17 Mei 2011

Kementerian Pelajaran Jadikan KIP Pusat Latihan



Berita Harian sebelum ini melaporkan kira-kira 3,000 unit Kuarters Institusi Pendidikan (KIP), khususnya di luar bandar, terbiar begitu saja kerana tidak didiami oleh guru kerana pelbagai faktor, termasuk lokasinya yang tidak sesuai dan tidak disenggara dengan baik.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata antara langkah yang diambil ialah menyewakan unit kosong kepada agensi kerajaan lain untuk kegunaan mereka.

Sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) terbiar di seluruh negara, Kementerian Pelajaran mengenal pasti tujuh kompleks KIP dijadikan sebagai pusat latihan guru.


Langkah itu membabitkan empat KIP yang diambil alih oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan tiga oleh Institut Aminudin Baki (IAB) bagi dijadikan pusat latihan masing-masing.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, berkata langkah itu adalah antara usaha kementerian untuk menggunakan sepenuhnya unit KIP yang kosong kerana enggan diduduki oleh guru di seluruh negara.

Katanya, selepas ini, guru atau guru besar yang diarah menjalani latihan atau kursus tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur atau IAB di Genting Highlands, sekali gus mengurangkan kos kementerian.

Pengambilalihan KIP oleh IAB membolehkan guru menjalani latihan atau kursus di zon masing-masing iaitu Pasir Putih bagi Zon Timur; Bandar Tenggara (Selatan) dan Simpang (Utara) yang turut menjimatkan kos latihan kementerian.

“Pusat latihan di KIP Batu Pahat sudah mula beroperasi, manakala di Pasir Putih memulakan kerja pengubahsuaian minimum,” katanya sambil menjelaskan langkah pengambilalihan bermula sejak tahun lalu.

Beliau berkata, kerja ubahsuai yang minimum diperlukan bagi menyesuaikan unit berkenaan sebagai pusat latihan.

Katanya, usaha menyewakan unit kosong kepada agensi lain juga diteruskan dan kementerian mensasarkan supaya semua unit KIP tanpa penghuni dapat digunakan tidak lama lagi.

INFO: Kuarters Institusi Pendidikan

• Empat KIP diambil alih oleh BPG di Sungai Karangan, Sungai Petani, Kedah; Sungai Buloh, Ipoh, Perak; Bandar Tenggara, Johor dan Temerloh, Pahang.
• Tiga KIP diambil alih oleh IAB di Bukit Jawa, Pasir Putih, Kelantan; Simpang, Taiping, Perak dan Batu Pahat Johor.

(Rujuk: BHarian)

Lokasi KIP di bandar besar didapati menjadi rebutan warga pendidik sehingga 2,000 pemohon dalam senarai menunggu di Kuala Lumpur disebabkan lokasinya strategik ditambah dengan kadar sewa di luar jauh lebih tinggi daripada Elaun Tetap Perumahan (ETP) dinikmati kakitangan awam.

(Rujuk: BHarian)

Berikutan dengan itu Kerajaan disaran memperbanyakkan pembinaan Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) di bandar, terutama sekitar Lembah Klang kerana guru bertugas di kawasan berkenaan sana lebih memerlukan kemudahan itu berbanding , guru luar bandar.

Permintaan terhadap kuarters adalah sangat tinggi di bandar terutama Lembah Klang sehinggakan ada guru terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kemudahan itu.

Kos sara hidup yang tinggi di bandar turut mendorong kebanyakan guru bujang serta berkeluarga khususnya yang dari luar bandar memilih tinggal di kuarters berbanding menyewa di luar.

Selain menunggu giliran sesama guru, mereka yang bertugas di bandar juga terpaksa bersaing dengan kakitangan lain Kementerian Pelajaran, seperti kakitangan sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tinggal di kuarters.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Adnan Hashim, berkata pihaknya ada menerima aduan guru di bandar yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kuarters sehingga tiga tahun lamanya.

“Biasanya kebanyakan guru enggan membuat aduan kerana tidak mahu memanjangkan isu berkenaan tetapi kita ada menerima aduan secara individu kerana guru berkeluarga diberikan keutamaan menduduki kuarters. Guru bujang pula tidak dibenarkan tinggal seorang di kuarters. Ini tidak adil kerana mereka perlu mencari dua rakan lagi untuk tinggal di kuarters yang dimohon,” katanya.

(Rujuk: BHarian)

0 comments: