22 Julai 2011

Adakah Budaya Membaca Rakyat Malaysia Di Tahap Yang Baik?

Adakah anda tergolong dalam golongan yang minat membaca? Apakah genre bahan bacaan yang menjadi pilihan anda?

Saya pasti sebahagian besar daripada anda memilih untuk membaca bahan bacaan ringan dan santai. Tidak ramai yang memilih untuk membaca bahan bacaan ilmiah melainkan jika anda adalah golongan pelajar. Ikuti artikel berikut yang ditulis berkaitan tentang hal ini.


~Gambar Hiasan~

Apabila dilaporkan kajian terkini pembacaan rakyat Malaysia meningkat sebanyak lapan hingga 12 buku setahun, ramai merasakan ia sesuatu yang harus dibanggakan.

Alasan mereka angka itu menunjukkan peningkatan kerana kajian 2005 mendapati hanya purata dua buah buku sahaja dibaca oleh seorang rakyat negara ini dalam setahun.

Dari satu sudut kajian itu, ia menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia sudah semakin positif.


Akan tetapi, kajian sebelum ini menunjukkan sebilangan besar daripada pembaca Malaysia lebih cenderung membaca buku atau majalah bercorak "ringan".

Bolehkah seseorang itu sekadar bergantung dengan membaca bahan ringan untuk menjadi bangsa berjaya, bak cogan kata "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya".

Bekas Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang membaca bahan berunsur ringan tetapi janganlah seratus peratus berpaut kepada genre sedemikian.

"Seharusnya mereka perlu pelbagaikan bahan bacaan, ilmiah dan ringan. Ini kerana kita hendak melahirkan generasi pemikir, pemikir besar akan datang dan ini sangat penting," katanya yang juga merupakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional.

Sesetengah masyarakat hari ini ialah mereka lebih gemar memilih bahan bacaan yang bersangkut-paut dengan pekerjaan mereka dan bergenre ringan.

Bagi mereka, membaca luar daripada skop sedemikian adalah "merugikan", "buang masa" dan tidak berfaedah ke arah pembentukan diri.

Stigma sedemikian akhirnya menyekat horizon pengetahuan mereka yang sepatutnya diisi dengan kepelbagaian ilmu, kata Mohamad Ali.

"Skop pengetahuan mereka agak terhad, dunia pemikirannya dengan dunia penaklukan pemikirannya tidak luas. Kita hendakkan warganegara yang mempunyai pemikiran global, jadi kita mesti banyak baca.

"Bagaimana untuk menguasainya kalau kita baca tidak meluas dan hanya baca bahan ringan sahaja? Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid ketika di sekolah menengah membaca semua bahan di perpustakaan dan pengetahuannya membolehkannya menafsir dan berdiskusi," katanya.

Menganggap situasi begini ekoran daripada sistem pendidikan yang berorientasikan "peperiksaan" berbanding "pendidikan sepanjang hayat" menyebabkan budaya membaca belum sampai ke tahap menginsafkan, memahami dan menghayati.

"Ini menyebabkan mereka hanya membaca bahan ringan dan buku ilmiah pun sekadar untuk lulus peperiksaan dan peningkatan kerjaya. Disebabkan itulah, kita belum lagi sampai tahap membaca merupakan sesuatu yang menyeronokkan dan rasa kesal sekiranya tidak membaca," katanya.

Tanggapan minat pembacaan buku tidak boleh dipaksa, harus disangkal kerana sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencorakkan budaya membaca dalam kalangan anak-anak.

"Saya tidak setuju kita pupuk minat membaca anak-anak dengan menjurus apa yang mereka minat. Ibu bapa harus tentukan dan pupuk minat membaca pelbagai jenis, ilmiah dan ringan.

"Bila mereka sudah biasa membaca buku ilmiah sejak kecil, budaya itu akan terus terbawa sehingga dewasa," kata Mohamad Ali.

IMPLIKASI

Impian atau hasrat kerajaan mencapai status pendapatan per kapita tinggi sebanyak RM15,000 pada 2020 serta memiliki 37 peratus tenaga mahir menjelang 2015, mungkin akan menghadapi sedikit kesukaran sekiranya trend membaca buku ringan tanpa diselang-seli dengan ilmiah dibiarkan berterusan. (Sumber: BERNAMA)

Dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat

Dasar pembelajaran sepanjang hayat bertujuan menjadikan amalan pembelajaran sepanjang hayat sebagai gaya hidup masyarakat di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dasar berkenaan yang dijangka siap hujung tahun ini diharap dapat memantapkan program pembelajaran sepanjang hayat sebagai usaha melahirkan modal insan yang berkualiti dalam membentuk negara maju.

Beliau berkata pembelajaran sepanjang hayat merupakan satu dasar pendidikan yang diberi penekanan oleh kerajaan malah ia dianggap sebagai tonggak ketiga dalam sistem pendidikan negara selepas pendidikan sekolah dan pengajian tinggi. (Sumber: Bernama)

0 comments: