05 Ogos 2011

Virus Hepatitis Mengancam Nyawa



Hari Hepatitis Sedunia

Sambutan Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai setiap tahun bertujuan mengingatkan kita bahawa kita perlu berusaha lebih giat lagi untuk mencegah virus hepatitis, dan penyakit hati.

Sempena Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai 2011, sekumpulan pakar terkemuka virus hepatitis menggesa pihak kerajaan dan orang awam di rantau Asia Pasifik untuk menjadi lebih peka kepada kesan dahsyat yang dibawa oleh hepatitis.

Jenis Hepatitis

Hepatitis terbahagi kepada A, B, C, D dan E. WHO setakat ini menggariskan jenis B dan C yang perlu diberi penekanan kerana angka jangkitan meningkat saban tahun dan dikelaskan antara ancaman terbaru dunia.

Isu

Tahap kesedaran masyarakat negara ini mengenai bahaya penyakit hepatitis B dan C yang mempunyai risko kematian yang tinggi akibat sirosis hati), kegagalan hati dan kanser hati masih rendah.




Anggaran Pesakit Seluruh Dunia

Setiap seorang daripada 12 orang di seluruh dunia menghidap hepatitis B atau C kronik, dengan jumlah kematian dianggarkan satu juta orang setiap tahun.

LAPORAN Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan Dua bilion penduduk dunia dijangkiti Hepatitis B dan antara 300 hingga 400 juta pesakit pada tahap kronik. Manakala 130 juta pada tahap kritikal jangkitan Hepatitis C. Disebabkan kedua-dua virus itu, 350,000 pesakit dijangka meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia.

Rantau Asia Pasifik menanggung beban utama virus hepatitis di peringkat global. 75 peratus daripada jumlah pesakit ialah penduduk Asia dengan 25 peratus (satu daripada empat pesakit) ialah mereka yang terdedah kepada kesan jangkitan untuk tempoh lama.

Hepatitis C pula penularan begitu meluas di seluruh dunia dan angkanya mencecah sehingga 170 juta. Daripada angka itu, lebih 90,000 penduduk Asia.

Anggaran Pesakit di Malaysia

Di Malaysia pula, dianggarkan seramai 2.5 juta penduduknya dijangkiti dengan Hepatitis B atau C kronik dan 25 peratus daripada jumlah ini menghadapi risiko kerosakan hati yang serius.

Jangkitan Hepatitis C antara satu hingga empat peratus di Malaysia. Penularan penyakit ini hanya berada pada dua peratus (53 hingga 3,540 pesakit). Tiga peratus atau 11 daripada 363 kes berpunca daripada penderma darah dan 85 peratus (162 hingga 190) adalah dalam kalangan penagih dadah.

Di Malaysia dianggarkan lima peratus penduduk atau 1.4 juta orang menghidap Hepitatis B manakala dua peratus lagi menghidap hepatitis C.

Jangkitan Hepatits Lambat Dikesan

Virus hepatitis merupakan penyakit yang mengancam nyawa dan keadaan ini menjadi bertambah serius apabila sebahagian besar daripada mereka yang dijangkiti tidak menyedari bahawa mereka merupakan pembawa virus.

Masalah ini menjadi semakin rumit kerana virus hepatitis merupakan penyakit yang senyap dan kebanyakan orang pula tidak tahu bagaimana penyakit ini boleh merebak dan tidak menyedari bahawa penyakit ini boleh membawa maut jika tidak didiagnosis lebih awal.

Sukar mengenal pasti sama ada kita pembawa virus atau tidak jika tidak melalui pemeriksaan pengesan yang kini boleh dilakukan di hospital kerajaan atau swasta. Pembawa virus tidak sedar mereka ialah pembawa sehingga mendapat tanda status serangan virus pada tahap kritikal dan proses ini sebenarnya berlaku dalam masa puluhan tahun. Agak membimbangkan tahap kesedaran orang ramai yang kebanyakannya tidak sedar kepentingan menjalani ujian hepatitis.

Pesakit mula merasai kesakitan dan kesengsaraan apabila hepatitis pada tahap kritikal dan kebiasaannya sudah menjadi barah. Umum pasti sedar, hepatitis ialah penyakit hati dan tidak asing kepada masyarakat Asia. Mungkin kerana penyakit ini tidak menunjukkan tanda menyakitkan punca ramai tidak mengendahkannya, apatah lagi melakukan pemeriksaan untuk memastikan diri bebas virus itu.

Kebanyakan pesakit hanya sedar dijangkiti hepatitis selepas pemeriksaan doktor, namun dalam kebanyakan kes, pesakit berada pada tahap kritikal (barah) dan peluang untuk sembuh tipis. Perunding Hematologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata pesakit dijangkiti virus hepatitis kebiasaannya tidak menampakkan kesakitan atau menderita.

Tidakkah anda berasa gempar mengenai keadaan ini? Perkara ini sangat bahaya kerana seseorang yang tidak sedar bahawa dia menghidap virus hepatitis B atau C berkemungkinan menjangkitkan penyakit itu kepada orang lain tanpa pengetahuannya.

Punca Dan Cara Jangkitan

Jangkitan virus hepatitis mengambil masa 30 hingga 50 tahun sebelum merosakkan sepenuhnya hati. Ia melalui beberapa peringkat bermula daripada jangkitan dengan pesakit tidak merasakan perubahan. Peringkat kedua iaitu jangkitan kronik dan kemudian membentuk sirosis (garisan atau kerosakan hati) dan akhirnya ia berakhir dengan barah hati yang agak dirawat.

