29 Oktober 2011

Banjir Luar Biasa Di Thailand



Sungai utama merentasi ibu negara Thailand mencatatkan rekod tertinggi pada 28 Oktober 2011, menyebabkan kawasan bangunan bersebelahan sungai dan kompleks diraja dilanda banjir di tengah fenomena air pasang besar yang dibimbangi akan meruntuhkan benteng banjir dan menyebabkan ibu negara dilanda banjir.

Air separas buku lali dari Sungai Chao Phraya melimpahi satu kawasan masuk ke Istana Besar yang dihalang dengan beg pasir. Pihak tentera dilaporkan mengepam air keluar manakala pelancong masih lagi memasuki kawasan yang dilindungi tembok putih itu.Sungai berkenaan turut melimpahi jalan raya di luar pintu istana selama beberapa hari tetapi air dilaporkan semakin surut menjadikan jalan berkenaan kembali kering.

Bagaimanapun, air pasang lebih besar daripada biasa di Teluk Thailand dijangka terus memuncak, menghalang banjir daripada ke utara, dan dibimbangi akan memenuhi kawasan bandar. Kerajaan juga bimbang penghalang utama dan tembok akan runtuh.

Tembok banjir berkenaan menghalang kawasan bandar raya 2.5 meter dan air pasang pada Sabtu dijangka mencecah hingga 2.6 meter.

Sebanyak tujuh daripada 50 daerah di Bangkok semuanya di utara, dilanda banjir dan penduduk terpaksa menggunakan rakit buluh untuk bergerak dan trak tentera serta mengharungi air setinggi paras pinggang. Lapan lagi daerah dilaporkan sudah mengalami banjir yang berkurangan.

Banjir berkenaan, paling buruk di Thailand sejak separuh abad membunuh hampir 400 penduduk dan menyebabkan lebih 110,000 lain hilang tempat tinggal.

Penganalisis ekonomi berkata banjir turut mengurangkan ramalan Keluaran Dalam Negara Thailand pada 2011 sehingga 2 peratus. Kerugian dianggarkan RM18.38 bilion boleh meningkat dua kali ganda jika Bangkok ditenggelami banjir.

Kebanyakan Bangkok masih lagi kering dan hampir kebanyakan sembilan juta penduduknya sedang berjaga-jaga melindungi kediaman mereka.

Kebimbangan berlaku di kawasan tengah Bangkok di mana penduduk Thailand dan ekspatriat cuba mendapatkan perlindungan di luar Bangkok manakala kerajaan asing menggesa rakyat mereka mengelak ke Bangkok.

Sumber: BHarian

MANGSA banjir menaiki bot selepas diarah berpindah kerana air semakin melimpah di sekitar kawasan Sungai Chao Phraya, semalam.Istana Besar Thailand dinaiki air, benteng penahan banjir boleh runtuh bila-bila masa


Puluhan ribu orang membanjiri stesen bas dan lebuh raya dalam usaha meninggalkan ibu kota Thailand, Bangkok ketika situasi banjir di sini semakin meruncing dengan arahan perpindahan pertama telah dikeluarkan. Kota metropolis yang dihuni sembilan juta orang itu kini dikelilingi air banjir.

Setakat ini, banjir yang melanda Thailand sejak Julai lalu telah mengorbankan 373 orang di seluruh negara dengan kerugian mencecah berbilion-bilion dolar. Lapangan Terbang Don Muang iaitu lapangan terbang kedua terbesar di sini turut ditutup akibat banjir.

Setakat 28 Oktober, 2011, kebanyakan kawasan di Bangkok masih belum ditenggelami air. Namun, warga kota dilihat giat melakukan persediaan ekoran banjir kali ini yang tidak dapat dielakkan.

Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, penduduk di dua daripada 50 daerah di sini iaitu Don Muang and Bang Phlat sudah diarah berpindah.

Kedua-dua daerah tersebut kini ditenggelami air banjir.


SEORANG lelaki mengayuh sebuah sampan ketika mengharung banjir di tengah-tengah kota Bangkok.-AFP

"Ini kali pertama saya menggunakan perkataan berpindah. Ini juga kali pertama saya meminta anda semua supaya beredar ke tempat lebih selamat," kata Sukhumbhand.

Di tempat-tempat lain di Bangkok, ribuan penduduk membanjiri terminal bas Mo Chit untuk meninggalkan bandar raya tersebut.


Sementara itu, peta satelit menunjukkan bandar raya itu kini 'dikepung' oleh air banjir.

Banjir yang melanda utara Thailand sejak Julai lalu sedang mengalir ke bandar raya ini dan menuju ke Teluk Thailand di selatan negara itu.

"Jumlah airnya amat besar," kata Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

"Sebahagian air banjir akan melanda Bangkok tetapi kita akan berusaha supaya banjir mengalir keluar dengan seberapa segera," tambahnya.

Menurut Yingluck, beberapa kawasan di sini mungkin ditenggelami air sedalam 10 sentimeter hingga 1.5 meter.


SEKUMPULAN penduduk menaiki sebuah trak untuk keluar dari Bangkok.

"Jika tiga tembok penghadang banjir di sini kekal utuh, situasi di Bangkok akan bertambah baik. Namun, jika benteng tersebut gagal, seluruh Bangkok akan dilanda banjir," ujarnya.

Sementara itu, pengeluar kenderaan dari Jepun, Toyota memberhentikan pengeluarannya pada 29 Oktober, 2011 ini di empat buah kilang di Amerika Utara termasuklah Indiana, Kentucky, Ontario Kanada dan Virginia berikutan impak banjir di Thailand.

"Banjir di Thailand telah menyebabkan gangguan dalam pengeluaran beberapa pembekal di rantau itu. Kami masih belum pasti sama ada boleh memulakan pengeluaran pada Isnin (31 Oktober) atau sebaliknya. Kami akan memantau keadaan di sana," kata jurucakap Toyota, Amiko Tomita. - Agensi

Sumber: Kosmo


SEBUAH jeti yang rosak dilihat terapung di Sungai Chao Phraya. Banjir besar yang melanda memaksa pihak berkuasa Thailand mengarahkan penduduk supaya keluar dari Bangkok.-Reuters

Empangan punca Thailand ditenggelami air


AYUTTHAYA merupakan bekas ibu negara Thailand, pernah ditawan askar Burma dalam peperangan yang berlaku pada tahun 1767.


Kali ini bandar raya yang terletak kira-kira 67 kilometer dari Bangkok itu sekali lagi ditawan, namun bukan disebabkan peperangan tetapi air.


Sejak seminggu lalu, keseluruhan bandar di wilayah itu kini ditenggelami air berikutan Sungai Chao Phraya yang mengelilinginya melimpah, melepasi benteng penghadang banjir yang dibina.


Situasi itu menyebabkan pelbagai khazanah berharga di Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu kini dalam bahaya.


Seorang penduduk tempatan, Somchit Nawangmuang memberitahu, dia telah kehilangan segala-galanya dalam kejadian itu.


"Banjir telah merampas segala-gala yang saya ada," kata bapa kepada enam orang anak itu yang rumahnya terletak di tebing Sungai Chao Phraya.


Dia dan keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman mereka pagi Ahad lalu selepas paras air sungai melimpah, menenggelamkan rumah dan memaksa mereka tinggal dalam keadaan sehelai sepinggang.


"Paras air meningkat sehingga lima meter mencecah siling rumah kami," katanya. Dia bersama ratusan pelarian kini ditempatkan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir di bandar itu yang menyediakan kemudahan penginapan sementara dan makanan.

Kilang ditutup




TENGGELAM. Banjir menyebabkan tapak warisan dunia, Kuil Chaiwatthanaram di Ayutthaya ini hampir hilang dari pandangan.


Timbalan Gabenor Ayutthaya, Thawi Naritsirikun berkata, sebanyak 1,200 hektar kawasan perindustrian di wilayah itu termasuk 200 kilang terpaksa ditutup akibat banjir. Antaranya beberapa syarikat gergasi, Honda Motor Co, Toyota Motor, Canon Inc. dan Nikon Corp.


Musim monsun pada tahun ini yang lazimnya bermula antara bulan Ogos hingga Oktober berlaku agak panjang dan menghasilkan hujan lebat yang luar biasa di sekitar Asia Tenggara. Situasi yang sama turut dirasai oleh beberapa negara jirannya seperti Vietnam, Kemboja dan Laos. Lebih menyedihkan, banjir tersebut telah menelan ratusan korban dan menyebabkan kerugian berbilion-bilon dolar.


Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand melaporkan seramai 270 penduduk telah disahkan terbunuh manakala lebih 2.4 juta penduduk turut terjejas ekoran banjir yang disifatkan terburuk dalam tempoh 50 tahun.




MASYARAKAT Islam Kemboja yang menunaikan solat di masjid Kampung Doung terpaksa menaiki sampan apabila negara mereka terkena tempias banjir yang melanda Thailand.


Dianggarkan sebanyak 58 daripada 77 wilayah dilaporkan terjejas, manakala 27 daripadanya telah ditenggelami air.


Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertanian menganggarkan kira-kira 1.4 juta hektar kawasan pertanian di negara itu kini ditenggelami air iaitu menyamai 13 kali ganda keluasan negara Hong Kong.


Secara keseluruhan, kerajaan mengganggarkan banjir yang bermula sejak bulan Julai lalu telah mengakibatkan kerugian antara AS$1.91 bilion hingga AS$2.61 bilion (RM5.9 bilion hingga RM8 bilion).


Selain Ayutthaya, beberapa wilayah lain yang terjejas ialah Nakhon Sawan, Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Angthong, Lop Buri, Pathum Thani, Nonthaburi dan Chacheongsao.


Seorang penduduk di Pathum Thani, Wanpen Suanmakam memberitahu, hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari menyebabkan paras air sungai berhampiran rumahnya meningkat sehingga dua meter.


Fenomena luar biasa




MANGSA banjir di wilayah Ayutthaya dipindahkan ke tempat yang selamat.


"Saya tidak pernah menjangkakan banjir pada tahun ini begitu buruk. Air naik dengan begitu pantas, kami tidak sempat berbuat apa-apa.


"Rumah saya kini ditenggelami air, begitu juga sawah padi yang diusahakan. Saya kini tidak mempunyai apa-apa lagi, semuanya telah musnah akibat banjir," kata lelaki berusia 62 tahun itu ketika ditemui di sebuah pusat pemindahan banjir di wilayah itu.


Fenomena luar biasa kali ini turut dikaitkan dengan faktor manusia. Ramai yang menyalahkan kelemahan pengurusan air di negara itu terutama di beberapa empangan besar seperti Bhumibol dan Sirikit di utara yang mengairi Chao Phraya.


"Mereka menyimpan terlalu banyak air di empangan pada awal musim monsun, oleh itu ia tidak dapat menampung jumlah hujan yang berterusan ketika ini," kata Ketua Yayasan Amaran Bencana Alam, Smith Dharmasaroja.





BEG-BEG pasir yang disusun menjadi benteng antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan Thailand untuk membendung banjir.


"Saya rasa lebih 80 peratus punca banjir ini disebabkan oleh kelemahan sistem yang digunakan," katanya yang juga merupakan seorang ahli kaji cuaca.


Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa telah dipaksa untuk melepaskan air dari takungan empangan Bhumibol dan Sirikit, yang berada dalam kapasiti penuh. Situasi itu sekali gus menyebabkan aliran Chao Phraya meningkat dan seterusnya mengalir ke ibu negara itu, Bangkok.


Penganalisis sebelum ini berpendapat, Bangkok yang kini beransur-ansur tenggelam berikutan peningkatan paras air di delta Chao Phraya dan terletak hanya dua meter di atas paras laut akan lumpuh sekiranya berlaku banjir.


Amaran banjir turut menimbulkan suasana panik bagi lebih 12 juta penduduk di bandar raya itu yang berebut-rebut menyimpan bekalan makanan dan air bersih.


Kebanyakan pasar raya sesak sejak Sabtu lalu, apabila orang ramai menyerbu dan membeli bekalan masing-masing untuk keperluan dan untuk didermakan kepada mangsa-mangsa banjir.


Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra kini dilihat berdepan tugas getir dalam menyelesaikan krisis pertamanya selepas dilantik menjawat jawatan itu kira-kira dua bulan lalu.


Tangani krisis




PEMANDANGAN dari atas yang menunjukkan air Sungai Chao Phraya dipenuhi air dan melimpah keluar ke darat.


"Kami mengaku banjir yang berlaku kali ini lebih buruk berbanding sebelumnya," kata Yingluck dalam ucapan yang disiarkan dalam siaran televisyen di negara itu pada 7 Oktober lalu.


"Kerajaan hari ini baru berusia beberapa bulan dan adalah sukar untuk berhadapan dengan situasi ini memandangkan hujan lebat kali ini agak luar biasa."


Kesungguhan Yingluck dalam menangani krisis yang berlaku menyebabkan beliau membatalkan lawatan rasmi ke Singapura dan Malaysia yang dijadualkan pada minggu ini.


Dalam satu telepersidangan dengan gabenor wilayah-wilayah yang terlibat sebelum ini, beliau menganggarkan sebanyak AS$1.2 bilion (RM3.75 bilion) akan digunakan untuk membina sistem penghalang banjir di seluruh negara itu pada masa hadapan.


Pada masa yang sama semasa pertemuan di Pusat Operasi Bantuan Banjir baru-baru ini, Yingluck turut mengarahkan agensi-agensi kerajaan bersedia untuk memindahkan mangsa-mangsa banjir.


Mengikut perjanjian itu, tentera akan mengambil alih melindungi penduduk dan beberapa wilayah yang terjejas teruk seperti Ayutthaya, Lop Buri dan Nakhon Sawan.


Sementara itu, pada Isnin lalu, Yingluck telah mengarahkan melaksanakan kerja-kerja mengorek terusan dan pengukuhan benteng pencegahan banjir di utara dan barat Bangkok bertujuan mengurangkan impak banjir yang melanda.


Setakat ini, tiga benteng penahan banjir baharu telah dibina di dua lokasi iaitu di Rangsit Khlong 5 dan Taling Chan.


Sementara itu, jurucakap agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kirten Mildren berkata, kerajaan kini giat melakukan pelbagai usaha bagi menghalang banjir daripada menenggelamkan bandar raya itu.


"Kami tahu banyak aliran air dari utara yang turun ke selatan," katanya.


"Kerajaaan kini sedang membina terusan di sekeliling bandar raya. Terdapat timbunan beg-beg pasir di merata-rata tempat. Mereka sedang melakukan apa saja untuk menghalang banjir, biarpun ia semakin hampir setiap hari."

Susunan AMMAR JAZLAN MAD LELA
Sumber: Kosmo

0 comments: