09 April 2014

Sejarah Perkhidmatan Pos Di Malaysia


Peti pos merah setia menanti kehadiran pelbagai jenis surat’

SEBELUM Alexander Graham Bell mencipta telefon pada 1870, kaedah komunikasi jarak jauh manusia di seluruh dunia terlebih dahulu dipelopori oleh perkhidmatan pos.

Bahkan kira-kira 100 tahun sebelum penghasilan teknologi telefon, perkhidmatan pos yang bersistematik sudah pun dipraktik di Amerika Syarikat dan Eropah.

Di negara ini, perjalanan sistem pos mempunyai laluan sejarahnya tersendiri selepas pengenalan perkhidmatan itu oleh Inggeris di Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sekitar 1800-an.

Di bawah pentadbiran Inggeris ketika itu, perkhidmatan pos tertumpu kepada urusan penghantaran surat rasmi kerajaan dan surat perniagaan yang dihantar oleh utusan khas.


Selepas perkhidmatan diperluaskan ke seluruh Tanah Melayu dan sambutan yang semakin meningkat, kerajaan memperkenalkan setem pertama sebagai bayaran yuran perkhidmatan pada 1901.

Perkembangan teknologi terus mengubah corak komunikasi manusia sehingga dilihat menjadi ‘ancaman’ kepada perkhidmatan pos yang sinonim dengan servis penghantaran surat pada ketika itu.

Bagaimanapun, kemunculan komunikasi moden seperti telefon bimbit dan internet yang menjadi pilihan lebih popular tetap tidak dapat menandingi nostalgia dan keterujaan menerima surat daripada tangan posmen.

Keseronokan mengoyak sampul dan meneliti setiap patah perkataan yang ditulis tangan menjadi memori yang cukup beerti. Dan tidak dinafikan kehadiran ‘abang posto’ suatu ketika dahulu sangat dinanti-nantikan.



Pejabat Pos yang terletak di Jalan Besar, Kula Lipis ini telah dibina pada tahun 1910

Yahaya Ibrahim, 59, salah seorang daripada ‘orang lama’ Pos Malaysia mengimbau perkhidmatan pos antara 1970-an sehingga awal 2000 di sekitar Kuala Lumpur.

Penolong Naib Presiden Institut Latihan Pos Malaysia itu berkata, perkhidmatan pos dahulu sama sekali berbeza dengan apa yang dirasai sekarang dan semestinya penuh dengan nostalgia.

“Pos masih lagi relevan dan akan kekal sampai bila-bila, cuma jika nak dibandingkan dahulu dan sekarang, kerja pos zaman dahulu lebih banyak kenangan.

“Mungkin sebab masa itu orang betul-betul menghargai erti sekeping surat. Maklumlah sebab masa itu tak ada lagi telefon bimbit dan internet,’’ katanya yang berkhidmat di Pos Malaysia sejak 39 tahun lalu.

Yahaya yang menyertai Jabatan Perkhidmatan Pos (nama lama Pos Malaysia) sebagai kerani di Pejabat Isih Brickfields (kini Pejabat Pos Laju) berkata, selepas perkhidmatan internet digunakan secara meluas sekitar tahun 2000, jumlah pengiriman surat turun secara mendadak.

Katanya, jumlah surat peribadi antara 1975 sehingga lewat 1980-an jauh lebih tinggi berbanding sekarang sehingga kutipan terpaksa dilakukan empat kali sehari bagi mengelak limpahan surat di peti-peti di Kuala Lumpur.

“Jika lewat kutip, peti pos merah tepi jalan itu akan penuh terutama di Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Klang Lama, kerana di situ pusat perniagaan.

“Keadaan jadi lebih ‘sesak’ setiap kali tiba musim perayaan kerana banyak kad ucapan dikirim sehingga pihak pos terpaksa mengambil beratus-ratus pekerja tambahan untuk melakukan isihan surat,’’ katanya.

Selain itu katanya, memori perkhidmatan pos juga tidak dapat dipisahkan dengan penghantaran surat secara jalan kaki dan berbasikal di sekitar Kuala Lumpur.

Tambah beliau, imej serta penampilan seorang posmen juga sudah jauh berubah. “Posmen dahulu tak sama dengan sekarang. Dahulu posmen pakai pakaian seragam yang segak, lengkap dengan topi, dan kemeja berbutang perak.

“Gaya dan imej posmen ketika itu hampir sama macam uniform anggota polis. Sekarang dah lebih kasual, sesuai dengan perubahan zaman,’’ katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Koordinasi Kesatuan-Kesatuan Dalam Pos Malaysia Berhad, Suffian Unoss berkata, Pos Malaysia sejak dari awal penubuhannya memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.

“Peranan Pos Malaysia berubah mengikut waktu dengan mengimbangi matlamat perniagaan dan keperluan masyarakat,’’ katanya yang menyertai Pos Malaysia sejak lebih 30 tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengakui peranan yang dimainkan oleh warga pos suatu ketika dahulu sudah jauh berbeza dengan zaman sekarang.

Katanya, dahulu posmen cukup disegani kerana menjadi ‘alat’ penghubung dalam masyarakat.

“Bukan sahaja hantar surat, ada masanya mereka kena baca sekali isi kandungan surat sebab orang tua di kampung ramai yang tidak tahu membaca. Tidak dinafikan hubungan posmen dengan masyarakat dulu cukup akrab sehingga ada yang diambil jadi menantu,’’ selorohnya.

Sumber: Utusan

0 comments: