15 Julai 2011

Sekolah Dalam Hospital Kini Bermula


NOORAINEE (duduk, kiri) beramah mesra bersama pelajar yang merupakan pesakit pada majlis perasmian penutup latihan guru SDH di Kuala Lumpur pada 14 Julai 2011.

Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang akan memulakan sesi pembelajaran untuk pelajar yang dirawat di hospital berkenaan mulai 14 Julai 2011.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang juga penaung SDH berkata, seramai 16 guru telah dipilih berdasarkan beberapa kriteria untuk bertugas di bilik darjah hospital berkenaan.


Menurutnya, lapan daripada guru itu akan mengajar di HKL manakala di Hospital Serdang dan Hospital Ampang akan menyediakan khidmat empat guru.

"Guru-guru itu menjalani latihan sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Institut Pediatrik HKL bagi menyediakan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran asas untuk menangani kelompok pelajar yang mempunyai masalah kesihatan," katanya selepas merasmikan majlis penutupan kursus guru SDH di Institut Pediatrik HKL di sini semalam.

Sumber: Kosmo

Berdasarkan Laporan akhbar 15 April 2011, Yayasan Nurul Yaqeen dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan dan melaksanakan program sekolah dalam hospital ini, yang bertujuan bagi mengelakkan pesakit kanak-kanak (berumur antara 5 hingga 18 tahun) yang menjalani rawatan jangka panjang di wad tercicir daripada pelajaran.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman (sebagai penaung Yayasan Nurul Yaqeen) berkata, program yang dikenali sebagai Projek Hati Nurani itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Projek ini melibatkan beberapa fasa dengan fasa pertama melibatkan tiga buah hospital terpilih iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Program ini juga bertujuan memberi motivasi kepada kanak-kanak untuk meneruskan pembelajaran mereka apabila kembali ke sekolah nanti.

Terdapat dua kaedah pembelajaran yang akan digunakan iaitu pertama secara di dalam kelas dan kedua dengan guru bergerak ke katil pesakit.

"Kita mencadangkan seramai 11 guru bertauliah ditempatkan secara tetap di setiap hospital termasuk seorang guru pendidikan khas, penyelia serta guru di peringkat sekolah rendah dan menengah," katanya.

Rekod HKL pada tahun lalu menunjukkan seramai 932 pelajar menduduki peperiksaan peringkat sekolah dan awam ketika menerima rawatan di wad dengan 812 daripadanya murid sekolah rendah.

Sumber: Utusan

1 comments:

Unknown berkata...

er..kalo cam tu senang lah bila anak2 sakit yer..x lah ketinggalan pljrn..hehecara mengetauhi siapakah pengomen anonymous itu