26 Ogos 2011

Seven Colour Crystal Ball Haram

Cuba perhatikan bunga hiasan dalam pasu yang berikut. Penggunaan Jelly ball untuk tumbuh-tumbuhan hiasan sebegini pastinya ada di dalam rumah anda terutama kepada penggemar-penggemar tumbuhan hiasan dalam rumah. Untuk makluman anda, bermula dari saat ini anda tidak dibenarkan lagi menggunakannya.



Kerajaan melarang pembekalan atau penjualan seeds growing kits yang dikenali sebagai Seven Colour Crystal Ball (SCCB) di pasaran atau barangan seumpamanya berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima aduan daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berhubung beberapa kes pembedahan besar melibatkan kanak-kanak berumur satu hingga lima tahun dipercayai akibat tertelan SCCB.




"SCCB yang turut dikenali dengan pelbagai nama seperti Jelly Ball, Crystal Jelly, Baby Jelly, Baby Crystal dan Crystal Soil serta berwarna-warni digunakan untuk membantu pertumbuhan pokok atau sebagai hiasan dalam pasu," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, sebanyak tujuh pembedahan dilakukan di HKL dan satu kes di HUKM sejak April sehingga kini dengan kes terbaharu di HKL melibatkan kanak-kanak 12 bulan yang dibedah pada Selasa lepas.

Menurut beliau, berdasarkan laporan pembedahan, HKL mendapati, barangan seumpama itu boleh menyebabkan usus kanak-kanak tersumbat kerana saiznya yang kecil dan mudah ditelan.

Katanya, kanak-kanak yang tertelan SCCB akan mengalami simptom dan implikasi seperti muntah, demam, sembelit, perut kembung, sakit perut, usus tersumbat serta usus bocor.

"Mereka (kanak-kanak) mungkin menganggapnya sebagai makanan.

"Saiz asal SCCB kurang daripada 0.5 sentimeter tetapi apabila dimasukkan dalam air, ia mengembang lima ke enam kali ganda daripada saiz asalnya yang berbentuk seperti jelly rubber ball," kata Ismail Sabri.

''Walaupun kandungan kimia dalam Colour Crystal Ball adalah pada tahap selamat namun masalahnya produk ini mampu mengembang 290 hingga 444 peratus selepas menyerap air selama dua jam.

''Ujian simulasi berdasarkan keadaan dan tahap asid perut pula mendapati ia boleh mengembang sebanyak 36 hingga 55 peratus dalam tempoh dua jam," katanya.

Kebanyakan Colour Crystal Ball direka di Korea Selatan tetapi dikeluarkan di Jepun dan China.

''Malaysia bukan negara pertama yang melarang penjualan produk ini, Poland dan Itali telah mengenakan larangan sama pada tahun lalu.

''Filipina pula mengeluarkan amaran berjaga-jaga terhadap pembekalan dan penjualannya kerana produk ini mudah menyebabkan kanak-kanak tercekik," katanya. (Rujuk; Utusan)

Sehubungan itu, kementerian akan meneruskan pemantauan dan memberi khidmat nasihat kepada pihak industri supaya menarik balik barangan itu daripada pasaran serta melupuskan dengan cara selamat, selain bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia bagi memastikan larangan import bagi SCCB dan seumpamanya dilaksanakan.

"Mereka yang masih menjual barang ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna yang boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sumber: Kosmo

0 comments: