25 September 2011

Bina Satu Jalur Gemilang Secara Berkumpulan

Beberapa minggu yang lalu di saat bahang suasana Hari Kebangsaan Malaysia masih lagi hangat kami telah diarahkan oleh ketua jabatan kami untuk menghadiri satu kursus di Hotel MV Kuantan. Ini adalah secebis catatan pengalaman dalam perjalanan kursus tersebut.

Di atas papan putih tertulis ukuran bendera Malaysia (Jalur Gemilang) bersaiz kecil. Panjang dan lebar Jalur gemilang tersebut adalah 27.5 sm dan 5.5 inci. Manakala panjang dan lebar kotak biru adalah 5 inici dan 3.25 inci. Dan lebar setiap jalur putih atau merah adalah 1 cm.

“Tugasan seterusnya. Anda dikehendaki bekerja dalam kumpulan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan sehelai kertas mahjong, sebatang pen dan sebilah gunting. Anda tidak dibenarkan membawa lain-lain keperluan selain yang diberi sahaja."

"Dengan menggunakan bahan yang diberi, dan dengan menggunakan segala potensi diri yang anda miliki, dan kemampuan anda untuk berfikir di luar kotak, hasilkan gambar sehelai bendera Malaysia yang bersaiz 2 kali ganda daripada saiz yang diberi,” kata pemudah cara kepada kami semua dalam suatu kursus motivasi.

Kursus motovasi tersebut diadakan di Hotel MV untuk kami semua bertujuan menerapkan nilai-nilai bekerja secara berkumpulan (team building) ke dalam jiwa kami.


Pelajar Bekerja Secara Berkumpulan Menghasilkan Jalur Gemilang (Gambar Hiasan).


“Anda juga tidak dibenarkan membeli , mencuri atau menghubungi rakan anda di luar sana untuk mendapatkan apa-apa keperluan untuk menghasilkan bendera ini. Atas sebab ini, anda semua dikehendaki meninggalkan dompet dan telefon bimbit anda di sini."

"Anda semua boleh bermula sekarang. Masa diperuntukkan adalah dua jam untuk menyelesaikan tugasan ini. Berjumpa lagi ke dewan kursus ini pada jam 5.00 petang." demikian arahan yang diberikan.

Semua peserta lantas bergerak secara berkumpulan keluar daripada dewan kursus di Hotel MV ke suatu tempat yang kami semua belum pasti.

Setelah berlegar-legar buat seketika di ruang legar, akhirnya aku dan kumpulan aku memutuskan untuk berkumpul di salah satu meja yang terdapat di ruang legar hotel MV tersebut. Aku dapati beberapa kumpulan lain juga memutuskan untuk berada di perkarangan ruang legar tersebut untuk berbincang langkah-langkah yang perlu dilaksanakan seterusnya.

Setelah berbincang serba sedikit, maka ahli kumpulan pun bergerak menjalankan segala fungsi yang mungkin dapat membantu. Mereka bergerak ke beberapa destinasi untuk memperolehi keperluan menghasilkan jalur gemilang.

Ada yang bergerak menuju ke kereta masing-masing menyelongkar segala khazanah yang ada di dalamnya. Ada menyusur pantai untuk mencari barang-barang terbuang. Ada yang bertanya sesuatu dengan pekerja ‘house keeping’ hotel MV.

Akhirnya beberapa peralatan dapat dikumpulkan. Pensil warna, gam dan pembaris ditemui dan diambil daripada dalam kereta. Kertas-kertas warna yang merupakan kertas notis terpakai diperolehi daripada pekerja ‘house keeping’ Hotel MV.

Saya mendapat tahu ada ahli dalam kumpulan lain meminta perca-perca kain dari kedai jahit berdekatan. Ada yang mengutip pita jalur merah putih dan payung biru yang terbuang di jalanan. Ada juga yang mengutip daun kuning yang bersaiz besar.

(Kesan daripada aktiviti ini aku mendapat satu pengajaran. Jika anda menghadiri suatu kursus motivasi, pastikan segala keperluan alat tulis anda bawa bersama dan simpan dalam kereta. Tapi awas jangan sampai pemudahcara mengetahui hal ini. Kerana dibimbangi anda juga kelak akan diarahkan untuk meninggalkan kunci kereta juga di dewan kursus).

Aku memulakan kerja pengiraan untuk mendapatkan ukuran Jalur Gemilang yang hendak di lukis. Aku pergi mengintip ukuran yang diperolehi oleh ahli kumpulan lain untuk memastikan kiraan aku tepat dan tidak berbeza dengan kumpulan lain.

Oleh kerana sebahagian besar kumpulan berkumpul di sekitar runag legar Hotel MV, maka ahli-ahli kumpulan dapat melihat perkembangan tugasan kumpulan-kumpulan yang lain. Pergerakan bebas ahli-ahli kumpulan menjadikan tugasan kami bertambah mudah. Kami juga dapat membuat penambah-baikan berdasarkan percapaian yang telah dilakukan oleh kumpulan lain.

Hakikatnya kami bukan bukan sahaja bekerja di dalam kumpulan, tetapi saling bekerja-sama antara kumpulan. Dengan ini segala peralatan lain yang gagal kami miliki dapat pula dikongsi bersama. Kami turut memberi  cadangan dan pandangan yang membina terhadap hasil kerja kumpulan lain.

“Pergi kat tempat kumpulan aku, kau ambil kertas kuning, lebihan daripada yang aku gunakan untuk buat bulan dan bintang” cadang aku kepada salah satu kumpulan yang lain apabila aku dapati mereka dengan daya kreativiti yang mereka ada kelihatan bersusah payah membentuk bulan dan bintang daripada sehelai daun kuning yang lebar.

(Aku mendapat pengajaran yang seterusnya, dengan bekerja sama di antara kumpulan kerja menjadi semakin mudah dan idea semakin bercambah. Nampaknya matlamat team-building dan bekerja secara berkumpulan serta tidak mementingkan diri dapat dipraktikkan dengan baik di sini dalam aktiviti ini).

Matlamat fasilitator dalam aktiviti ini untuk memastikan semua kumpulan dapat menyelesaikan tugasan dengan hasil yang terbaik setelah mengharungi kesusahan dan tekanan dalam menyiapkan tugasan tersebut. Dengan matlamat ini mereka pun dengan sengaja mencari kesilapan daripada hasil yang kami perolehi.

“Siapa suruh potong kertas ini. Cuba fahamkan baik-baik arahan yang saya berikan.” sergah salah seorang pemudah cara.

Maka dengan susah payah rakan-rakan saya pun mencari selotape untuk menyambungnya kembali. Kami mengambil keputusan memotong bendera tersebut kerana terfikir atas alas an apa gunting dibekalkan dalam tugasan ini.

“Sapa suruh gunting, kan dah susah kena sambung balik” kata salah seorang ahli daripada kumpulan lain membakar hati kami yang tengah membara.

“Ini yang dinamakan berfikir di luar kotak. Kalu patuh sahaja dengan arahan dan membuat sesuatu perkara yang biasa-biasa.. itu dinamakan berfikir di dalam kotak” jawabku hangin satu badan.

Ketika saat membentangkan hasil tugasan, salah seorang pemudah cara dating mengukur manakala seorang lagi memegang gulungan kertas mahjong sambil berkata… “Hasil kerja yang kami tidak puas hati akan kami arahkan untuk buat semula” katanya.

Ada ahli kumpulan yang mula merasa geram dan panas hati dengan teguran tersebut. Ahli kumpulan yang tadinya riuh seronok melaksanakan tugasan kini diam membisu menahan perasaan masing-masing. Sebahagiannya sudah tarik muka masam.

Hasil daripada penilaian mereka, tiada satu pun jalur gemilang yang memenuhi cita rasa mereka. Jalur gemilang kumpulan kami ada 3 ralat tidak tepat ukuran. Ada pula kumpulan lain dengan bendera yang ternyata lebih besar dari yang dihasilkan oleh kumpulan yang lain. Ini kerana mereka menggunakan skala anggaran sahaja kerana tidak memiliki pembaris.

Kami diberikan peluang untuk membela diri kenapa hasil kerja kami sepatutnya mereka terima dan tidak ditolak. Masing-masing menjawab serius dengan nada dan emosi yang terkawal.

Alasan aku ...

“Dalam penilaian sesuatu kerja yang melibatkan ukuran dan kuantiti akan terdapat suatu nilai ralat yang dibenarkan. Saya rasa ralat yang kami ada tidaklah terlalu besar. Adalah tidak mungkin untuk mendapatkan ukuran yang tepat apabila kami dibekalkan dengan peralatan yang terhad”.

Perdebatan antara peserta kursus dan pemudah cara berlangsung untuk beberapa ketika. Akhirnya pemudah cara mengambil keputusan tiada hasil kerja yang ditolak.

Saya lantas terlintas tindakan yang dikenakan terhadap peserta yang gagal menunjukkan prestasi yang baik dalam program reality TV. Peserta yang gagal akan diarahkan meninggalkan program tersebut.

Maka apabila pemudahcara mengatakan hasil kerja kami diterima, maka aku pun berkata dengan niat bergurau dan mengembalikan suasana ceria dalam dewan berkursus…

“Saya dah angkat beg saya… Ingatkan dah boleh balik awal”

Tetapi tiada siapa pun yang gelak dengan lawak yang aku buat itu. Barangkali darjah kepanasan hati mereka masih belum menurun lagi….

Bagaimanapun terima kasih kepada motivator dan pemudah cara yang lain yang terlibat dalam Kursus Motivasi ini. Aktivitinya menarik. Cuma ego kami selaku orang dewasa agak sensitive dan mudah tersentuh apabila diperlakukan seperti kanak-kanak sekolah. Bagaimanapun akhirnya kami faham… suasana sedemikian sengaja diwujudkan untuk mewujudkan tekanan agar kami menunjukkan sikap saling bekerja sama yang utuh dan perlaksanaan tugasan secara bersungguh-sungguh..

PUTERI!!!!!
POWER!!!! POWER!!!! POWER!!!! .......
Syabas!!!

1 comments:

MIERA berkata...

ahaha...best!!lama da x wat camni...zaman skolah je ada=_)