30 Mei 2011
Puting Beliung di Joplin, Missouri
DALAM tempoh sebulan ini, Amerika Syarikat, teruk dilanda kejadian ribut yang membawa bersama puting beliung atau tornado.
Sejak April lalu, puting beliung yang melanda selatan negara itu termasuk Alabama, Tennessee, Mississippi, Georgia, Arkansas, Virginia, Kentucky dan Louisiana, mengorbankan kira-kira 500 penduduk dengan kerugian dianggarkan bernilai RM18 bilion.
Puting beliung merujuk angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.
Namun, amukan puting beliung terbaru di Joplin, Missouri, sudah pun menyebabkan 125 maut dan setakat ini jumlah kerugian mencecah RM9 bilion. Malah, bencana kali ini adalah paling bahaya pernah direkodkan sejak tahun 1950-an dan terburuk sejak 1974.
Malah, puting beliung di Joplin dilaporkan adalah fenomena pemusnah yang jarang berlaku dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran,’ mengandungi dua atau lebih taufan dengan bukaan angin lebih luas.
Kebanyakan bahagian selatan Missouri yang dihuni 50,000 penduduk rosak teruk dengan gereja, sekolah, kawasan perniagaan dan rumah diranapkan angin dengan kelajuan sehingga 316 kilometer sejam!
Puting beliung itu turut mewujudkan laluan sepanjang 9.6 kilometer panjang dan 0.8 hingga lebar kira-kira 1.2 kilometer.
Ia adalah puting beliung kelapan paling bahaya pernah direkodkan di Amerika dan bakal mencatat sejarah penyebab kematian tinggi disebabkan bencana alam itu.
Ketika pakar dan penyelidik terus diselubungi buntu mengenai amukan puting beliung dan ribut taufan kali ini yang dahsyat, di satu sudut lain penyelamat trauma apabila menemui mayat dalam keadaan yang menyayat hati - dalam kenderaan terbalik, putus anggota badan dan dihimpit seperti tin kosong.
“Petunjuk radar menyebabkan kami mengeluarkan amaran ketika ribut itu masih jauh daripada kawasan barat Joplin. Taufan itu berlaku 24 minit selepas amaran dikeluarkan, Ia cuma dikeluarkan apabila kami melihat puting beliung besar bergerak ke sesuatu kawasan dan mengesahkan ia sememangnya puting beliung. Dalam kes ini, amaran dikeluarkan berdasarkan radar. Tiada laporan puting beliung berlaku,” katanya.
Puting beliung Joplin adalah antara 68 puting beliung yang dilaporkan melanda tujuh negeri bahagian tengah utara Amerika, menurut Pusat Ramalan Ribut NWS. Kemusnahan di Missouri adalah terburuk, yang menyamai amukan puting beliung yang membunuh lebih 300 orang di seluruh selatan negara itu bulan lalu.
Penduduk di selatan turut diberi amaran sekerap 24 minit sekali tetapi taufan itu terlalu kuat untuk dihalang. Ia melanda seluruh bandar dari Tuscaloosa hingga Bristol dalam apa yang dikatakan puting beliung terburuk sejak April 1974.
Menurut statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja - dengan 875 berlaku sepanjang April 2011. Malah kali ini ia tidak menyentuh ladang dan kebun sebaliknya mengamuk di kawasan bandar raya seperti Joplin dan Tuscaloosa.
Satu badan penyelidik mengaitkannya dengan kitaran penurunan suhu di Lautan Pasifik sebagai sebahagian jawapan fenomena itu. Digelar La Nina, kitaran itu berlanjutan sekurang-kurangnya lima bulan dan berulang setiap tiga hingga lima tahun. Tahun ini, La Nina menolak arus kuat utara dan selatan, mengubah laluan angin yang biasa. Arus angin sejuk yang tinggi dalam atmosfera menolak udara panas daripada bawah, dan membentuk ribut petir.
Pengarah Pusat Ramalan Ribut, Russell Schneider, berkata puting beliung mempunyai pelbagai putaran, yang muncul daripada dinding bukaan angin utama.
“Banyak puting beliung daripada kuat kepada bahaya serta ganas mempunyai banyak putaran. Ia selalunya singkat dan putaran pelbagai itu menyebabkan kemusnahan teruk kerana kelajuan angin boleh mencecah 80 hingga 128 kilometer sejam lebih kuat,” katanya.
Pakar berkata bukaan awan yang besar boleh menyembunyikan dua atau lebih puting beliung, fenomena dikenali sebagai ‘kepelbagaian putaran.’ Ia selalunya boleh meranapkan bangunan yang berada dalam laluannya tetapi tidak menyentuh struktur berhampiran.
FAKTA: Apa puncanya?
Pembentukan: Angin kencang ribut petir yang berputar secara ganas dari udara dan mencecah daratan. Ia terbentuk apabila angin panas, lembap bertembung dengan udara sejuk dan kering.
Musim : Bermula pada awal musim bunga di kawasan sepanjang Teluk Mexico.
Tempoh: Puting beliung yang turut diiringi ribut taufan, angin kencang dan hujan batu boleh berlanjutan beberapa saat hingga lebih sejam. Kebanyakannya tidak sampai 10 minit.
Fizikal : Purata ukuran puting beliung adalah lebar kira-kira 200 meter
Kekerapan: Kira-kira 1,300 puting beliung menyerang Amerika setiap tahun. Statistik Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sudah 1,200 puting beliung melanda setakat tahun ini saja.
Laluan: Kebanyakan puting beliung bergerak dari barat daya ke timur laut, atau barat ke timur. Sebahagiannya menukar arah atau berpatah balik
Ramalan: Satu atau dua hari sebelum, pakar kaji cuaca melihat suhu dan aliran tiupan angin yang boleh menyebabkan kelembapan mencukupi, ketidakstabilan untuk menentukan kehadiran puting beliung.
Peralatan kesan : Pusat Kaji Cuaca Kebangsaan Amerika guna radar, satelit, belon cuaca dan komputer bagi memantau langit.
Pusat kejadian: Di sekitar Missouri, Arkansas dan Illinois dan bergerak ke arah Indiana, Ohio, Kentucky, Tennessee dan utara Mississippi, Amerika. Malah kawasan laluan utamanya Tornado Alley yang merentasi Texas ke Nebraska serta kawasan Colorado, Iowa, Indiana, Illinois, Kansas, Missouri dan Arkansas
Oleh Hazirah Che Sab
Sumber: BHarian.
p/s: Ia adalah peringatan dari Allah kepada seluruh manusia. Tanda kekuasaan Allah. Maha Kuasa Allah.
Firman Allah Ta’ala (ertinya):
“Dan musibah apa saja yang menimpa kalian, maka itu karena disebabkan perbuatan tangan- tangan kalian sendiri. Dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)” (QS. Asy Syura: 30).
Dan firman Allah Ta'ala (ertinya):
“Kebaikan/nikmat apa saja yang kamu peroleh, maka itu semua datangnya dari Allah. Dan kejelekan/musibah apa saja yang menimpamu, maka itu semua dari (kesalahan/dosa) dirimu sendiri” (QS. An Nisa: 79).
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan