31 Mei 2011

Kenaikan Tarif Elektrik Mulai Jun 2011



Kerajaan mengumumkan tarif elektrik yang baru dengan kenaikan purata sebanyak 7.12 peratus atau 2.23 sen/kilowatt-jam (kWj) daripada 31.31 sen/kwj kepada kepada 33.54 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Jun 2011.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, bagaimanapun kenaikan tidak membabitkan kira-kira 75 peratus atau 4.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kwj sebulan atau kurang. Daripada jumlah pengguna domestik itu, 900,000 adalah golongan berpendapatan rendah, manakala 200,000 lagi miskin tegar.

Pengguna yang dijangka terbabit dengan kenaikan, iaitu yang menggunakan elektrik antara 301 hingga 1000 kWj sebulan hanya berjumlah 1.39 juta atau 23.5 peratus. Mereka akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan antara tujuh sen hingga RM30.30 atau 0.1 peratus hingga 10 peratus.
(Rujuk: BHarian)




Chin berkata, kerajaan juga memberikan bekalan elektrik percuma kepada pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2011.

Menurut beliau lagi, selaras dengan dasar kerajaan untuk melindungi kebajikan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah, jumlah 'lifeline band' untuk pengguna domestik akan dikekalkan pada 200kWj sebulan pada kadar unit 21.8sen/kWj.

"Oleh itu tiada kenaikan tarif untuk pengguna 'lifeline band' yang terdiri daripada 3.3 juta pengguna atau 55.4 peratus daripada pengguna domestik," katanya.

Jelas beliau, semakan tarif elektrik ini akan membolehkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur pembekalan elektrik yang lebih baik termasuk pengukuhan sistem penghantaran dan pengagihan.

"TNB dijangka melabur sebanyak RM4.5 bilion setiap tahun untuk menyediakan dan menaik taraf sistem infrastruktur bekalan elektrik.

"Sesuai dengan semakan tarif asas ini, pihak kerajaan meluluskan pakej penstrukturan tarif yang perlu dilaksanakan oleh TNB seperti menaikkan kadar diskaun di luar waktu puncak bagi 'Thermal Energy Storage (TES) daripada 1.5 sen/kWj kepada 3.5 sen/kWj," katanya.



TNB perlu memberi diskaun sebanyak 10 peratus daripada kadar tarif biasa kepada institusi pendidikan yang dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan seperti yang diberikan kepada rumah ibadat, institusi kebajikan dan institusi pendidikan yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

Sumber: mStar Online

0 comments: