25 September 2011
Tinted Yang Dibenarkan Pada Kenderaan.
Teringat masa mula-mula dapat beli sebuah kereta baru. Segala macam aksesori aku nak bubuh pada kereta aku tu. Nak pasang itu... nak pasang ini... Habis duit gaji bulan tersebut... datang pula selepas dapat gaji bulan berikutnya untuk pasang aksesori lain. Tapi itu dulu... masa hati muda dan jiwa muda.
Antara benda yang aku tambah pada kereta aku ialah tinted.
"Ini tinted mesti JPJ tak marah punya" kata tokey kedai eksesori kereta, apabila aku ragu-ragu untuk memilih tinted yang dicadangkan kerana kelihatan sangat gelap.
Setelah berfikir beberapa ketika, memilih mana satu yang berkenan dan setelah setuju dengan harga yang ditawarkan, maka aku pun pasanglah tinted tu. Aku cari yang murah-murah sahaja. Kalau ikutkan kehendak tokey kedai aksesori tu, memang yang ribu-ribu lah yang dicadangkannya. Diberikannya berbagai alasan kenapa tinted yang dia cadang tu sangat elok kalau aku ambil. Cuma tak disebutkan satu alasan iaitu dia dapat untung banyak.
Pada aku dalam cuaca yang panas terik seperti di Malaysia ini memang perlu sangatl lah pasang tinted ni. Tapi harus diingat... bukan suatu kemestian.
Pada saya kecerahan panas tengah hari bukan suatu masalah jika perjalanan setakat pergi dan balik kerja. Tetapi akan jadi masalah kalau perjalanan jauh. Dulu dalam hati aku ada berkata-kata, apa nak dirisaukan silau terik matahari... kan boleh pakai kaca mata hitam...
Tapi bila dah ada anak-anak sebagai penumpang baru lah aku berubah fikiran... kesian diorang. Takkan kena belikan sorang satu kaca mata hitam.
Satu hal lagi... aku ni selalu sangat tertinggal kaca mata hitam aku... bila dah 2-3 kilometer bergerak baru sedar. Nak balik semula ke rumah, malas pulak rasanya......
Cukup dulu setakat ini aku merapu... Kita terus kepada maksud tujuan entri ini ditulis......
Berapakah spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ untuk cermin gelap yang dibenarkan pada kenderaan?? Pastinya ramai yang sudah sedia maklum. Bagaimanapun, tak mengapa kita anggap sebagai satu ulangkaji pelajaran subjek Keselamatan Jalan Raya...
JPJ akan menjalankan operasi dari masa ke semasa bagi mengesan pengguna yang menggunakan cermin gelap dalam operasi yang digelar 'Ops Pengarah'.
Pemilik kenderaan yang diberikan notis kesalahan cermin gelap oleh JPJ diminta menghantar kenderaan masing-masing untuk pemeriksaan di mana-mana pejabat JPJ dalam tempoh 10 hari selepas notis dikeluarkan.
Sekiranya gagal, pemilik kenderaan tersebut akan dikenakan kompaun RM200.
Cermin kenderaan pada bahagian sisi perlu melebihi 50 peratus kecerahan manakala 70 peratus kecerahan perlu ada pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan.
Fakta daripada maklumat di atas adalah benar setakat saat entri ini disiarkan pada September, 2011
Sumber: BERNAMA [Sept. 2011]
Denda RM 300 Kesalahan Cermin Gelap
Bagaimanapun sumber kemaskini pada bulan Mei, 2014 menyatakan bahawa pihak polis melancarkan operasi pemeriksaan besar-besaran bermula 16 Jun 2014 yang mana denda maksimum RM300 akan dikenakan serta-merta terhadap pemandu yang melakukan kesalahan menggunakan cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Bermakna dengan peraturan kemaskini ini kompaun untuk kesalahan cermin gelap bukan lagi RM200 dan notis amaran (untuk tempoh sepuluh hari) kepada pemandu bagi membolehkan mereka bertindak menukarkan cermin gelap kepada cermin yang .mengikut spesifikasi tidak lagi dikeluarkan.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Fuad Abd Latiff, berkata penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi serta cermin yang terlalu gelap menyukarkan polis untuk mengecam penjenayah.
Apabila berlaku kes seperti ragut, samun dan bunuh, adalah sukar untuk mangsa atau saksi mengecam nombor pendaftaran yang digunakan suspek. Secara tidak langsung sukar untuk menjejaki suspek.
Begitu juga dengan cermin yang gelap yang menyukarkan pandangan pihak berkuasa untuk mengetahui kemungkinan terdapat penjenayah yang dikehendaki atau barangan terlarang di dalam sesebuah kenderaan.
Sumber: BHarian [Mei, 2014]
JPJ tidak rancang kaji peraturan cermin gelap
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak merancang untuk mengkaji Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang menetapkan tahap cermin gelap yang dibenarkan.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ariffin Che Mat berkata, setakat ini tidak ada keperluan untuk mengkaji peraturan itu yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna di jalan raya.
Pihaknya konsisten dalam menguatkuasakan undang-undang dengan hanya membenarkan mereka yang mendapat pengecualian di bawah kaedah-kaedah kenderaan motor (Larangan Mengenai Jenis Kaca Tertentu) 1991.
Pihak JPJ hanya membenarkan dua keadaan iaitu atas masalah kesihatan setelah mendapat pengesahan doktor pakar awam dan juga atas faktor keselamatan yang disahkan polis.
Sumber: Utusan [18052014]
VLT Cermin Belakang 25%
Berita yang dimaklumkan pada 4 Jun 2014 tentunya akan mengembirakan banyak pihak. Kadar ketelusan cahaya (VLT) untuk cermin penumpang belakang dan bahagian belakang kenderaan dikurangkan sehingga 25 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini.
Ia termasuk lima peratus toleransi atau kelonggaran diberikan untuk penguatkuasaan dengan mengambil kira ketidaktepatan alat pengukur ketelusan cahaya.
Bagaimanapun, VLT 70 peratus untuk cermin depan dan 50 peratus untuk cermin sisi pemandu dikekalkan. Peraturan baru itu dijangka berkuat kuasa bulan Jun 2014 ini selepas mendapat persetujuan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata keputusan meminda peraturan itu dirumuskan dalam bengkel kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap kenderaan selama dua hari.
“VLT untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang diturunkan kepada 30 peratus, namun, penguatkuasaan akan beri toleransi lima peratus lagi kerana mengambil kira alat yang mungkin tidak tepat sepenuhnya.
“Mungkin penguatkuasaan oleh polis yang dijangka 16 Jun ini akan mengguna pakai peraturan baharu. Ia bergantung kepada menteri sama ada terus lulus atau mahu bawa ke Kabinet,” katanya.
Bengkel di Shah Alam itu dihadiri pelbagai agensi kerajaan dan persatuan berkaitan kenderaan serta pengguna seperti polis, JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Pengimport Kenderaan Melayu (PEKEMA), Yayasan Pencegahan Jenayah dan Kelab MPV Malaysia.
Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman, berkata persatuan menerima keputusan itu, namun meminta ruang untuk dibenarkan rayuan bagi situasi khas kereta import yang datang dengan cermin sedia ada lebih gelap.
Presiden Kelab Pemilik MPV, Mohd Faizal Ismail, pula berkata keputusan pindaan itu melegakan ramai pemilik kenderaan MPV yang selama ini berdepan risiko keselamatan barangan.
“Kereta MPV tak ada but. Pengurangan VLT akan bolehkan pemilik MPV menggelapkan lagi bahagian belakang yang dilihat paling perlu diberi perhatian. Kebanyakan negara tidak menetapkan had untuk cermin belakang dan penumpang,” katanya.
Sumber: BHarian [4 Jun 2014]
Peraturan baharu cermin gelap mulai November 2014.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan peraturan baharu cermin gelap bermula 1 November 2014.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, peraturan baharu itu menepati standard antarabangsa seperti yang telah digunakan oleh kebanyakan negara lain.
Kadar ketelusan cahaya bagi peraturan baharu itu adalah 70 peratus bagi cermin depan, 50 peratus cermin sisi pemandu, 30 peratus cermin sisi penumpang belakang dan 30 peratus bagi cermin belakang.
"Bezanya adalah cermin belakang dan sisi penumpang belakang yang dikurangkan daripada 50 peratus kepada 30 peratus kerana kita gunakan standard antarabangsa seperti yang telah dikuatkuasakan di negara-negara lain dan kita merasakan ia bersesuaian," katanya.
Menurut Ismail, pengecualian bagi penggunaan cermin gelap melebihi had yang dibenarkan hanya akan diberikan untuk jawatan-jawatan tertentu antaranya Yang di-Pertuan Agong, Sultan, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Yang Dipertua Negeri serta Ketua Menteri dan Menteri Besar.
Permohonan pengecualian katanya, akan turut diberikan kepada agensi-agensi dan jabatan tertentu yang menguatkuasakan peraturan serta undang-undang yang berisiko tinggi serta pengendali kes-kes jenayah antaranya kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Beliau berkata, kompaun maksimum RM300 akan dikenakan kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan mengikut Kaedah-Kaedah Kenderaan Mo tor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991.
"Sekiranya kes dibawa ke mahkamah, denda RM500 atau penjara dua minggu akan dikenakan bagi kesalahan pertama manakala, denda RM1,000 atau penjara sebulan atau kedua-duanya sekali akan dikenakan bagi kesalahan seterusnya," katanya.
Sumber: Utusan [30092014]
Peraturan baharu cermin gelap berkuat kuasa 1 Mei 2015
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad mengumumkan penguatkuasaan peraturan baharu berhubung penggunaan cermin gelap akan dilaksanakan bermula 1 Mei 2015.
Peraturan baharu itu sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 November 2014 dan tarikh itu diubah bagi memberi masa kepada pemilik kenderaan, khususnya kenderaan import untuk mendapatkan gantian cermin kenderaan masing-masing.
“Selepas mengambil kira masalah yang dihadapi pemilik kenderaan, maka wajar satu tempoh masa yang munasabah diberikan kepada orang ramai bagi mengambil tindakan pembetulan, khususnya bagi pemilik-pemilik kenderaan import mendapatkan gantian cermin mengikut kadar baharu ketelusan cahaya (VLT).
“Tempoh masa yang diberi adalah sehingga 30 April 2015 dan selepas tempoh itu tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi spesifikasi VLT yang baharu,” katanya.
Sumber: Bernama, Kosmo [16102014]
Peraturan baharu selesai isu cermin gelap
Pengenalan peraturan baharu cermin gelap yang diumumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyelesaikan isu cermin gelap yang timbul selama ini, kata Pengarah Urusan Driven Communications Sdn Bhd, Paul Tan.
Paul, yang juga penulis blog automotif terkenal paultan.org, berkata dengan pengenalan peraturan baharu ini, tahap keselamatan kenderaan dapat ditingkatkan serta pemandu dan penumpang akan berasa lebih selesa.
"Kita tidak dapat pastikan bahawa peningkatan cermin gelap akan mengurangkan jenayah, tetapi sebarang langkah yang berpeluang meningkatkan tahap keselamatan ke atas sesebuah kenderaan adalah baik," katanya.
Beliau berkata peraturan baharu ini akan lebih memberi keselesaan kepada penumpang tempat duduk belakang kerana mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari pada waktu siang.
Pengenalan peraturan baharu ini menunjukkan keseimbangan yang baik antara keselesaan dan keperluan keselamatan terutamanya untuk pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan, katanya.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Dr Tam Weng Wah berkata keputusan penetapan kadar cermin gelap itu diperoleh hasil perbincangan antara pihak terlibat dalam Bengkel Kajian Semula Peraturan Penggunaan Cermin Gelap Kenderaan yang berlangsung Jun 2014.
"Dari segi signifikannya, penetapan kadar cermin gelap ini dibuat berdasarkan permohonan daripada pengguna selain mengambil kira faktor keselamatan," katanya.
Sumber: Sinar Harian [30092014]
P/S: Apakah cara yang boleh kita lakukan dengan kelengkapan yang kita ada untuk menyukat sendiri peratus kecerahan cermin kenderaan kita?
Labels:
Maklumat Umum,
Masam Manis Payau
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
sy pun nak psg tinted kt swift sy nti. hahahaha
<--- angan2 tinggi
Catat Ulasan