16 Oktober 2011

Pengantin Bawah Umur

Satu kempen kesedaran global mengenai bahaya fenomena pengantin budak yang dinamakan ‘Girls Not Brides’ dilancarkan sempena Minggu Sidang Kemuncak Sosial Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Usaha itu diketuai pemimpin Afrika dan pemenang Nobel, Desmond Tutu yang sebelum ini dikenali kerana usahanya membantu memerangi aparteid di Amerika Selatan.


Sumber Foto: Kosmo

INFO: Perkahwinan budak di seluruh dunia.

1. Setiap tiga saat, seorang kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun dilaporkan dipaksa berkahwin, kebanyakannya di Afrika, Asia Barat dan Asia Selatan.

2. Menurut UNICEF, amalan perkahwinan awal ini menjejaskan satu pertiga kanak-kanak perempuan dan sekelompok kanak-kanak lelaki terutama di negara membangun. Ia menggambarkan perkahwinan kanak-kanak sebagai `satu bentuk paling lazim dalam penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak perempuan’.

3. Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak menyatakan 18 tahun umur minimum untuk berkahwin.

4. Aktivis merumuskan perkahwinan usia muda melanggar hak asasi kanak-kanak kerana mereka terlalu muda untuk memberi persetujuan secara bebas dan penuh. Ia termaktub dalam Perkara 16 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

5. Di kebanyakan negara membangun, amalan ini salah di sisi undang-undang tetapi undang-undang itu sering tidak dikuatkuasakan kerana tuntutan adat dan agama masih kuat diamalkan.

6. Pengantin perempuan berusia bawah 15 tahun berisiko lima kali ganda mati ketika mengandung atau melahirkan anak berbanding wanita yang berkahwin pada usia 20-an.

7. Gadis bawah 18 tahun lebih cenderung mengalami masalah fistula obstetrik yang menyebabkan lemah kawalan kencing yang teruk, berlaku semasa bersalin apabila terbentuk satu lubang di antara faraj dan pundi kencing atau rektum.

8. Pengantin muda lebih cenderung dijangkiti HIV melalui suami lebih tua. Kajian di Kenya dan Zambia oleh penyelidik Universiti Chicago mendapati 75 peratus gadis 15 hingga 19 tahun dijangkiti HIV kerana berkahwin muda.

9. Pengantin perempuan lebih cenderung dipukul atau dirogol suami sendiri.

10. Bayi dilahirkan pengantin kanak-kanak, 60 peratus berisiko mati ketika dilahirkan kerana tidak cukup bulan.

11. Pengantin kanak-kanak jarang dibenarkan ke sekolah, terpaksa membesarkan anak dan menjalankan kerja domestik untuk keluarga.

12. Gadis dari keluarga miskin dua kali ganda mungkin dikahwinkan keluarga sebelum berusia 18 tahun berbanding kanak-kanak perempuan dari keluarga kaya.

13. Bilangan perkahwinan kanak-kanak meningkat semasa konflik atau bencana alam.

14. Sesetengah keluarga menggunakan perkahwinan untuk membina dan mengukuhkan pakatan, mengelak tawaran harta, menyelesaikan pertikaian atau membayar hutang.

(Sumber: Pusat Penyelidikan Wanita Antarabangsa, Persekutuan Perancang Keluarga Antarabangsa Rancangan UK, UNICEF)

Definisi.

MENGIKUT definisi, perkahwinan adalah hubungan sah di sisi undang-undang yang disempurnakan melalui upacara sivil atau keagamaan antara dua individu yang ingin tinggal bersama sebagai pasangan seksual dan serumah. Perkahwinan juga adalah asas kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Hanya melalui perkahwinan, lelaki dan perempuan boleh menjalinkan hubungan intim yang sah di sisi undang-undang.

Pusat Kajian Wanita Antarabangsa (ICRW) memberikan definisi pernikahan bawah umur sebagai pernikahan atau penyatuan antara dua orang, iaitu salah seorang ataupun kedua-duanya berusia kurang daripada 18 tahun.

Statistik.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) memberikan statistik mengejutkan iaitu dalam setiap tiga saat, ada seorang kanak-kanak perempuan berusia bawah 18 tahun dilaporkan dipaksa berkahwin.

Setiap tahun, dilaporkan kira-kira 10 juta kanak-kanak dipaksa berkahwin, dengan usia pengantin semuda lima tahun.

Angka itu bukan hanya mengejutkan malah paling ‘menyedihkan’ bagi kanak-kanak berkenaan kerana mereka tidak dapat menikmati kehidupan kanak-kanak yang aktif bermain, bergelak ketawa, belajar dan dibimbing orang dewasa.

Paling menyedihkan ada yang masih menyusu terpaksa memikul tanggungjawab sebagai isteri dan menjadi hamba kepada suami mereka dan sering mengalami penderaan seksual serta keganasan rumah tangga.

Ia bukan hanya mengerikan kepada kanak-kanak perempuan yang dipaksa ini, tetapi lebih menakutkan kerana mereka dipaksa untuk menjadi ibu pada usia muda. Adakah anda tahu bahawa punca utama kematian kanak-kanak perempuan berusia 15 dan 19 adalah kerana bersalin.

Sama ada fizikal mahupun emosi bersedia untuk menjadi isteri dan ibu-ibu, anak-anak gadis ini adalah jauh lebih besar berisiko mengalami komplikasi berbahaya dalam mengandung dan melahirkan anak, menjadi mangsa jangkitan HIV/AIDS .

Perkahwinan kanak-kanak adalah masalah yang benar-benar global yang merentasi negara, budaya, agama dan etnik. Pengantin kanak-kanak boleh ditemui di setiap rantau di dunia, dari Timur Tengah hingga ke Amerika Latin, Asia Selatan ke Eropah.

Namun mengikut statistik terkini UNICEF separuh daripada semua pengantin kanak-kanak dunia tinggal di Asia Selatan yang mana 46 peratus daripada kanak-kanak perempuan berkahwin sebelum mereka mencapai usia 18.

Kadar perkahwinan kanak-kanak adalah 66 peratus di Bangladesh, Afghanistan (39 peratus), India (47 peratus), negara Sub-Sahara, Afrika (38 peratus) dan Amerika Latin serta negara di Caribbean (29 peratus).

Lima negara-negara yang mempunyai kadar tertinggi perkahwinan kanak-kanak (diukur daripada peratusan wanita yang berumur 20-24 tahun yang telah berkahwin atau sebelum usia 18 tahun), negara di Afrika Utara iaitu Niger mencatatkan peratusan 75 peratus diikuti Chad (72 peratus), Mali (71 peratus ), Bangladesh (66 peratus) dan Guinea (63 peratus).

Puncanya.

Apakah punca berlakunya perkahwinan muda terutama di negara membangun? Pertamanya adalah kemiskinan. Kebanyakan negara membangun rakyatnya miskin tegar, justeru mereka menyelesaikan masalah dengan menikahkan anak perempuan mereka kerana ia membolehkan ibu bapa mengurangkan perbelanjaan keluarga.

Dalam masyarakat yang mana wujud urus niaga ekonomi dalam proses perkahwinan atau ‘harga’ pengantin perempuan ditentukan melalui pemberian ‘mas kahwin’ maka mereka sering menjadi mangsa untuk dikahwinkan pada usia muda.

Tradisi juga menyebabkan kanak-kanak perempuan ini dikahwinkan pada usia muda. Ini berlaku di negara-negara di benua Afrika dan Asia. Mereka yang enggan melaksanakan amalan (perkahwinan usia awal) itu akan disisihkan masyarakat.

Amalan tradisi juga menyaksikan perkahwinan kanak-kanak ini boleh digunakan untuk menyatukan hubungan keluarga atau menyelesaikan pertelingkahan. Keluarga juga mengahwinkan anak-anak perempuan mereka bagi menyekat risiko kehilangan kehormatan diri atau dara sebelum perkahwinan.

Ketidaksamaan gender juga menyebabkan wanita dan kanak-kanak perempuan dilihat sebagai golongan kelas kedua, dan mereka dinafikan kuasa untuk membuat keputusan mereka sendiri mengenai masa depan masing-masing.

Satu lagi punca perkahwinan kanak-kanak perempuan di awal usia adalah faktor keselamatan yang mana di kawasan konflik, anak gadis dijadikan pengantin untuk ketua pemberontak. Gadis dijadikan taruhan oleh keluarga untuk perlindungan daripada keganasan atau kematian.

Mati Akibat Penderaan Seksual.

Antara kes perkahwinan bawah umur yang menarik perhatian dunia membabitkan seorang gadis berusia 13 tahun di Yaman. Dia mati selepas kecederaan teruk pada kemaluan akibat didera suami. Satu kes di India pula menyaksikan budak perempuan lima tahun tertidur ketika dikahwinkan. Ikuti antara kes menarik membabitkan perkahwinan kanak-kanak yang pernah dilaporkan.

Kes menimpa Ilham al-Ashi, 13, begitu meruntun hati. Pengantin muda ini mati pada April 2010 akibat penderaan seks oleh suaminya berusia 24 tahun. Ilham mati lima hari selepas berkahwin dengan Abed al-Hekmi. Laporan perubatan hospital di Hajja, Yaman menunjukkan mangsa mati akibat kecederaan teruk pada kemaluannya.

Sumber: BHarian

5 comments:

Bawang Goreng berkata...

Saya ada simpan entry Budak perempuan mati selepas 4 hari kahwin.

Kasihan sungguh dengan nasibnya. Semoga suaminya mendapat balasan setimpal dengan kezaliman yang dilakukannya.

ch000tz berkata...

belum pun akhir baligh lagi perlu ke utk kawennn weyhh >-<

StuntWomanWho :) berkata...

ada gak bace artikel ni kt paper .,
tp akhirnya gadis toh bebas :)

Nurul Ashikin berkata...

sian bukan sbb apa... kerana mereka dipaksa.. sbb anak perempua dianggap beban..lepas kawin dijadikan tempat melampias nafsu.. bukan untuk berkasih sayang

exora berkata...

sian budak2 tu...