22 Julai 2011
Fadilat Surah Al-Ikhlas
Terjemahan:
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.
Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.
Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Fadilat surah al-Ikhlas
Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad menukilkan: Nabi SAW selalu membaca pada solat sunat Fajar dan solat witir surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun. Ini kerana kedua-dua surah ini mengumpulkan tauhid ilmu dan amal, tauhid makrifat dan iradat, tauhid iktikad dan tujuan.
Surah al-Ikhlas mengandungi tauhid iktikad dan makrifat dan apa yang wajib dipandang tetap teguh pada Allah menurut akal murni, iaitu Esa dan tunggal. Dia adalah pergantungan yang tetap, yang pada-Nya terkumpul segala sifat kesempurnaan, dan tidak pernah berkurangan dari segi mana pun.
Dia ternafi daripada beranak dan diperanakkan, kerana jika keduanya itu ada, Dia tidak jadi pergantungan lagi dan KeEsaannya tidak bersih lagi. Dan nafi atau tiadanya kufu', tandingan, bandingan dan gandingan adalah menafikan penyerupaan, perumpamaan ataupun pandangan lain.
Oleh kerana itulah, surah ini mengandungi segala kesempurnaan bagi Allah dan menafikan segala kekurangan. Inilah dia pokok tauhid menurut ilmiah dan menurut akidah, yang melepaskan orang yang berpegang teguh kepadanya daripada kesesatan dan mempersekutukan.
Dinyatakan di sini beberapa fadilat surah al-Ikhlas, antaranya:
* Daripada Abu Sa'd, ada seorang yang mendengar seorang lelaki membaca surah al-Ikhlas dengan berulang kali. Pada keesokannya, ia datang menemui Nabi SAW lalu ia menyebutkan cerita itu kepada beliau seolah-olah ia merasa surah itu sangat sedikit.
Lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Demi jiwaku ditangan-Nya, sesungguhnya surah itu menyamai satu pertiga al-Quran".
* Ibn Abbas r.a berkata: Surah al-Zalzalah sama nilainya dengan separuh al-Quran. Surah al-Ikhlas sama dengan sepertiga al-Quran. (riwayat al-Hakim)
* Dari Aisyah r.anha bahawa Nabi SAW pada suatu ketika telah mengirim pasukan tentera. Panglima tentera tersebut setiap kali solat yang dibacanya kuat akan menutup bacaan dengan surah al-Ikhlas.
Apabila pulang hal tersebut dikhabarkan kepada Nabi SAW. Lantas Baginda suruh bertanya sebabnya. Panglima tersebut menjawab: Itu adalah sifat Allah SWT yang bersifat Rahman dan saya amat suka membacanya. Mendengar keterangan tersebut, Baginda bersabda: Katakanlah kepadanya, bahwa Allah reda kepadanya.
* Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Aku menemui Rasulullah SAW, tiba-tiba Baginda mendengar seorang lelaki membaca surah Ikhlas. Lantas Baginda bersabda: Wajiblah. Aku bertanya apakah yang wajib itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: masuk syurga.
Surah ini memuatkan penolakan musyrikin dengan segala bentuknya. Allah SWT mengingkari zat-Nya mempunyai sifat memerlukan kepada yang lain dengan firman-Nya. Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mentauhidkan Allah dan makrifah dengan-Nya. Amin.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan