18 April 2011

Cegah Murid Gemuk?



Kajian Kementerian Kesihatan mendapati lebih 15 peratus rakyat Malaysia menghidap penyakit tidak berjangkit dengan 60 peratus daripadanya adalah remaja berusia 18 tahun ke bawah yang rata-ratanya pelajar sekolah rendah dan menengah yang mengalami obesiti serta diabetes.

Senario ini amat membimbangkan kerana pelajar terbabit terdedah kepada masalah buah pinggang, darah tinggi, strok, kanser dan penyakit kardiovaskular.

Berikutan dengan itu, semua minuman berkarbonat dan makanan mengandungi gula berlebihan kini dilarang dijual di kantin sekolah dalam usaha kerajaan mencegah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.




Larangan itu diputuskan mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 4 April lalu dan berkuat kuasa serta-merta.

Larangan itu turut dikenakan ke atas penjaja yang berniaga di luar pekarangan sekolah kerana didapati menjual makanan kurang berzat, tinggi kandungan gula dan lemak kepada pelajar selepas sesi persekolahan.

Turut dipersetujui pada mesyuarat itu ialah mengambil data berat dan ketinggian pelajar untuk dimuatkan dalam buku rekod masing-masing sebagai panduan kepada ibu bapa bagi memantau ketumbuhan anak-anak mereka.

“Tugas berkenaan akan dilakukan guru darjah dan segala maklumat akan dicatatkan pada setiap penggal persekolahan. Dari situ ibu bapa boleh melihat keadaan anak-anak sama ada beratnya ideal dengan ketinggian berdasarkan umur mereka. Turut dicatatkan cadangan kepada ibu bapa akan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan obesiti pelajar,” katanya.

Sumber: BHarian.

p/s; Ini merupakan satu usaha murni kerajaan mengurangkan kekerapan kanak-kanak mengambil minuman berkarbonat. Bagaimanapun kita patut sedar, minuman tersebut boleh didapati di mana-mana sahaja dengan mudah. Maka dengan itu usaha pencegahan seterusnya terletak di tangan ibu-bapa...

1 comments:

mykhalis berkata...

wahahha..kalau ibu bapapun obesiti camne?