09 Jun 2011

Nasib Malang Beruang Hitam Asia


PAPARAN iklan peringatan bahawa 'pengedar haram hidupan liar boleh menerima hukuman berat jika tertangkap'.

SEEKOR beruang hitam liar mengaum sambil menggoncangkan galang-galang sangkar segi empat tepat yang kelihatan hanya besar sedikit daripada tubuhnya.

Mamalia yang mempunyai bulu tebal itu tidak ubah seperti ribuan beruang lain merentasi Asia apabila hanya menanti detik pemiliknya mengekstrak hempedu daripada tubuh gebunya.

Hempedu merupakan bahan yang dihargai dalam perubatan tradisional Cina. Dalam sebuah bangunan tidak bertingkap berbau hancing di bandar Boten, Laos, berdekatan sempadan negara China, terdapat kira-kira 15 sangkar logam tersusun rapi.


Setiap satu sangkar logam berkenaan menempatkan seekor beruang. Sukar bagi mamalia itu untuk bergerak apatah lagi berdiri kerana ruang yang sempit.

“Sekiranya sangkar lebih besar, ia akan mengundang bahaya kepada orang yang menjaga haiwan ini,” kata Se yang merupakan pemilik ‘ladang’ beruang hitam Asia itu.

Di halaman ladang tersebut, terdapat empat ekor anak beruang yang baru dilahirkan beberapa minggu lalu. Ia akan dijual pada harga AS$750 (RM2,255) setiap seekor kepada pedagang haram. Anak beruang malang itu akan menerima nasib yang sama tidak lama lagi.

“Sekali sehari, kami akan mengekstrak hempedu daripada seekor beruang dengan menggunakan jarum. Kami melakukan penukaran beruang setiap hari,” kata Se.

Pejuang kempen hak asasi haiwan menuntut pengharaman terhadap amalan mengekstrak hempedu beruang kerana ia menyeksa haiwan tersebut selain memendekkan usia beruang.

Malah, selepas beberapa tahun beruang-beruang itu akan dibunuh untuk membolehkan penternak atau pemburu menjual anggota badannya yang lain.

Permintaan China

“Pada kebiasaannya, hempedu akan diekstrak menggunakan pembedahan yang sangat kasar atau melalui penanaman kateter.

Kerosakan teruk pada pundi hempedu sudah biasa malah tumor juga akan terhasil daripada tindakan ini,” kata Jude Osborne yang menguruskan tempat perlindungan yang dibangunkan Dana Pembebasan Beruang Australia berhampiran Luang Prabang, Laos.

“Keadaan beruang di ladang ini amat menakutkan dengan kesakitan tidak terhingga dan penderitaan mental,” kata Osborne.


HEMPEDU daripada tubuh beruang diproses sebagai ubat kapsul atau cecair.

Akibatnya, jangka hayat mamalia tersebut berkurangan kepada 10 tahun, sambung Pengarah Penyelidikan Keprihatinan Haiwan dan Pendidikan Masyarakat (ACRES), Loius Ng yang berpangkalan di Singapura. Hakikatnya beruang liar mampu hidup menjangkau sehingga 25 tahun.

“Selepas membunuh haiwan-haiwan ini, mereka akan mengambil pundi hempedu untuk membuat ubat tradisional Cina, malah kakinya dimasak sebagai sup.

“Mereka percaya bahawa amalan meminum sup tersebut akan menjadikan seseorang itu sekuat beruang,” kata Ng.

Menurut laporan yang dikeluarkan TRAFFIC, sebuah rangkaian memantau perdagangan haiwan liar, terdapat sekurang-kurangnya 12,000 beruang berdepan dengan senario tersebut di Asia.

Majoriti beruang terlibat ialah beruang hitam Asia yang juga dikenali sebagai beruang bulan.

Perdagangan beruang telah diharamkan oleh Persidangan Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).

China merupakan pengeluar terbesar hempedu dengan pengeluaran dianggarkan mencecah enam hingga 30 tan satu tahun, kata TRAFFIC.

Negara berkenaan juga mengeksport produk beruang dengan banyak di wilayahnya yang masih sah dalam perdagangan beruang.

Organisasi yang berpangkalan di United Kingdom mendapati hempedu dari China terdapat dalam sejumlah ubat tradisionalnya yang dijual di seluruh Asia.

Hempedu beruang didapati dalam pelbagai bentuk termasuk cecair, serbuk dan pil. Hempedu beruang biasanya digunakan dalam rawatan pelbagai penyakit dari kerongkong ke sawan dan terseliuh.

“Perladangan beruang mempunyai permintaan dan hempedu juga kini boleh didapati dalam ubat gigi, gula-gula dan syampu,” kata Kaitlyn Foley dari TRAFFIC.

Ladang baru di Laos


SANGKAR besi sempit sengaja dibina untuk memudahkan penternak mengekstrak hempedu beruang hitam Asia.

Dalam pada itu, menurut kumpulan kebajikan haiwan, Laos kini menjadi lokasi tumpuan untuk penternakan beruang di Asia.

“Kebanyakan peladang dari negara Vietnam kini beralih arah ke Laos untuk memulakan ladang kerana kerajaan Vietnam mengetatkan kawalan terhadap mereka,” kata Ng.

Foley menambah, satu kebimbangan TRAFFIC adalah dengan tekanan yang meningkat untuk menutup ladang-ladang di China dan Vietnam, kemungkinan terdapat satu pasaran yang sedang berkembang di Laos dan Myanmar.

Di Laos, pembiakan dijalankan oleh peladang Vietnam atau China

“Kami perlu lebih berwaspada terhadap sebarang percubaan mewujudkan ladang-ladang secara haram di Laos.

“Kami bekerja rapat dengan pihak berkuasa di sini dalam usaha memastikan keadaan ini tidak berlaku,” ujar Foley lagi.

Di Lapangan Terbang Vientiane, terdapat satu papan iklan besar menunjukkan gambar-gambar beruang untuk mengingatkan pengedar haram hidupan liar boleh dihukum oleh undang-undang.

“Setiap kali anda membeli, alam semula jadi akan membayar,” katanya.

Di Boten, kedai Se sangat terkenal.

“Saya membeli beberapa hempedu untuk sepupu saya yang mempunyai masalah lemah lutut,” kata seorang pelanggan yang meninggalkan kedai tersebut dengan bebuli kecil dibeli pada harga AS$4 (RM12).

Se turut menawarkan gigi beruang, kulit gajah dan racun wain.

Sumber: Kosmo

4 comments:

ellieandcarl'sstories berkata...

ntah ape salah nye. jd berunag pon slah. manusia pon salah.. adoii dian binatang tuhh

Unknown berkata...

ni ke spesis Kungfu Panda yg glamer kat movie tu?
cian nyeeee :(

Koding berkata...

Norizz.. spesies kungfu panda putih dan bertompok hitam... lagi comel..

mOon EyEzS berkata...

...kesiannya...china ni mcm2 hal la...
grrrrrr....