Punca mahupun agen utama masalah jangkitan virus hepatitis ialah kepada golongan perokok. Tembakau antara punca yang boleh menyebabkan pengguna mengalami jangkitan. Mereka yang mengambil minuman keras berlebihan juga mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti hepatitis B.

Hepatitis B boleh merebak menerusi sentuhan darah, cecair utama badan termasuk air mani dan bendalir faraj. Hepatitis C boleh tersebar dengan hubungan terus antara darah yang dijangkiti, namun agak jarang merebak menerusi bendalir dalam tubuh.

Virus Hepatitis B dan C merebak melalui air liur, air mani dan bendalir vagina. Ini bererti ia boleh merebak melalui hubungan seks tidak selamat dengan orang yang dijangkiti virus itu (malah pasangan suami atau isteri anda sendiri), luka terkena darah pesakit, perkongsian pisau cukur, berus gigi, bertindik, tatu, kongsi jarum akupuntur dan jangkitan terus ibu kepada bayi dalam dikandung iaitu antara punca jangkitan Hepatitis B yang biasa di rantau Asia Pasifik.



Simptom

Virus hepatitis ialah penyakit senyap yang menyerang hati secara perlahan-lahan. Gejalanya agak pudar, seperti kelesuan, rasa mual dan loya, gejala flu dan sakit sendi, yang semuanya boleh disalah anggap sebagai gejala penyakit lain. Petanda jelas, seperti penyakit kuning dan air kencing keruh/najis cerah, tidak selalunya muncul.

Dalam pada itu, virus itu sentiasa mengganggu dan mengakibatkan hati menjadi bengkak, menjejaskan kemampuan orang itu untuk melakukan fungsi penting seperti menyaring darah daripada bahan yang memudaratkan, mencerna lemak daripada makanan dan menyimpan gula yang digunakan untuk tenaga oleh tubuh kita.

Virus ini juga boleh merosakkan hati dan mengakibatkan parut (sirosis), yang seterusnya melarat kepada kanser hati kemudiannya. Sebilangan orang yang menghidap hepatitis B kronik, penyakit ini mungkin merebak menjadi kanser hati tanpa mengalami sirosis.

Mereka yang dijangkiti berisiko tinggi mengalami kerosakan hati serius seperti sirosis, kegagalan fungsi hati dan barah hati. Kebanyakan virus hepatitis adalah jangkitan tersembunyi dan ia tidak memberi petanda mahupun kesan sampingan bertahun-tahun kepada pesakit sehingga ia sudah tidak berfungsi.

Lebih 30 peratus pesakit dijangkiti virus ini berdepan masalah sirosis atau barah hati sepanjang usia mereka kecuali jika mendapatkan rawatan.

Kanser hati ialah antara kanser utama yang dialami di Malaysia, terutama dalam kalangan lelaki. Rata-ratanya, kanser hati berpunca daripada virus hepatitis atau radang hati, terutama hepatitis B.

Hepatits dan AIDS Sama Bahaya

Bilangan mereka yang dijangkiti secara kronik serta jumlah kematian setiap tahun akibat virus hepatitis melebihi jumlah penyebaran dan kematian akibat HIV/AIDS dan sebarang jenis kanser.

Walaupun penyakit ini memberi kesan sosial yang sama, namun hepatitis tidak mempunyai tahap kesedaran dan momentum politik yang serupa.

Kebanyakan orang takut mendengar mengenai Human Immunodeficiency Virus (HIV) tetapi sebenarnya virus hepatitis B dan C lebih mudah berjangkit berbanding HIV.

Hepatitis B lebih mudah merebak daripada sangkaan kita, kerana ia adalah 50 hingga 100 kali lebih mudah berjangkit berbanding HIV.

Hepatitis C tidak begitu teruk kerana ia merebak melalui hubungan secara langsung dengan darah tercemar. Bagaimanapun, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dengan mengambil langkah pencegahan menentang jangkitan, terutama di pusat kesihatan, bila membuat saringan darah yang didermakan, dan bila melakukan aktiviti yang membabitkan suntikan pada badan, seperti membuat tatu dan bertindik.

Cara Pencegahan

Penularan jangkitan virus secara meluas berlaku di negara ini sebelum 1990-an kerana Malaysia mula menguatkuasakan pemeriksaan ke atas setiap bekalan darah yang diterima baik daripada individu mahupun organisasi hanya selepas itu. Menjalani ujian saringan untuk penyakit ini terutama bagi yang berisiko tinggi adalah langkah mudah dan singkat untuk mengetahui diagnosis.

Pada masa ini hanya terdapat vaksin terhadap hepatitis B dan sejak 1989 semua bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan diberi imunisasi penyakit itu secara percuma dan langkah itu telah berjaya mengurangkan kadar jangkitan hepatitis B.

Mujurlah kita masih boleh bertindak selangkah ke hadapan berbanding penyakit ini, hasil daripada kaedah mudah dan menjimat kos, iaitu vaksinasi. Kementerian Kesihatan memastikan bahawa setiap bayi yang dilahirkan di Malaysia mendapat vaksinasi hepatitis B di bawah program imunisasi yang diwajibkan.

Orang dewasa disyorkan menjalani ujian hepatitis B dan C. Kumpulan populasi ini dinasihatkan supaya menjalani ujian dan suntikan di sektor swasta kerana Kementerian Kesihatan tidak mempunyai dasar mengenai vaksinasi hepatitis B untuk orang dewasa. Cara terbaik untuk mencegah hepatitis B ialah dengan mendapatkan suntikan imunisasi yang berpotensi menyelamatkan diri kita daripada dijangkiti sirosis hati, kanser dan maut.

Sumber Artikel:
Utusan, BHarian, BERNAMA , dan BHarian

0 comments: