07 Ogos 2011

Media Massa Diminta Patuhi Akta Kanak-kanak 2001



Pihak media massa diminta mematuhi peruntukan Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 601] bagi melindungi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan obligasi negara di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Seksyen 15 memperuntukkan sekatan ke atas laporan dan penyiaran gambar kanak-kanak sebagai mangsa dalam kes jenayah disiarkan dalam apa-apa akhbar atau majalah atau disampaikan melalui apa-apa perantara elektronik.


"Sekatan ini hanya boleh dikecualikan oleh Mahkamah Bagi Kanak-kanak," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pelanggaran terhadap undang-undang itu adalah suatu kesalahan jenayah dan jika disabitkan oleh mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: BERNAMA

Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)

Suatu Akta untuk menyatukan dan meminda undang-undang yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan dan pemulihan kanak-kanak dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan bersampingan dengannya.

MENGIKTIRAF bahawa wawasan negara sebagai negara maju sepenuhnya ialah suatu negara di mana keadilan sosial dan pembangunan moral, etika dan rohani sama pentingnya dengan kemajuan ekonomi dalam mewujudkan suatu masyarakat Malaysia madani yang bersatu padu, progresif, damai, penyayang, adil dan berperikemanusiaan.

MENGIKTIRAF bahawa seseorang kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu bahagian penting masyarakat sedemikian tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu.

MENGAKUI bahawa seseorang kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangannya dari segi fizikal, mental dan emosinya, memerlukan pelindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran, untuk membolehkannya turut serta dalam dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul.

MENGIKTIRAF bahawa tiap-tiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan pelindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain.

MENGAKUI bahawa keluarga merupakan kumpulan asas dalam masyarakat yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua anggotanya, khususnya kanak-kanak, supaya mereka boleh membesar dalam suasana aman, bahagia, kasih sayang dan persefahaman untuk memperoleh keyakinan penuh, maruah dan nilai diri seseorang manusia.

MENGIKTIRAF peranan dan tanggungjawab keluarga dalam masyarakat, supaya mereka diberi bantuan yang perlu untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai sumber pemeliharaan, penyaraan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak dalam masyarakat.

Sumber: JKM Penang

1 comments:

Dinar berkata...

Kita telah disaran oleh baginda Rasulullah supaya; "Menyayangi yang muda dan menghormati yang lebih tua" kalau saranan ini dipatuhi kecelaruan ini boleh dihindari...