10 Jun 2011

Pendapat Ulama Tentang Bulan Rejab



REJAB adalah satu bulan Islam yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW. Kalimah Rejab dalam bahasa Arab bermakna mulia, dan terhormat. Tambahan pula masyarakat jahiliah sangat menghormati bulan ini.

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam Lataif al-Ma'arif menyebutkan nukilan sebahagian ulama ada 14 nama untuk bulan ketujuh ini dan sebahagian lagi menyebut hingga 17 nama.

Al-Hafiz Ibnu Hajar menukil penjelasan Ibnu Dihyah bahawa bentuk kata jamak daripada Rejab adalah arjaab, rajabaanat, arjabah, araajib dan rajaabil, lalu bulan ini beliau menyatakan memiliki 18 nama (lihat Muqaddimah Tabyiin ar-'Ajab).

Rejab termasuk salah satu antara bulan yang memiliki kemuliaan selain Ramadan kerana ia dikira empat bulan yang haram.


Kemuliaan dan kehormatannya diisyaratkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu sebagaimana merekapun memerangi kamu, dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa." (at-Taubah : 36).

Para ulama berbeza pendapat mengapa keempat bulan tersebut dinamakan dengan bulan haram.

Ada dua pendapat yang terkenal mengenai iaitu pertama, dinamakan bulan haram kerana besarnya kemuliaan dan kehormatan bulan-bulan tersebut dan besarnya pula akibat dari dosa yang dilakukan pada bulan-bulan berkenaan.

Qatadah bin Diamah, seorang mufassirin (ahli tafsir) daripada kalangan tabiin ketika menjelaskan makna firman Allah dalam surah at-Taubah di atas: ...maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu..., berkata: "Amalan soleh di bulan-bulan haram lebih besar pahalanya sebagaimana perbuatan menganiaya lebih besar dosanya di bulan-bulan haram walaupun secara umum di bulan mana sahaja perbuatan menganiaya adalah dosa besar". (lihat Tafsir al-Baghawi).

Faktor kedua dinamakan bulan-bulan haram kerana peperangan diharamkan pada bulan-bulan tersebut dan hal ini sudah dikenali sejak zaman jahiliah bahkan konon sejak zaman Nabi Ibrahim.

Allah telah menegaskan haramnya berperang di bulan-bulan haram sebagaimana firman yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang berperang pada bulan haram. Katakanlah: "Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar, tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah (menghalangi masuk) Masjidil Haram dan mengusir penduduknya dan sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah, dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh". (al-Baqarah: 217).

Amalan dan bulan Rejab

Para ulama menjelaskan bahawa keempat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Rejab, Syaaban) memiliki keistimewaan dan keutamaan berbanding bulan-bulan lain kecuali bulan Ramadan.

Berikut beberapa contoh amalan yang banyak dikerjakan oleh sebahagian kaum Muslimin di bulan Rejab beserta penjelasan singkat mengenai hukumnya.

1.  Umrah di bulan Rejab: Dalil yang digunakan untuk mengerjakan umrah adalah athar dari Ibnu Umar r.a, "Bahawa Nabi SAW pernah melaksanakan umrah sebanyak empat kali. Salah satunya pada bulan Rejab". (Riwayat Tirmizi).

2.  Puasa sunat : Tidak ada hadis sahih marfuk yang mengkhususkan puasa sunat di bulan Rejab, kerana sebahagian ulama Salaf di antaranya Ibnu Umar, Hasan Basri dan Abu Ishak as-Sabi'i memperbanyak puasa di keseluruhan bulan haram tanpa mengkhususkan di bulan Rejab.

Beberapa sahabat Rasulullah di antaranya Aisyah, Umar al-Khattab, Abu Bakrah, Ibnu Abbas dan Ibnu Umar telah mengingkari orang yang berpuasa penuh di bulan Rejab atau mengkhususkan berpuasa di bulan Rejab.

Ibnu Solah berkata: "Tidak ada hadis sahih yang melarang atau menganjurkan secara khusus berpuasa di bulan Rejab, maka hukumnya sama di bulan lainnya iaitu anjuran berpuasa secara umum".

Imam Nawawi berkata: "Tidak ada larangan demikian pula anjuran secara khusus berpuasa di bulan Rejab tetapi secara umum hukum asal berpuasa adalah dianjurkan".

Sheikh Usaimin berkata: "Tidak ada keutamaan khusus yang dimiliki oleh bulan Rejab dibandingkan dengan bulan-bulan haram lainnya, tidak dikhususkan umrah, berpuasa, solat, membaca al-Quran bahkan sama sahaja dengan bulan haram lainnya.

"Semua hadis yang menyebutkan keutamaan solat atau berpuasa padanya maka darjatnya lemah yang tidak boleh dibangun di atasnya hukum syarie".

Sheikh Islam Ibnu Taimiyah berkata tentang hadis-hadis keutamaan berpuasa dan solat khusus di bulan Rejab: "Semuanya dusta menurut kesepakatan para ulama".

3. Solat Raghaib: Solat ini jumlah rakaatnya 12 dengan enam kali salam. Biasanya dikerjakan selepas Maghrib di hari Jumaat pertama bulan Rejab.

Bacaan dalam setiap rakaat selepas surah al-Fatihah adalah surah al-Qadar (tiga kali) dan surah al-Ikhlas (12 kali).

Setelah solat biasanya mereka berselawat sebanyak 70 kali dan berdoa. Solat seperti ini tidak diragukan lagi termasuk solat yang bidaah kerana hadis yang menyebutnya termasuk hadis palsu sebagaimana diterangkan oleh Imam Ibnu Jauzi dalam Al-Maudhu'aat.

Imam Nawawi berkata: "Segolongan para imam telah menyusun tulisan yang berharga dalam menjelaskan keburukan dan kesesatan orang mengerjakan dan melakukan bidaah. Dalil-dalil tentang keburukan, kebatilan dan kesesatan pelakunya memang banyak hingga tidak terhitung. (Syarah Sahih Muslim).

4.  27 Rejab (Israk dan Mikraj): Begitu juga tidak ada hadis yang sahih menentukan bila sebenarnya terjadi malam Israk dan Mikraj di bulan Rejab atau selainnya.

Setiap yang menentukan waktu terjadinya malam tersebut adalah hadis lemah menurut para ulama hadis.

Dilupakannya manusia akan waktu terjadinya merupakan hikmah besar yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Bahkan sekiranya ada dalil sahih yang menentukan bila terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj, maka tidak digalakkan kaum Muslimin mengkhususkannya dengan kegiatan ibadah-ibadah tertentu dan tidak digalakkan pula merayakannya.

Sebabnya, Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah merayakannya dan tidak mengkhususkan malam tersebut dengan sesuatu kegiatan ibadah.

Sekiranya perayaan tersebut disyariatkan, tentu Rasulullah telah menerangkannya kepada umatnya dan juga kepada para sahabat Baginda.

Huzaifah berkata: "Setiap ibadah yang tidak dilakukan oleh para sahabat Rasulullah, maka jangan kamu beribadah dengannya".

Said bin Jabir mengatakan: "Apa yang tidak dikenal oleh Ahli Badar bukanlah bahagian daripada ad-Din (agama)".

Nabi SAW juga orang yang paling banyak memberi nasihat kepada manusia dan menyampaikan seluruh risalah serta telah menunaikan amanah. Seandainya memuliakan dan merayakan malam tersebut merupakan sebahagian dari ad-Din tentu Nabi SAW telah menyampaikan dan tidak akan menyembunyikannya.

Allah SWT telah menyempurnakan bagi umat ini agama mereka serta mencukupkan nikmat-Nya atas mereka, dan Allah mengingkari siapa sahaja yang membuat syariat yang tidak diizinkan-Nya.

Ia sebagaimana firman yang bermaksud: Pada hari ini (Arafah) telah Ku sempurnakan agama kamu, dan telah Ku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku, dan telah Ku reda Islam itu jadi agama bagi kamu. (al-Maidah: 3)

Tidak ada dalil sahih yang menganjurkan amalan khusus di bulan Rejab atau berpuasa khusus di bulannya.

Oleh itu, bagi yang ingin meraih kemuliaan bulan ini hendaknya berhati-hati daripada melakukan hal-hal yang bercanggah dengan syariat agama.

Kita juga perlu mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang baharu dalam peribadatan yang menjerumuskan dirinya ke dalam bidaah yang menodai kehormatan bulan Rejab dan menjadikannya terjatuh ke dalam dosa besar.

Oleh IBRAHIM ABDULLAH
Sumber: Utusan

3 comments:

ApiH berkata...

info yang menarik...

Falcoa wa ! berkata...

suke bace entry nieh...terbaikkk :)

Unknown berkata...

great! tq sharing