Bekas stesen KTM pengikat hubungan, sumber rezeki lebih 8 dekad
SUASANA cukup luar biasa menyelimuti Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Tanjong Pagar, jam 8.20 pagi itu pada 28 Jun lalu. Hari-hari terakhir Jun itu turut mengiringi detik-detik akhir kompleks berusia 80 tahun itu. Dan seakan mengerti nilai sentimental stesen itu, menyaksikan kehadiran sebegitu ramai manusia memenuhi segenap pelusuk ruangnya.
PEMANDANGAN Stesen KTM Tanjong Pagar pada 1950.
Bagi penulis sendiri, biarpun keletihan menempuh perjalanan lapan jam menaiki tren Senandung Sutera, perasaan itu ditenggelamkan rasa nostalgia yang lebih ketara dizahirkan di stesen paling selatan KTM itu. Tidak seperti hari-hari sebelumnya, plot pagi di Stesen KTM Tanjong Pagar pagi itu lebih mengundang emosi serta reaksi berbeza orang ramai yang akur perjalanan stesen itu bakal menemui titik noktahnya.
PEMANDANGAN Stesen KTM Tanjong Pagar pada Mei tahun lalu.
Stesen itu bukan sekadar bangunan kaku dengan barisan penumpang datang dan pergi, sebaliknya ibarat tugu yang sejak lapan dekad lalu merakam dan menjadi sebahagian detik bersejarah dunia hitam putih kepada kemilau warna pembangunan pesat dinikmati Singapura serta jambatan penghubung negara itu dengan Malaysia.
Malah kedudukannya yang membelah republik itu sudah cukup menggambarkan keunikannya. Bak usia seorang warga emas yang menunggu sisa hidup terakhirnya, tempoh perkhidmatan panjang stesen kereta api yang mendapat sentuhan neo-classical dan art-deco itu selayaknya memberi kesan emosi khususnya kepada individu yang merasai impak jalinan pengangkutan menghubungkan negara jiran itu.
Di segenap ruang stesen dirasmikan oleh Sir Cecil Clementi itu, tidak sunyi kelompok manusia yang tidak henti-henti merakamkan gambar bukti sejarah kenangan peribadi. Satu lagi kelompok berlegar di ruang menunggu dan perkarangan pintu masuk utama Stesen KTM Tanjong Pagar manakala di satu sudut lain, ramai pengunjung memenuhi meja bulat di medan selera untuk menikmati menu hidangan masakan Melayu sebagai hidangan sajian utama.
Sayu rasanya melihatkan di sebelah medan selera ini, ‘tergantung’ nota kecil bersaiz A4 yang merakam setinggi penghargaan kepada pelanggan setia pemilik restoran memandangkan tiada lagi perniagaan boleh diteruskan selepas tanggal 1 Julai.
Bagi menambah kesayuan, menyusuri laluan keluar pejalan kaki, tiga pekerja kontraktor mula menanggalkan kepingan papan tanda sebuah kedai buku dan majalah. Pemiliknya yang berwajah suram, sekadar duduk memerhatikannya. Seharian mencatatkan babak demi babak di Stesen KTM Tanjong Pagar, terserlah beberapa adegan yang jelas mengocak rasa sedih, pilu, kecewa dan hampa.
Ini termasuk seorang kakitangan KTMB yang berkampung hampir 30 tahun lamanya di stesen terakhir itu. Menurut kata Mohd Yapar Ali, 53, tempoh perkhidmatan panjang yang dilaluinya tidak sama dengan kesudahan keputusan yang mana dia perlu berpindah ke Kempas, Johor Bahru bagi meneruskan kesinambungan tuntutan tugas.
Dia dan stesen itu membesar bersama, kemudian merintis pengalaman serta melalui episod perubahan dalam hidup daripada zaman bujang, berkahwin dan kini memiliki empat cahaya mata di mana dua daripadanya lahir di kota Singapura.
“Kalau hendak diceritakan tentang Tanjong Pagar ini sendiri, memang tidak habis cerita yang dapat dikongsikan bersama. Melihat perubahan-perubahan yang berlaku sepanjang saya mula menjejakkan kaki di sini pada 1980 dulu, memang rasa sedih juga hendak meninggalkan nostalgia yang dilalui bersama.
“Daripada kawasan hutan di sekeliling stesen KTM ini, kini bangunan menukar pemandangan dulu dan suasana juga sudah cukup berbeza berbanding dulu,” kata beliau yang berkhidmat di bahagian Elektrikal Lokomotif.
Riak sugul turut sarat di wajah Peria Seenil Mohd Kassim, 68, yang juga pemilik kedai buku dan majalah, Habib Railway Bookstore, yang juga perlu berpisah dengan stesen itu. Sewaktu ditemui, dia tidak tahu nasib kedai buku dimiliki keluarganya lebih lebih tujuh dekad itu dan hanya diarahkan mengosongkan premis perniagaannya.
“Apa yang saya harapkan, walaupun terpaksa berpindah sekali pun biarlah ada tempat baru untuk Habib Railway Bookstore. Dengan adanya lokasi baru yang dijanjikan, senanglah sikit untuk meneruskan perniagaan ini,” katanya yang berasal dari Tamilnadu, India.
Reaksi penutupan Stesen KTM Tanjong Pagar turut dikongsi warga Singapura, Rafi Latiff, 45, yang menetap di Tempinis. Beliau yang jarang-jarang ke lokasi itu mengambil kesempatan terakhir untuk merakamkan kenangan bersama keluarganya.
“Walaupun tidak pernah menggunakan perkhidmatan kereta api dari Tanjong Pagar sebelum ini, selepas ini mungkin saya terpanggil untuk menaiki kereta api walaupun bukan dari Tanjong Pagar lagi. Rasa sayang pula apabila sudah melangkah ke sini. Biarlah tapak stesen ini dikekalkan bangunan bersejarah,” katanya.
Tatkala penulis berkira-kira waktu tersisa menunggu tren terakhir sebelum melangkah pulang ke Kuala Lumpur pada malam sama, kelibat pengunjung masih lagi tidak surut-surut. Terlintas di fikiran, apakah irama yang bakal kedengaran selepas tiada lagi bunyi bingit roda kereta api menyusuri landasan itu. Tiada lagi suara harapan dicetuskan penumpang yang tiba atau pun rasa sedih ditinggalkan penumpang yang bertolak dari stesen itu. Tepat jam 10.30 malam, secara perlahan tren KTM Intercity Senandung Sutera bergerak meninggalkan Stesen KTM Tanjong Pagar. Selamat tinggal nostalgia!
INFO: Tanjong Pagar
* Stesen Kereta Api Tanjong Pagar yang juga dikenali sebagai Stesen Keretapi Keppel Road mula dibuka pada 3 Mei 1932 yang dirasmikan oleh Sir Cecil Clementi.
* Bersebelahannya, itu, Bukit Timah sebenarnya dibuka lebih awal iaitu pada 1903.
* Istimewanya mengenai stesen kereta api paling selatan itu, seni bina muka hadapan bangunan bersejarah itu menampilkan ciri-ciri Neo-Classical dan Art-Deco.
* Di depan pintu masuk stesen kereta api ini juga tertera huruf besar ‘FMSR’ yang membawa maksud Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
* Malah, empat patung arca marmar putih yang dihasilkan oleh pengukir Itali, Rudolfo Nolli, mewakili yang empat tonggak ekonomi Tanah Melayu dan Singapura itu pertanian, perdagangan, pengangkutan dan industri yang menjadi tulang belakang ekonomi negara satu ketika dulu.
* Ciri lain seni bina stesen kereta api itu yang dianggap menarik termasuklah bumbung 'barrel-vault' setinggi 72 kaki di atas balai menunggu serta lukisan mural yang menampilkan pemandangan dari Malaya.
* Di dewan awam utama, dinding panel terhias mural besar yang menggambarkan latar belakang Tanah Melayu iaitu menanam padi, menoreh getah, aktiviti perkapalan, pengangkutan kereta lembu dan perlombongan bijih timah.
* Pada zaman dulu, perjalanan menerusi pengangkutan kereta api dikaitkan dengan kemewahan tetapi atas faktor semasa, perkhidmatan kereta api sudah menjadi sebahagian keperluan pengangkutan sehingga hari ini.
* Sejarah awal perkhidmatan kereta api di Singapura bermula selepas pembinaan Tambak Johor-Singapura yang bermula pada 1919 dan ia dibuka kepada kereta api barang pada 17 September 1923 sebelum dibuka untuk perkhidmatan kereta api penumpang mulai 1 Oktober 1923.
* Perkhidmatan KTM Intrecity mengendalikan perjalanan sebanyak enam kali sehari antara Singapura dan Kuala Lumpur. Ia turut mengendalikan perkhidmatan lain dari Singapura ke bahagian lain Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Pahang, dan timur laut.
* KTM mengendalikan perkhidmatan ulang-alik antara Johor Bahru dan Singapura untuk memberi manfaat kepada mereka yang bekerja di republik itu. Sehingga 30 Jun 2011, penumpang ke Singapura berhenti di Woodlands (bagi prosedur Imigresen oleh Imigresen Singapura dan pendaratan penumpang dalam perjalanan dari Malaysia) dan Tanjong Pagar (berlepas dan pendaratan). Mulai 1 Julai lalu, kereta api hanya berhenti di Woodlands.
Oleh Fairuz Zaidan
Sumber: BHarian
0 comments:
Catat Ulasan