05 Ogos 2011

Hukum Menukar Jantina (Pembedahan Transeksual)

Allah larang ubah kejadian



Persoalan menukar jantina bukanlah satu perkara yang kecil. Islam menegah perbuatan ini atas alasan menukar ciptaan Allah SWT. Allah SWT menjadikan manusia mengikut kehendak-Nya. Menjadikan manusia dengan rupa paras dan bentuk serta jantina adalah hak mutlak Allah SWT. Saya yakin, walaupun pada pandangan manusia sesuatu kejadian itu cacat tetapi pada Allah SWT itu adalah terbaik untuk hamba tersebut.

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar dalam Islam. Penukaran jantina mak nyah kepada perempuan melalui pembedahan adalah terang bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubahkan kejadiannya.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa' ayat 119 yang bermaksud:
"Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata."


Walaupun ayat ini menyentuh pengubahan binatang ternakan, tidak bermaksud manusia boleh. Kalau bintang yang tidak berakal, tidak bertaklif pun kita yang berakal ditegah sewenang-wenang dalam mengubahnya apatah lagi manusia yang berakal yang bertaklif lagi tidak boleh.

Ulama Fiqh membahagikan khunsa kepada dua; khunsa wadhih (khunsa yang jelas) dan khunsa musykil (khunsa yang tidak jelas). Khunsa wadhih ialah khunsa yang nyata memiliki tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan semasa bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin tersebut atau berdasarkan dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu. Jantina dapat dikenalpasti dengan jelas berdasarkan yang mana alat yang lebih dominan berbanding dengan yang satu lagi yang kurang.

Manakala khunsa musykil ialah, individu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan setelah baligh.

Musykil ini hilang apabila dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti yang paling banyak atau dikira yang paling akhir berhenti. Jantina mereka juga boleh ditentukan setelah baligh dengan tanda-tanda yang dikenal pasti sama ada memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelelakian (seperti tumbuh janggut dan misai).

Dalam kes ketidaktentuan jantina seperti ini, syarak memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan dengan syarat disokong oleh keterangan pakar di bidang tersebut.

Kelonggaran adalah khusus sebagai 'maslahah' atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim dengan lebih sempurna. Kerana penentuan ini ada kaitannya dengan melaksanakan perintah-perintah Allah SWT.

Perbincangan ulama dalam mengharuskan seseorang itu menukar jantina adalah selepas dikenalpasti bahawa dia memang layak kerana ada dua jantina dan dikekalkan jantina yang aktif.

Namun pertukaran jantina kerana kecenderungan seseorang kepada jantina yang bertentangan dengan apa yang dia dijadikan adalah haram dalam Islam, perbuatannya berdosa besar di sisi Islam.

Apa yang berlaku di Malaysia mutakhir ini dalam isu menukar jantina bukan kerana khunsa musykil tetapi jiwa yang berkeinginan menjadi wanita. Jantinanya lelaki tetapi hormon kewanitaannya mungkin mengatasi keinginan kelelakiannya. Keadaan ini tidak boleh menjadi sebab untuk menukar jantina.

Mungkin ini adalah ujian untuk individu tersebut yang sepatutnya diatasi dengan menghampirkan diri kepada Allah SWT dan bersabar dalam menempuh ujian ini.

Mereka yang menukar jantina akhirnya pasti akan menyesal, kerana yang pertama masyarakat sukar menerima kehadiran insan ini. Kedua, menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketiga Allah SWT wujudkan kamu sebagai seorang lelaki tapi pulang kepada-Nya sebagai seorang perempuan.

Menyesal dulu berpendapatan menyesal kemudian tidak berguna.

Sumber: Utusan

0 comments: