bumi dengan selamat.
Asteroid yang dilabelkan sebagai CU46 cuma 505,000 kilometer tersasar daripada laluan bumi tetapi masih dianggap sebagai terlalu hampir dalam terma astrologi. CU46 mempunyai keluasan diameter 20 meter hingga 50 meter dan objek ini berkemungkinan besar menghasilkan bebola api gergasi dan memberikan kerosakan besar jika berlanggar dengan bumi di kawasan padat.
Timbalan Penyiasat Misi Dawn NASA, Carol Raymond, berkata kewujudan asteroid membantu manusia lebih memahami asal usul kehidupan. Saintis tidak tidak memahami sepenuhnya bagaimana kehidupan pertama terbentuk daripada bahan organik bukan kehidupan dan asteroid mungkin membantu mereka mempelajari lebih banyak benda.
Sesungguhnya manusia cuma menunggu masa sebelum pengumuman dibuat mengenai Bumi akan berdepan impak daripada asteroid yang cukup besar menyebabkan kerosakan teruk. Inilah sebabnya mengapa lebih banyak kajian perlu dibuat mengenai objek itu - bagi membantu mendalamkan pemahaman dengan harapan memberikan kita pilihan pertahanan lebih baik.
PELBAGAI idea dan kaedah diketengahkan dalam usaha mengelak bumi dilanggar asteroid. Antaranya, laser yang dikatakan boleh digunakan untuk memesongkan laluan asteroid yang berpotensi bertembung dengan bumi.
Sumber:
http://www.bharian.com.my/
0 comments:
Catat Ulasan