22 Ogos 2011
Azizi Abdullah Dalam Kenangan
Novelis terkenal, Azizi Abdullah (Tukya) meninggal dunia pagi ini setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos 2011.
Penolong Editor Utusan Pengguna, Mohd Ridzuan Mohamad ketika dihubungi berkata Azizi, 69, meninggal dunia pukul 7.50 pagi di hospital tersebut.
Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac tahun ini dan menjalani pembedahan jantung April 2011. (Allahyarham ada menulis tentang pengalamannya sepanjang berada di hospital dalam blog beliau aziziabdullah.blogspot.com. Kali terakhir Allahyarham mengemaskini blognya adalah pada bulan April 2011.)
Bersama Ust. Takiyudin Hamzah ketika berada di hospital.
Namun, keadaan allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.
Azizi, bekas guru Pendidikan Islam, terkenal dengan novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" ketika naskah itu dijadikan teks wajib sastera Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lepas.
Mohd Ridzuan berkata jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim, Kedah dan dikebumikan selepas zohor.
Allahyarham bertugas sebagai Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) setelah bersara sebagai guru dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.
Dua novel terbarunya "Anak Belantera" dan "Badai Cinta", baru sahaja memasuki pasaran bebeberapa bulan lepas.
Sumber: BERNAMA
Sejarah bakat menulis Azizi bermula ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 1960-an. Sepanjang bergelumang dalam dunia sastera, Azizi telah menghasilkan lebih 30 buah novel, tidak kurang 300 cerpen, ratusan artikel sastera dan kritikan sosial, 5 antologi cerpen, penulis drama radio, drama TV dan empat buah buku sosial.
Allahyarham juga dianggap oleh sesetengah penulis sebagai 'Penulis Sayembara' kerana sering memenangi anugerah.
Walaupun semasa bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah, Allahyarham banyak menghasil cerpen dan dimuatkan dalam akhbar-akhbar tempatan terutamanya Utusan Melayu dan Mingguan Malaysia.
Antara hasil karya sayembara Azizi yang terkenal ialah Wi & William (Hadiah Sako), Jati Diri (Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1995); Di Qalaah Salehuddin (Hadiah Sastera Utusan Public Bank 1998).
Sebagai pesara guru, cerpenis, novelis dan penyajak, Azizi diterima sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (Januari 2005 - Disember 2005) untuk penulisan novel bertajuk "Sangeetha."
Selepas bersara sebagai guru, Azizi menjadi Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.
Dua novel terbarunya "Anak Belantera" dan "Badai Cinta", baru sahaja memasuki pasaran bebeberapa bulan lalu.
Sumbangan Azizi dalam dunia sastera Malaysia amat besar. Untuk menghargai jasa-jasanya itu Allahyarham adalah antara 10 penerima awal Anugerah Penulis SEA (SEA Write Award) - anugerah yang diberikan setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara oleh kerajaan Thailand.
Azizi menerima anugerah itu pada 1988. Anugerah ini meletakkan Azizi sebaris dengan sasterawan dan karyawan tanah air seperti A. Samad Said, Baharuddin Zainal (Baha Zain), Abdullah Hussein, Usman Awang, Adibah Amin, A. Latiff Mohidin, Arena Wati (Muhammad Dahalan Abdul Biang), Kemala (Ahmad Kamal Abdullah) dan Noordin Hassan.
Sumber: Utusan
Kepada peminat Azizi dan pastinya peminat karya-karya novelnya, pasti berasa suatu kehilangan yang tiada ganti dengan pergi tak kembalinya beliau menemui Allah yang Maha Esa.
Al-fatihah buat Allahyarham Azizi Abdullah.
Labels:
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
al-fatihah..
Catat Ulasan