15 Julai 2011
Mengurus Harta Sebelum Dan Selepas Kematian
MENGURUSKAN harta dituntut Islam dan dalam konteks lebih luas, menguruskan harta boleh dibahagikan kepada dua keadaan, mengurus harta sebelum kematian dan selepas kematian. Mengurus harta sebelum kematian lebih serius berbanding mengurus harta selepas kematian.
Biasanya individu menguruskan harta mereka sebelum kematian dengan cara menguruskannya sendiri atau melantik ejen bagi menguruskan harta mereka yang mana ia dilakukan secara sukarela berikutan kepentingan peribadi.
Pengurusan harta sebelum kematian dipandang serius kerana seseorang itu semestinya punya kepentingan atas harta mereka sendiri. Juga faktor individu itu mengetahui semua maklumat, dokumen dan nilaian harta dikumpul.
Berbeza keadaannya bagi menguruskan harta pusaka orang yang sudah meninggal dunia. Waris menganggap ia sebagai beban.
Ini berlaku mungkin kerana beberapa faktor antaranya:
Anggapan kebanyakan orang Melayu bahawa bertanyakan harta si mati itu satu perkara sensitif, malah boleh disalah anggap ingin merebut harta.
Waris tidak langsung tahu adanya harta ditinggalkan. Kita selalunya suka berahsia mengenai harta dimiliki.
Waris mengetahui adanya harta ditinggalkan tetapi tidak mengetahui di mana dokumen penting berkaitan harta itu disimpan oleh si mati.
Ada kes yang mana waris memandang remeh proses pengurusan harta pusaka kerana berpendapat si mati tidak memiliki harta yang banyak.
Waris mungkin juga bertindak atas kepentingan diri. Mereka sengaja tidak melakukan sebarang tindakan berikutan kebimbangan mendapat bahagian lebih sedikit jika proses pengurusan harta pusaka dijalankan.
Si mati tidak meninggalkan waris terdekat, berstatus bujang, tidak mempunyai anak atau anak angkat, hidup dalam buangan keluarga atau hidup sebatang kara.
Bagi waris yang ditinggalkan, perlu ada sifat tanggungjawab kerana si mati sesungguhnya berharap segala harta dikumpulkan semasa hidup adalah untuk diberikan kepada orang yang disayanginya setelah kematian sebagai tanda kasih sayang.
Sikap enggan mengambil tahu adalah antara faktor kelewatan pengurusan harta pusaka pada peringkat awal, sebelum mana-mana waris tampil ke depan dan bertindak.
Ada juga kes yang mana waris bertindak menguruskan harta pusaka si mati sama ada menguruskan sendiri atau melantik wakil bagi menjalankan urusan pentadbiran harta pusaka. Kelewatan mungkin berlaku di tengah-tengah proses pentadbiran harta pusaka ini dijalankan.
Faktor kelewatan ini mungkin disebabkan tiada kerjasama baik daripada waris simati, waris simati tidak hadir ketika perbicaraan dijalankan, tiada persefahaman dan berlaku persengketaan antara waris simati atau berlaku kematian berlapis mengakibatkan pentadbiran pusaka sukar diselesaikan.
AmanahRaya sebagai organisasi yang sudah beroperasi selama 90 tahun mementingkan perbincangan bersama waris. Segala persengketaan akan cuba diselesaikan supaya waris boleh bersepakat mencari jalan penyelesaian.
Pakatan keluarga dijalankan jika waris berhak bersepakat untuk membuat pembahagian selain yang ditetapkan oleh hukum faraid. Oleh itu, waris berhak tidak perlu bersengketa mempertikaikan jumlah harta diterima sebaliknya berbincang dan menyelesaikan masalah daripada kes terbiar lama.
Selain itu, waris berhak mungkin berpendapat ada waris lain yang lebih memerlukan harta pusaka. Oleh itu, waris berkenaan boleh menggunakan kaedah penolakan harta untuk dibahagikan kepada waris yang lebih memerlukan. Sepakat membawa berkat dan sesungguhnya dengki dan iri hati itu akan melambatkan proses pembahagian harta pusaka.
Sedar atau tidak, manusia sememangnya bersifat cintakan harta. Hanya keimanan yang dapat membataskan rasa cintakan harta ini.
Allah ada berfirman yang bermaksud: “Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh) sehingga kamu masuk kubur atau jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak. Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk pada hari kiamat). Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin (Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang selepas itu - demi sesungguhnya, kamu akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya). Kemudian kamu akan ditanya pada hari itu, segala nikmat (yang kamu sudah menikmatinya.” (Surah al-Takathur, ayat 1-8)
Setelah proses pengurusan selesai dijalankan dan kesemua bahagian waris dikenal pasti, ada juga kes yang mana harta itu tidak dapat diserahkan kepada waris berhak kerana waris gagal dihubungi, waris lain tidak mahu bekerjasama, tidak mengetahui hak mereka dalam harta pusaka.
Oleh itu, kerjasama setiap waris amat diperlukan demi menjaga kepentingan waris lain serta memudahkan proses pengurusan harta pusaka. Islam tidak membenarkan umatnya berhasad dengki, dan menitik beratkan keperluan bersyukur terhadap apa saja rezeki yang Allah berikan.
Firman Allah yang bermaksud: “Apa juga nikmat yang kamu peroleh, maka ia datangnya daripada Allah.” (Surah an-Nahl, ayat 53)
Sumber: BHarian
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan