19 November 2011

Bank Perketat Syarat Layak Peminjam

Dalam kehidupan yang serba-serbi memandang kepada kehendak materialistik, sebahagian besar masyarakat kini akan mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis hutang dengan bank. Hutang kereta, hutang rumah dan hutang kad kredit adalah jenis-jenis hutang yang biasa ditanggung oleh sebahagian besar masyarakat dalam kehidupan kini.

Semakin besar selera seseorang terhadap kehendak materialistiknya, semakin besarlah bebanan hutangnya. Hakikatnya mereka juga sepatutnya mempunyai sumber pendapatan bulanan yang juga besar sebelum layak berhutang secara besar-besaran.

Bagaimanapun bukan semua orang layak untuk memohon dan layak untuk diluluskan permohonan pinjaman kewangan ini. Pihak bank yang pastinya perlu juga mengambil sikap berhati-hati dalam hal ini agar tidak menanggung terlalu banyak hutang lapok.



Institusi kewangan tempatan akan membuat penilaian lebih ketat terhadap kemampuan pembayaran balik individu yang memohon mendapatkan pembiayaan, berkuat kuasa 1 Januari 2012 depan.

Di bawah garis panduan baru Bank Negara Malaysia semalam, institusi kewangan kini perlu mengambil kira pendapatan bersih, iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai berjadual (PCB) serta semua tanggungan hutang lain ketika menilai kemampuan pemohon membayar balik pinjaman.

Sebelum ini institusi kewangan hanya mengambil kira jumlah pendapatan kasar.

Bagi memastikan seseorang pemohon pinjaman benar-benar memahami implikasi tanggungan pembiayaan yang bakal diambil, seterusnya membantu mereka membuat keputusan yang betul, garis panduan itu turut menetapkan supaya institusi kewangan memberikan maklumat terperinci mengenai produk pembiayaan yang dimohon.

Ia termasuk jumlah bayaran balik yang perlu diselesaikan peminjam, jumlah kos kadar faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembiayaan, serta kesan kenaikan kadar faedah terhadap pembiayaan yang diambil.

Garis panduan itu akan digunakan institusi kewangan bagi semua permohonan baru yang dibuat oleh individu dan pemilik tunggal perniagaan untuk produk pembiayaan rumah, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pembiayaan peribadi termasuk overdraf serta pembiayaan untuk membeli saham kecuali pembiayaan margin saham yang tertakluk kepada peraturan Bursa Malaysia.

Bagi pembiayaan kereta, selain penilaian kemampuan bayaran balik pemohon yang lebih ketat, garis panduan itu turut menghadkan tempoh pembayaran balik maksimum sembilan tahun.

Syarat yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat kerana Bank Negara berpendapat, tempoh pembiayaan maksimum itu adalah sesuai dengan jangka hayat purata sesebuah kenderaan.

Ketika ini ada institusi kewangan yang menawarkan tempoh bayaran balik yang lebih panjang.

Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata, garis panduan baru itu diperkenalkan bertujuan menggalakkan amalan memberikan pembiayaan secara berhemah, bertanggungjawab dan telus di kalangan institusi kewangan tempatan.

Bank pusat itu berkata, selain institusi kewangan yang diletakkan di bawah skop Bank Negara, Suruhanjaya Koperasi akan turut melaksanakan garis panduan itu ke atas semua koperasi yang menyediakan pembiayaan kepada ahlinya.

Setakat akhir tahun lalu, pinjaman yang dikeluarkan kepada isi rumah berjumlah RM74.4 bilion dengan majoritinya adalah bagi tujuan membeli aset seperti rumah dan kenderaan.

Ringkasan:
* Berkuat kuasa 1 Januari 2012
* Bank perlu beri maklumat terperinci pinjaman
* Ambil kira pendapatan bersih

Sumber: BHarian


3 comments:

afzalsukasuki berkata...

haa bos aku baru citer benda ni ngan aku.payahla cenggini lakau aku nak pinjam pembaris atau pen..hmm

EmpayarUtama berkata...

Aku selalu pergi pinjam pen, pas ni susahla

Koding berkata...

Afzal & Empayar...
Ko jgn bimbang pasal pen tu..
nnti aku belikan utk ko sorang sebatang...