07 September 2011

Khazanah Kapal Karam Di Perairan Negara (Bhgn 2)

Khazanah Kapal Karam Suatu Keajaiban Di Dasar Laut



Sekilas pandang bentuk fizikalnya, tiada siapa akan menyangka Sharipah Lok Lok Sy Idrus merupakan seorang pencari serta penyelidik khazanah kapal karam di perairan negara ini.

Penolong Kurator Jabatan Muzium Malaysia ini membuktikan bentuk fizikalnya yang kecil bukan halangan untuk melakukan pelbagai tugas lasak seperti menyelam dalam usaha menyelongkar khazanah dasar laut itu.

"Fizikal bukan satu cabaran besar kerana yang lebih penting adalah minat dan bagi saya apabila menyelam melihat khazanah ini bagaikan melihat suatu keajaiban di dasar laut," katanya.

KHAZANAH WANLI DAN TANJUNG SIMPANG MENGAYAU



Sharipah Lok Lok pertama kali terlibat sepenuhnya dalam ekskavasi maritim kapal karam apabila beliau bersama pasukanya menjalankan penyelidikan ke atas kapal Wanli dipercayai karam selepas diserang musuh pada 1630 di perairan Dungun, Terengganu.

Wanli ditemui pada 1 Nov 2003 pada kedalaman 42m dan antara cabaran dihadapi adalah kekuatan tekanan air pada kedalaman itu di mana beliau terpaksa berhenti separuh jalan untuk menstabilkan tubuhnya kerana tekanan air itu malah hanya mampu bertahan kurang dua jam pada kedalaman itu berbanding penyelam profesional selama tiga jam.

Beliau berkata seperti kapal karam lain di perairan negara, kebanyakkan khazanah yang ditemui merupakan jenis seramik dan ditemui telah pecah atau separa pecah dengan warna biru-putih motif 'Kraak' dan jenis 'Transitional Wares'.

"Seramik ini memberi gambaran tentang perdagangan seramik di Asia pada kurun ke-17 dengan pedagang Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris membeli banyak seramik jenis itu dari China," katanya.

Sharipah Lok Lok berkata aspek penting penemuan seramik kapal Wanli ini ialah campuran motif 'Kraak' dan jenis 'Transitional Wares' yang sebelum ini disangkakan dibuat pada masa yang berlainan.

Beliau berkata motif corak pada seramik itu penting dalam menentukan fungsi khas seramik itu seperti untuk perkahwinan atau upacara keagamaan.

Kapal Tanjung Simpang Mengayau merupakan titik permulaan buat Sharipah Lok Lok dalam bidang ekskavasi maritim apabila pertama kali terlibat menyelidik khazanah yang ditemui daripada kapal karam itu.

Kapal itu dipercayai karam terlanggar terumbu karang kira-kira 700m dari Kudat, Sabah dan sarat membawa barangan dagang China daripada Dinasti Song antara tahun 960 dan 1126, kapal itu turut dipercayai karam dalam tempoh masa itu.

"Kapal ini karam pada kedalaman 12m, saya tidak lakukan selaman pada operasi itu hanya penyelidikan khazanah yang dibawa naik. Antara artifak yang ditemui pinggan mangkuk, seladon hijau, gong dan kendi," katanya.



SERAMIK DARI TIGA NEGARA

Sementara itu, Ibrahim berkata kapal karam tertua yang ditemui di Laut China Selatan merupakan kapal Turiang dipercayai karam pada 1370 dan terdampar di dasar laut pada kedalaman 42m.

Beliau berkata kapal itu panjangnya 26m dengan tiang layar 7.5m dan menerusi jenis kayu serta perincian pembuatanya menunjukkan kapal itu berasal dari China.

"Ia ditemui pada Mei 1998 membawa kargo seramik dari China, Vietnam dan Thailand. Antara jenis seramik ditemui seramik turiang dari China, seramik 'green-glazed' dari Sisatchanalai, Thailand dan mangkuk 'underglazed' dari Vietnam," katanya.

Apa yang menarik tentang kargo ini adalah ketiadaan celadon (sejenis seramik berwarna) dari Sisatchanalai. Teori sebelum ini menyatakan Sukhotai adalah perintis pengeluaran seramik 'underglazed' selepas Sisatchanalai memajukan teknologi penghasilan celadon dan mengeksportnya. Penemuan itu menyebabkan teori ini perlu dikaji semula.

Sebuah lagi kapal yang bertanggungjawab membawa seramik China ialah Desaru dipercayai karam pada 1830 kira-kira 2 batu nautika dari pantai Desaru, Johor ditemui pada Mei 2001 pada kedalaman laut 20m.

Ibrahim berkata kapal berukuran 30m panjang dan 7m lebar itu merupakan sebuah kapal jenis 'junk' dari China dan diperbuat daripada kayu pine dan cedar yang hanya terdapat di negara beriklim sederhana seperti China.

"Tiada kapal seumpamanya pernah diekskavasi sebelum ini. Diharap penyelidikan terhadap kapal ini berupaya menghasilkan maklumat baru mengenai teknik pembuatan kapal di China pada kurun ke-19," katanya.

Beliau berkata kebanyakkan seramik yang diperolehi daripada jenis biru-putih yang dipercayai dihasilkan untuk pasaran Asia Tenggara antaranya set teh, tembikar, pinggan dan mangkuk yang mempunyai corak teratai.

Kapal Singtai yang ditemui pada April 2001 pula menepis teori mengatakan Sisatchanalai merupakan pengeluar seramik 'underglazed' selari dengan pengeluaran seramik celadonnya.

"Ini dibuktikan apabila kapal itu didapati hanya membawa seramik 'underglazed' Sisatchanalai dan Sukhotai. Kapal itu tidak membawa sebarang jenis seramik celadon," katanya.

Ibrahim berkata kapal itu dipercayai karam pada 1550 kira-kira 12 batu nautika dari pantai Pulau Redang, Terengganu pada kedalaman 53m.

KAPAL KELULI DARI JERMAN

Ranee merupakan satu-satunya kapal keluli daripada 13 kapal karam dibicarakan dalam rencana ini dan kapal itu dibina di Lubeck, Jerman pada 1906.

"Kapal seberat 317 tan itu karam pada 14 Mac 1923 disebabkan perlanggaran dengan kapal Boribat. Kapal itu karam di Sedili, Johor dan turut meragut 31 nyawa penumpangnya," kata beliau.

Beliau berkata semasa kejadian kapal itu dalam perjalanan ke Singapura dari Kuantan, Pahang membawa bersama muatan bijih timah, getah dan rotan.

Kapal itu turut membawa barang hantaran Tunku Mohamed yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Kangsar di Perak bagi melangsungkan perkahwinannya dengan kerabat diraja Perak.

"Kesemua alat kebesaran Sultan Pahang termasuk pakaian pengantin tenggelam dalam kejadian itu. Usaha ekskavasi terhadap Ranee diharap dapat menyelamatkan artifak daripada pencuri harta haram," katanya.

Beliau berkata antara artifak yang ditemui semasa tinjuan awal ialah 'base measuring device', penutup botol, butang baju emas dan seramik kaca.

"Artifak ini adalah suatu yang ajaib, sesuatu yang memberi kita gambaran kehidupan nenek moyang kita. Orang ramai khususnya generasi muda perlu melihat sendiri keajaiban ditinggalkan generasi dahulu untuk kita generasi baru ini," katanya.

Nota Kaki:
Rencana ini merupakan siri kedua daripada dua siri rencana mengenai usaha ekskavasi maritim yang dijalankan pelbagai pihak antaranya Jabatan Muzium Malaysia ke atas 13 kapal karam di perairan negara.

Oleh Fadzli Ramli
Sumber: BERNAMA

0 comments: