31 Oktober 2011

Taman Warisan Pertanian Di Putrajaya



Taman Warisan Pertanian yang terletak di bandar terancang pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Putrajaya, sebenarnya amat unik dan cukup menarik sebagai destinasi pelancongan agro dan pendidikan.

Para pegawai taman ini rata-rata berpengetahuan luas dalam bidang pertanian termasuk pelbagai tips menanam, sejarah dan kisah menarik berkaitan tumbuhan tertentu.

Di sini, pelbagai jenis pokok jambu yang rendang dengan dahan yang terjuntai dan rimbun ekoran amalan cantasan atas (top-pruning) secara berkala. Corak cantasan itu menyebabkan pokok jambu lebih cepat menghasilkan buah dengan buah yang berkualiti tinggi.


Tips lain yang menarik ialah seperti pokok nangka perlu dibuang separuh daripada putik buahnya agar dapat menghasilkan baki buah yang lebih besar dan berkualiti manakala nanas yang dianggap suci oleh tamadun Mayan lebih manis jika ditanam di plot tanah liat berbanding tanah jenis gambut.

Taman yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu buah-buahan, tumbuhan herba dan tumbuhan komoditi, menempatkan kebun kecil tumbuhan yang tidak asing lagi dengan kehidupan masyarakat Malaysia tradisional sejak berkurun lamanya.

Di sini terdapat lebih 180 spesies tumbuhan tempatan. Lebih menarik lagi demonstrasi menoreh getah yang betul turut diadakan.



MENOREH  GETAH

Cara yang betul menoreh getah ialah menghiris kulit pokok menggunakan pisau tarik atau pisau sodok yang betul-betul tajam kerana hirisan pada kulit pokok mestilah senipis yang mungkin.

Hirisan juga mestilah dengan cermat kerana ia tidak boleh melukai bahagian dalam batang pokok atau tisu kambium kerana luka itu akan menyebabkan bonjolan pada batang pokok yang pasti menyukarkan proses penorehan akan datang.

Torehan biasanya dibuat pada sudut 30 darjah supaya susu getah atau lateks boleh mengalir lancar ke cawan getah.

BAHAYA CUKA GETAH

Di sini penulis kongsikan pengalamannya memproses getah semasa berada di kampong suatu ketika dahulu..
Lateks yang terkumpul akan membeku apabila cuaca menjadi semakin panas, jadi ia perlu dikutip dan dibawa ke bangsal memproses getah keping dengan segera.

Lateks dituang ke dalam bongkah takungan segi empat dan dicampur dengan cuka getah supaya lebih cepat beku sebelum dikeluarkan dari acuan dan dipijak-pijak sehingga leper.

Cuka getah memang menjadi bahan penting memproses getah yang mudah dibeli dan ditemui di kawasan ladang, dan biasanya dijual dalam botol yang kelihatan sama seperti botol minuman bergas yang cukup popular suatu masa dahulu.

MELEPER DAN MENYALAI GETAH

Di pondok memproses getah yang dikongsi dengan beberapa jiran lain, terdapat dua jenis mesin memproses iaitu mesin cetak licin dan mesin cetak bunga.

Getah yang telah dilenyek akan digelek menggunakan mesin licin beberapa kali sehingga cukup nipis sebelum digelek menggunakan mesin bunga.

Selepas itu kepingan getah akan disusun dan dikeringkan dalam pondok asap yang biasanya terletak hampir dengan rumah atas faktor keselamatan.

Proses menyalai kepingan getah itu sebenarnya tidak menggunakan api yang marak sebaliknya pembakaran batang getah yang hanya menghasilkan bara dan asap yang sesuai untuk menyalai dan secara tidak langsung membantu menghalau nyamuk pada waktu malam.



LADANG PRANG BESAR

Kebun getah yang masih kekal di Taman Warisan Putrajaya, adalah sebahagian kecil daripada Ladang Prang Besar yang dibuka sejak tahun 1962 dan turut mengekalkan sebatang pokok induk yang adalah pokok getah tertua di Selangor sebagai tarikan bersejarah di taman itu.

Di sini, demonstrasi menoreh dilakukan oleh pekerja taman, S. Saravanan, 43, yang berasal dari keluarga penoreh getah yang telah mencari rezeki di situ sejak awal pembentukan ladang berkenaan.

Beliau mengakui aktiviti memproses getah keping telahpun pupus apatah lagi banyak ladang getah tidak lagi wujud setelah diganti dengan kelapa sawit, jadi getah kini dijual dalam bentuk getah beku.

Kini getah adalah komoditi yang sangat berharga dengan permintaan yang sangat tinggi untuk kegunaan seperti tayar kapal terbang dan kereta lumba sedangkan bekalan amat rendah.

"Kehidupan sebagai penoreh tidak senang, hasil tidak menentu kerana tidak boleh turun menoreh pada hari hujan atau jika pokok basah kerana getah yang tercampur dengan air hujan tidak boleh digunakan," jelasnya.

Bayaran masuk ke Taman Warisan Pertanian hanya RM2.00 untuk dewasa dan percuma kepada pelajar dan kanak-kanak, manakala bayaran untuk lawatan menaiki buggy adalah RM4.00 seorang.

Untuk maklumat lanjut mengenai lain-lain pakej masuk, aktiviti dan modul pendidikan, layari laman web rasmi Perbadanan Putrajaya di www.ppj.gov.my.

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali
Sumber: BERNAMA

2 comments:

yusuflaili(Goku) berkata...

Salam;
memang bagus diwujudkan taman seperti tu..sesuai untu penyelidikan dan rujukan pelajar sekolah atau pertani.

Tanpa Nama berkata...

cam besh!!