07 Ogos 2011

Festival Kurma Buraidah



Lebih 200,000 tan kurma dikumpul dalam festival kurma terbesar dunia

KURMA dan Ramadan tidak dapat dipisahkan. Ia satu gabungan sinonim setiap tahun kerana buah yang juga dikenali dengan panggilan tamar ini adalah juadah atau manisan wajib setiap kali berbuka, mendapat pahala sesiapa mengamalkannya kerana ia sunnah junjungan mulia kita.

Menariknya, tahun ini kedatangan Ramadan serentak dengan musim menuai kurma di Arab Saudi dan seperti tahun sebelumnya, festival menuai akan diadakan khusus untuk mereka yang terbabit dalam industri raja buah di Asia Barat ini.

Beberapa wilayah pengeluar kurma di Arab Saudi seperti Buraidah, Madinah, Riyadh, Jeddah, al-Hassa, Unaizah, al-Kharj dan bandar lain di negara itu akan menganjurkan pesta masing-masing.




Namun Festival Kurma Buraidah adalah pesta tamar terbesar bukan saja di negara Teluk berkenaan, malah di peringkat dunia. Festival yang memang dinanti peminat kurma itu menjadi medan terbesar mengumpulkan buah berkenaan, lebih-lebih lagi wilayah itu mempunyai puluhan ribu hektar ladang kurma.

Buraidah juga mempunyai lebih lima juta pokok tamar atau menyumbang kira-kira 65 peratus kepada keseluruhan pengeluaran buah manis itu di Arab Saudi. Nilai dagangan harian kurma di wilayah terbabit pula kira-kira SR25 juta (RM19.7 juta) setiap musim.

Selain mengumpul pembeli, peniaga dan pengeksport dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), peserta dari Asia Barat, utara Afrika serta negara pengeluar kurma lain seperti India dan Pakistan turut mengambil bahagian dalam festival kali ini.

Pelbagai aktiviti dan program sampingan dianjurkan, malah pesta ini menjadi tempat paling popular dalam kalangan pemain industri untuk mempamer dan memasarkan produk masing-masing.



Selain jualan kurma mentah dan kering, pelbagai produk berkaitan buah berkenaan seperti jem, roti, biskut dan jus turut dijual. Malah pemilik butik yang tampil dengan pelbagai idea baru berkaitan produk berasaskan kurma turut mengambil bahagian.

Festival berkenaan membuka lebih 3,000 peluang pekerjaan termasuk dalam kategori perdagangan, lelongan, jualan semula, pembungkusan dan pengangkutan. Suruhanjaya Pelancongan dan Antikuiti Arab Saudi (SCTA) turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan bagi memperkenalkan negara itu kepada pelancong.

Kelebihan kurma Arab Saudi adalah kerana imejnya yang begitu sinonim sebagai buah tangan bagi pelancong yang berkunjung ke negara tumpuan umat Islam mengerjakan ibadat haji dan umrah itu.

Statistik menunjukkan Arab Saudi negara pengeluar terbesar kurma dunia dan Projek al-Batin di Buraidah yang dimiliki Wakaf Pentadbiran Saleh bin Abdul Aziz al-Rajhi menjadi projek penanaman kurma terbesar di dunia yang mendapat pengiktirafan Guinness Book of Records.



Dengan pengiktirafan itu, beberapa delegasi dalam bidang pertanian dan penanaman kurma dunia termasuk dari Eropah melakukan lawatan bagi melihat sendiri perusahaan kurma berkenaan. Sebagai pengeluar terbesar, Arab Saudi mempunyai kira-kira 25 juta pokok kurma mengeluarkan 360 jenis buah berkenaan termasuk kira-kira 200 jenis paling popular di dunia.

Kurma dikenali Qassim mendahului senarai paling sedap dan berkualiti manakala beberapa jenis kurma terkenal lain adalah Sukkari, Rothan al-Madinah, Maskani, Mabroom, Khlass, Barhi, Shabeebi, Saqiy, Nabbout Saif, Muneefi, Shaishi, Shaibi dan Nabbout Ali selain kurma Ajwah yang terkenal di Madinah.

Festival kali ini akan mengumpulkan 200,000 tan kurma bernilai SR2.5 bilion (RM1.98 bilion) termasuk 37 jenis kurma yang dikeluarkan di Wilayah Buraidah saja.

Oleh kerana pesta diadakan pada Ramadan, penganjur menjangka permintaan dan jualan kurma pada program kali ini lebih besar berbanding tahun sebelumnya dengan unjuran peningkatan 20 peratus. Penganjur juga memberi jaminan kurma yang dihasilkan tahun ini lebih berkualiti dan bebas penyakit.



Sejak dibuka 1 Ogos 2011, petani, pembeli dan pemborong berpusu-pusu memenuhi tapak festival berkenaan dengan lebih 3,000 kenderaan berulang alik ke situ setiap hari untuk kerja memindah dan mengangkut kurma yang dijual beli.

Tahun lalu, urus niaga sepanjang festival berjaya menghasilkan nilai jualan hampir SR1 bilion (RM790 juta) dengan jualan harian kira-kira SR19 juta (RM15.03 juta), malah pada hari tertentu mencecah SR25 juta (RM19.7 juta).

Begitulah hebatnya penangan Raja Buah Asia Barat ini walaupun hanya pada Ramadan kehadirannya di negara kita dirasai.

Oleh Rohaniza Idris
Sumber: BHarian

0 comments: