Nuff Atas

17 Mei 2011

Kenali Dan Atasi Masalah Alergi



Adakah anda sering mengalami hidung berair, episod bersin berulang kali, berasa gatal di hidung dan mata, dan hidung tersumbat.

Jika jawapan anda ialah 'ya' bagi semua atau mana-mana satu ia mungkin simptom, Rinitis Alergi, dan perkara terbaik untuk dilakukan ialah berjumpa doktor dengan seberapa segera.

"Kemungkinan satu daripada setiap tiga warga Malaysia menghidap satu bentuk alergi dengan bilangan besar berlaku kepada kumpulan umur lebih muda," kata Dr Amir Hamzah Abdul Latiff, Presiden Pertubuhan Malaysia bagi Alergi dan Imunologi (MSAI).


APA DIA ALERGI?

Lazimnya ramai yang masih belum jelas akan masalah 'alergi'. Secara ringkas, ia sejenis gangguan hipersensitif pada sistem imun.

Dalam kebanyakan kes simptom-simptom dapat dilihat di tiga bahagian tubuh: gastrousus, respiratori dan kulit.

Kanak-kanak berusia sehingga lima tahun lebih cenderung untuk mengalami simptom di bahagian gastrousus dan kulit.

Sementara itu, simptom alergi respiratori akan bermula apabila seorang kanak-kanak mencapai usia tiga tahun dan selepas usia lima tahun ia secara perlahan-lahan akan berkembang sebagai simptom alergi paling lazim.

TINDAKAN BALAS RANTAI

Reaksi alergi bermula apabila seseorang dengan sistem imun hipersensitif terdedah kepada alergen yang boleh jadi hama debu yang ditemui di rumah, rumput, pokok, debunga, haiwan kesayangan, lipas, kulapuk, habuk dan yang lain.

Sebagai tindakbalas, tubuh akan mengaktifkan sejenis sel darah putih yang dikenali sebagai 'mast cell' yang kemudian mencetuskan respons inflamasi.

Secara fizikal kesan ini dapat dilihat apabila mereka yang terbabit mula bersin berulang kali, mengalami hidung berair dan berasa gatal di hidung dan mata.

Simptom ini boleh bertambah buruk jika tiada tindakan diambil. Selepas beberapa jam mereka yang terbabit mungkin mengalami hidung tersumbat, mata membengkak, rasa letih, tidak dapat mengawal perasaan atau mengalami gangguan tidur.

KEDUDUKAN ALERGI DI MALAYSIA

"Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa terdapat pencetus spesifik bagi alergi, atau impak yang disebabkan oleh alergi pada aktiviti harian dan prestasi mereka," tambah Dr Amir Hamzah.

Para penyelidik dari Universiti Malaya yang menjalankan saringan rambang ke atas 136 responden di sebuah kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur pada 2010 menemui data penting.

Walaupun 79.1 peratus responden mencatatkan episod Rinitis Alergi, hanya 28.3 peratus daripada mereka mendapatkan rawatan!

Keputusan saringan itu juga menunjukkan bahawa pencetus utama adalah debu, cuaca dan makanan. Sejumlah 80.2 peratus daripada responden menyalahkan debu bagi masalah itu diikuti oleh faktor cuaca dan alergen berkaitan makanan.

Kualiti kehidupan mereka yang terbabit juga terjejas teruk. Hampir 53 peratus daripada mereka dengan masalah ini mengalami gangguan tidur, 41.5 peratus menyaksikan masalah ini menjejaskan produktiviti mereka dan 31.1 peratus mendapati gaya hidup sosial mereka terjejas.

PENGALAMAN MEI FOONG

Bagi mereka seperti Pook Mei Foong, 30, semasa usia lima tahun beliau mengalami masalah hidung berair dan mata gatal apabila pergi ke tempat yang sejuk seperti Cameron Highlands.

"Selain daripada simptom ini, saya mula merengus dan mood saya tidak baik. Saya tidak dapat menikmati kehidupan seperti mereka yang lain sehingga saya menemui penawar dan saya kini berasa hebat!"

Pada usia 28 tahun, Mei Foong memutuskan untuk berjumpa doktor berhubung masalah itu yang akhirnya menemui jalan penyelesaian - ubat pil harian dan penyembur nasal.

"Alergi tidak boleh hilang tetapi dengan bantuan doktor ia boleh diuruskan. Mereka yang mengenali diri saya berkata saya kini nampak lebih ceria," tambah beliau.

TINDAKAN PERLU

"Sementara alergi tidak memudaratkan, impak terhadap kehidupan mereka yang menghidapnya dapat dilihat daripada simptom fizikal hinggalah tekanan emosi yang banyak menyukarkan kehidupan mereka," kata Dr Jeevanan Jahendran, anggota jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Malaysia bagi Pakar-pakar Otorinolaringologi - Pakar-pakar Bedah Kepala dan Leher (MSO-HNS).

Kurangnya kesedaran akan keadaan ini menjadi punca mengapa banyak kes tidak dapat didiagnosis dan dirawat. Untuk menangani isu ini, MSO-HNS dan MSAI dengan sokongan rakan industri GlaxosmithKline (GSK) telah memulakan kempen awam dikenali sebagai 'Hidup Bebas Alergi'.

Kempen ini dikhususkan bagi meningkatkan kesedaran umum akan alergi, menunjukkan kaitan antara penyakit pada hidung, kulit dan lelah.

Kempen ini dikendalikan melalui 500 buah klinik serta hospital dan 200 farmasi di seluruh negara.

Untuk membantu dalam usaha ini, kit Uji Diri Alergi (AST) telah dilancarkan sebagai satu perkakas untuk membantu orang ramai menguji sendiri sama ada mereka menghidap alergi respiratori. Kit ini sebenarnya adalah set soalan yang mengambil masa kurang tiga minit untuk dijawab.

"Orang ramai kini mempunyai perkakas untuk membuat penilaian dengan sendiri," kata Elamaran K.Sundram, Pengarah Unit Perniagaan, Jenama Perusahaan, Pemasaran Saluran dan Analitik Perniagaan GSK.

Jika seseorang itu didapati positif alergi selepas menjalani ujian itu, adalah lebih baik berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat lanjut berhubung strategi intervensi atau rawatan wajar.

Orang ramai boleh memperoleh AST di klinik serta farmasi yang mengambil bahagian di seluruh dunia atau layari laman web MSAI (www.allergymsai.org).

Hari ini, Mei Foong boleh ke mana-mana dan dapat menjalankan tugas dengan baik sebagai pengaturcara komputer, yang memerlukan beliau bertugas di pejabat-pejabat yang sejuk. Beliau juga mula belajar berenang yang menjadi sukan pilihannya - sesuatu yang beliau tidak boleh lakukan sehingga beberapa tahun yang lepas.

Kualiti kehidupan adalah begitu berharga. Sungguhpun alergi sering dianggap satu senario biasa dalam masyarakat, ia sebenarnya boleh membawa kesan teruk kepada penghidap.

Satu langkah dan nasihat yang mudah mampu membawa keajaiban terhadap kehidupan mereka berkenaan.

Marilah kita teladani kisah Mei Foong untuk kebaikan bersama.

Sumber: BERNAMA

2 comments:

cik aisha berkata...

mmg alergik.tp buat2 xalergk..:)

FEA berkata...

Sufea ada elergi! ><