01 Jun 2011
Iltizam Guru Pendidikan Khas
Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan pendidikan yang disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi (pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.
Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) menyediakan Sekolah Pendidikan Khas untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala Sekolah Pendidikan Khas Integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.
Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua tahun maksimum mengikut keperluan murid.
Sumber: Wikipedia
Iltizam Guru Pendidikan Khas
AKTIVITI belajar membuat aiskrim.
RAMAI yang beranggapan bahawa mengajar murid pendidikan khas merupakan tugas yang sangat mudah.
Tanggapan itu timbul memandangkan murid di dalam kelas itu hanya sekitar lima hingga 10 orang berbanding kelas perdana yang menempatkan lebih 20 orang murid.
Sebenarnya, tugas untuk mengajar dan mendidik murid pendidikan khas tidak semudah yang disangka kerana mereka merupakan golongan istimewa berbanding murid-murid di kelas perdana.
Murid pendidik khas terbahagi kepada tiga kategori iaitu masalah pembelajaran, masalah pendengaran dan masalah penglihatan.
Bagi guru-guru wanita, tugas mereka tidak ubah seperti seorang ibu kerana murid-murid pendidikan khas memerlukan layanan yang baik sebagaimana melayan anak-anak di rumah.
Pn. Fatimah Jantan, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas di sebuah sekolah di Jerantut berkata,
"Guru-guru yang mengajar pendidikan khas harus mempunyai tahap kesabaran yang tinggi, berdisiplin, bertolak ansur dan sentiasa berfikiran positif. Setiap murid mempunyai kerenah yang berbeza dan memerlukan perhatian yang sewajarnya."
“Keupayaan pemikiran mereka sangat lemah, tidak memiliki kecemerlangan akal dan kadangkala tidak dapat mengawal emosi selain gagal mematuhi arahan yang diberikan,”
"Guru pendidikan khas harus mengenali murid dengan lebih rapat dan cuba menyelami perasaan mereka kerana golongan istimewa itu tidak dapat memberi perhatian yang sepenuhnya ketika belajar."
“Guru mestilah berfikiran kreatif terutamanya dalam menyediakan alat bantu mengajar agar murid melahirkan rasa minat untuk belajar."
“Kita tidak hanya bercakap di depan ketika mengajar sebaliknya turut menggunakan kaedah nyanyian dan permainan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas.”
Menurutnya, biarpun sepenuh masa bersama murid-murid pendidikan khas, namun mereka turut melakukan tugasan lain yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Pengurusan diri
PARA pelajar pendidikan khas juga mempunyai upaya berdikari yang baik jika dibimbing dan dilatih dengan penuh dedikasi.
Selain tumpuan terhadap akademik, murid-murid pendidikan khas turut diterapkan dengan kemahiran menguruskan diri dan pengurusan tingkah laku.
“Inilah yang paling penting bagi murid-murid pendidikan khas kerana mereka tidak harus bergantung sepenuhnya kepada orang lain apabila masuk ke alam remaja dan seterusnya,” kata Pn. Wan Mahizan Wan Mohamad yang juga bertugas di salah sebuah sekolah di Jerantut.
"Guru-guru akan mengajar mereka cara menguruskan diri termasuk memakai dan membuka pakaian, mencuci pakaian, membersihkan diri, pengurusan bilik tidur dan mencuci pinggan serta cawan."
“Kita ingin lihat mereka berdikari dengan sendiri. Sampai bila mereka hendak mengharapkan bantuan orang lain.”
Bagi pengurusan tingkah laku pula, Wan Mahizan memberitahu, guru-guru akan mendidik murid agar mengelak daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang lain.
Setiap kesalahan yang dilakukan pula akan ditegur dan diubah serta-merta dan guru-guru akan menilai sejauh mana teguran tersebut dapat mengubah corak kehidupan anak didik mereka.
Kemahiran hidup
Sementara itu, murid-murid pendidikan khas turut mengikuti mata pelajaran Kemahiran Manipulatif dan Kemahiran Hidup yang memberi penekanan kepada penggunaan peralatan yang ada di sekitar mereka.
Mereka turut diajar cara berkebun dan penggunaan setiap alatan dengan betul agar tidak mendatangkan kecederaan kepada mereka.
Seorang guru pendidikan khas Pn. Syahrima Abdul Hamid berkata, beliau telah membuat projek Bumi Hijau dengan menggalakkan anak didiknya bercucuk tanam.
“Kami tanam pelbagai jenis pokok seperti bayam, terung, lada, bayam, kangkung, kailan, kacang tanah, betik, serai dan daun kesum.
“Sebelum proses penanaman bermula, murid-murid akan diberi penerangan mengenai cara untuk gemburkan tanah dan menanam bijih benih serta teknik menggunakan setiap peralatan dengan betul.”
Seterusnya, murid-murid itu diajar cara menyiram, membaja dan menjaga pokok daripada serangan serangga perosak. Akhir sekali, mereka dibimbing untuk memungut hasil tanaman itu.
Hasil tanaman yang telah dituai akan dijual kepada kakitangan sekolah, ibu bapa dan kedai runcit berhampiran.
Projek keusahawanan
SEBAHAGIAN daripada pelajar pendidikan khas menunjukkan kemahiran mereka menggoreng cekodok di SK Bandar Jerantut.
SK Pulau Tawar merupakan salah satu sekolah yang menjadi contoh di daerah Jerantut dengan menggerakkan projek keusahawanan pada tahun 2009.
Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran di sekolah berkenaan telah berjaya menghasilkan beberapa kraftangan seperti tudung saji, gubahan bakul, kotak serba guna diperbuat daripada kotak terpakai, tali makarami serta hiasan kulit kayu manis.
“Kami ada lima orang guru dan 13 orang murid yang bergandingan untuk menghasilkan sesuatu produk dan kebiasaannya setiap produk disiapkan dalam tempoh seminggu.
“Ada juga sesetengah kraftangan yang kami serapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti dalam subjek kemahiran manipulatif, kemahiran hidup dan pendidikan seni,” ujar Pn. Anisah Jaafar.
Anisah berkata, selain kraftangan, murid-murid turut diajar membuat kuih dan memasak makanan yang ringkas.
“Masakan yang pernah diajar kepada murid termasuk membuat donat, piza, nasi goreng, sandwic, kuih puteri ayu dan mi kari. Roti sosej bersalut telur merupakan salah satu menu yang menjadi pilihan dan pernah ditempah oleh sekolah berhampiran.”
Beliau memberitahu, produk-produk yang dihasilkan akan dijual di sekolah dan kedai berhampiran selain menerima tempahan dari pihak luar.
Ternyata tugas guru pendidikan khas tidak semudah yang disangka biarpun mereka tidak mengejar kecemerlangan akademik seperti guru-guru di kelas perdana.
Bagi mereka, kebolehan murid untuk menguruskan diri dan tidak bergantung harap kepada orang lain sudah memadai untuk mengukir senyuman di bibir masing-masing.
Sumber Artikel: Kosmo
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
kanak2 istimewa juga adalah permata negara... hehehh
Catat Ulasan