04 Jun 2011

Sistem Beraja di Malaysia

Bersempena Sambutan Hari Keputeraan SPB Yang Dipertuan Agung pada hari ini, Kosmo telah menyediakan satu artikel khas tentang Sistem Beraja di Malaysia. Berikut adalah artikel tersebut.



SEGALA-GALANYA bermula daripada dasar Malayan Union yang diperkenalkan pada 4 April 1946 di Tanah Melayu oleh Parti Buruh Britain.

Sebaik Perang Dunia Kedua tamat, British yang kembali ke Tanah Melayu mengusir tentera Jepun menganggap kedaulatan Tanah Melayu sudah tidak wujud. Malah, British berpendapat sudah tiba masanya mereka berkuasa dalam menentukan sistem pentadbiran Tanah Melayu.

Bertitik-tolak daripada pascapeperangan berkenaan tanpa melakukan sebarangan rundingan bersama wakil orang Melayu, British mengambil keputusan memperkenalkan Malayan Union.


Malangnya, dasar Malayan Union telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Melayu.

Ketika itu, Dato Onn Jaafar, Dr. Burhanudin Helmi pegawai, kumpulan bangsawan dan segelintir orang Melayu menentang Malayan Union.

Mereka rasa terhina dengan sikap British yang angkuh dan bertindak sesuka hati dalam mewujudkan pentadbiran baru di Tanah Melayu. Lebih menyemarakkan kemarahan apabila British mahu menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu.

Raja-raja Melayu bukan saja diminta menyerahkan kedaulatan negeri masing-masing kepada British malah undang-undang baru diperkenalkan kepada raja-raja. Secara tidak langsung, dasar Malayan Union itu sendiri yang menyebabkan orang Melayu hilang sabar dan tercabar apabila kedaulatan raja-raja dan maruah bangsa diperkotak-katik oleh bangsa asing.

Menurut tokoh sejarah Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, fenomena kebangkitan dan kemarahan orang Melayu memberi kejutan kepada pihak British yang selama ini menyifatkan orang Melayu mudah menurut perintah.

Ujarnya, jika orang Melayu pada era itu tidak bangkit menentang Malayan Union, tidak mustahil Tanah Melayu atau Malaysia hari ini tidak mempunyai raja-raja berdaulat yang memayungi negara.

“Episod kemarahan orang Melayu terhadap Malayan Union telah membawa berita baik khususnya kepada orang Melayu.

“Bagi memastikan institusi Raja-Raja Melayu tidak dihapuskan dan terus kekal, maka jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Ini disebabkan berdasarkan laporan Suruhanjaya Reid, Persekutuan Tanah Melayu yang mengecapi kemerdekaan wajar diketuai seorang raja,” jelas Kay Kim yang turut memberitahu jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan pada Ogos 1957 selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Sistem monarki



Memandangkan Malaysia memiliki Raja-Raja Melayu dari sembilan buah negeri seperti iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak, maka setiap raja diberi peluang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh lima tahun. Ia termaktub dalam Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.

Secara amnya, jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan yang diwarisi turun temurun. Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai ketua negara yang memayungi rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan taraf kehidupan.

Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen pada dua peringkat iaitu peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri.

Pada peringkat Persekutuan, ketua negara merupakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong manakala di peringkat negeri ketua negeri dikenali dengan pelbagai nama seperti Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar atau Yang Dipertua Negeri.

Raja berperlembagaan bermaksud sistem beraja mengikut perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri manakala raja di sesebuah negeri pula bertindak menurut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, dilantik menerusi undi sulit dan persidangan oleh Majlis Raja-raja yang dihadiri oleh sembilan raja setiap negeri.

Seorang lagi pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam memberitahu, sistem beraja di Tanah Melayu sudah mula wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar tahun 1400 yang diasaskan Parameswara iaitu seorang putera raja Srivijaya dari Palembang.

Evolusi sistem beraja


PENENTANGAN Orang Melayu terhadap Malayan Union meneruskan legasi raja-raja berdaulat yang memayungi negara.

Meskipun pada satu ketika Melaka pernah lumpuh akibat diserang Portugis tetapi sistem kerajaan dan raja sentiasa ada apabila putera Sultan Alauddin Riayat Shah II anak kepada Sultan Mahmud Shah menubuhkan Kesultanan Johor di Johor bagi meneruskan dan mewarisi Kesultanan Melaka.

“Sistem beraja di Malaysia turut mengalami evolusi sejajar dengan peredaran masa tanpa sedikitpun menjejaskan hak dan keistimewaan raja itu sendiri. Lagipun peranan raja pada zaman dulu dan kini sudah berbeza.

“Dahulu raja mempunyai kuasa mutlak. Segala arahan, cadangan dan keputusan diputuskan oleh raja kerana pada masa itu Dewan Rakyat dan Parlimen belum wujud. Hari ini, negara yang mengamalkan konsepkan demokrasi segala keputusan dan rang undang-undang yang dibuat perlu dibincang terlebih dahulu tetapi perlu mendapat perkenan raja,” jelas Ramlah kepada Kosmo!.

Tambah Ramlah, Yang di-Pertuan Agong adalah lambang keutuhan negara. Sebagai ketua negara, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan dan kuasa penting pada pentadbiran negara serta rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Selain bertindak sebagai ketua agama Islam, Yang di-Pertuan Agong turut berfungsi dalam tiga cabang utama iaitu eksekutif kerajaan, legislatif dan kehakiman. Dalam cabang eksekutif kerajaan, Agong berkuasa melantik Perdana Menteri, selepas pilihan raya umum manakala diperingkat legislatif pula Agong merupakan salah satu komponen Parlimen yang bertindak memanggil dan membubar Parlimen.

Sementara itu, dalam cabang kehakiman, Agong mempunyai peranan besar melantik ketua hakim negara selepas berunding bersama Majlis Raja-Raja berdasarkan nasihat Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai cabaran dan kesukaran Yang di-Pertuan Agong pada hari ini yang berhadapan dengan ancaman pihak tidak bertanggungjawab untuk membubarkan sistem beraja di Malaysia, Ramlah menjawab ringkas:

“Raja mahupun jawatan Yang di-Pertuan Agong sentiasa terpelihara dan dilindungi. Perkara 181 (1), Perlembagaan Persekutuan sememangnya menjamin kedaulatan dan kuasa raja untuk terus memayungi negara.

“Rakyat tidak sewajarnya mempertikaikan peranan dan kedaulatan raja-raja. Kita seharusnya menghormati raja seperti yang termaktub dalam ikrar taat setia, Rukun Negara yang berbunyi, Kesetiaan kepada Raja dan Negara,” tutur Ramlah.

Sumber: Kosmo

3 comments:

Auni Aizie. berkata...

daulat tuanku :)

CikTeddyCorner berkata...

wah..rase mcm bljr sjrah..huhu
nice info koding..
tertanya2 la..cmne blh dpt nme koding?

Unknown berkata...

Selamat hari agung...cuti3...