19 November 2011

Tujuh Keajaiban Alam Sekitar



PIRAMID Agung Giza sudah berusia lebih 3,800 tahun. Namun, kekukuhan struktur ciptaan manusia tertua yang masih wujud itu menjadi salah satu monumen yang paling diingati oleh setiap generasi.

Tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka kenal dengan piramid yang dibina pada tahun 2540 Sebelum Masihi itu dan siap dua dekad kemudian.

Walhal, ketika Piramid Agung Giza disenaraikan, terdapat enam buah seni bina purba lain yang melakar sejarah sebagai monumen penting yang turut melakar sejarah manusia zaman purba ketika itu.

Antaranya ialah taman tergantung Babylon, Kuil Artemis di Ephesus, patung berhala Zeus di Olympia, makam Maussollos di Halicarnassus, patung raksasa Rhodes dan rumah api Iskandariah.

Orang Yunani sejak zaman purba percaya bahawa tujuh membawa maksud atau melambangkan kesempurnaan, sehinggakan kepercayaan itu diteruskan sehingga kini.

Dari situlah wujudnya pelbagai senarai keajaiban lain yang meletakkan tujuh nama-nama seni bina atau monumen, alam semula jadi sebagainya.

Baru-baru ini, sebuah organisasi, Yayasan New7wonders telah menyenaraikan sebanyak tujuh keajaiban alam sekitar dunia yang dipilih berdasarkan undian penduduk dunia.


BINAAN unik dan sejarah yang dipahat Colosseum di Rom Itali telah menarik jutaan pelancong ke negara itu sejak berdekad lalu.

TARIKH 11 November lalu bukan sekadar pilihan ramai pengantin dan kelahiran bayi sebaliknya turut mencatat sejarah apabila undian tujuh keajaiban dunia yang baru, ditutup sebaik detik 11 pagi, 11 minit dan 11 saat.

Dan Isnin lalu, senarai awal undian bagi kategori 7 Keajaiban Semula Jadi Dunia diumumkan iaitu Hutan Hujan Amazon (Amerika Selatan); Teluk Halong (Vietnam); Air Terjun Iguazu (Argentina/Brazil), Pulau Jeju (Korea Selatan); Taman Negara Komodo (Indonesia); Sungai Bawah Tanah Gunung Puerto Princesa (Filipina) dan Table Mountain (Afrika Selatan).

Keputusan akhir tersebut diperoleh selepas satu proses yang lama, bermula dari Disember 2007 hingga Julai 2009. Dalam tempoh itu, warga dunia diminta mengundi lokasi yang mereka fikir sebagai keajaiban alam sekitar.

Penganjur senarai itu, Yayasan New 7 Wonders of Nature yang berpusat di Switzerland dilaporkan sudah menjalankan undian sejak 2007, dengan 440 keajaiban dari 220 negara disenaraikan.

Namun, selepas beberapa pusingan, peringkat akhir menyaksikan 28 keajaiban disenarai pendek sebelum tujuh pemenang diumumkan. Namun, senarai penuh hanya akan diumumkan awal tahun depan selepas penganjur membuat pengiraan semula undian. Undian dibuat penduduk dunia melalui panggilan telefon, talian tetap dan perkhidmatan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Tujuh keajaiban alam sekitar yang baru menunjukkan penyertaan beberapa nama-nama tempat pelancongan popular seperti Great Barrier Reef di Australia dan Grand Canyon di AS yang terkeluar daripada senarai akhir pertandingan tersebut.

Senarai keajaiban alam sekitar berkenaan telah menimbulkan kejutan apabila menyingkirkan beberapa tempat pelancongan popular seperti Laut Mati di Israel dan Grand Canyon di Amerika Syarikat (AS) walaupun kedua-dua tempat berkenaan berada dalam senarai 10 finalis.

Pengasas Yayasan New7Wonders, Bernard Weber dalam laman webnya berkata: "Kami mengucapkan tahniah kepada peserta-peserta yang telah berjaya mendapat status sementara ini dalam melengkapkan proses mengesahan dalam majlis khas yang akan diadakan awal tahun 2012 nanti.

"Keputusan akhir bakal diumumkan awal tahun 2012 ini dengan amaran kemungkinan berlakunya perubahan keputusan pemenang sementara berbanding senarai akhir," katanya.


ISTANA Potala yang terletak di Lhasa, ibu kota Wilayah Autonomi Tibet China digelar sebagai mutiara di bumbung dunia kerana keagungan seni binanya.

Malangnya, tidak sampai seminggu senarai itu diumumkan, tercetuslah kontroversi yang menyelubungi tujuh keajaiban baru itu.

Penganjur dikatakan meminta negara yang mengambil bahagian membayar yuran RM625.46 (AS$199), tetapi selepas proses pemilihan diperketat dan bilangan calon dikecilkan, negara tersenarai diminta membayar sejumlah wang yang besar untuk membantu kempen pemasaran yayasan itu. Disamping itu terdapat lagi pelbagai jenis dakwaan yang berkaitan dgn pelbagai jenis bayaran dan sumbangan dana yang memungkinkan kepada kemenangan.

Kita tolak tepi kontroversi berkenaan dan fokus kepada senarai yang ada. Adakah kita bersetuju dengan senarai tujuh keajaiban itu atau merasakan lebih banyak lagi kawasan yang lebih layak tersenarai berdasarkan keunikan masing-masing.

Mungkin penyenaraian tujuh keajaiban dunia baru itu perlu dijalankan organisasi dunia lebih dipercayai termasuk di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan bukan saja keputusannya lebih telus, tetapi mengelak cubaan eksploitasi pihak tertentu.



Tujuh Keajaiban Baru Dunia

1. Hutan Hujan Amazon, Brazil


Pemandangan menarik di Amazon

Meliputi kawasan seluas 5,500,000 kilometer persegi dengan 7 juta kilometer persegi kawasan hutan mazon. Kawasan itu adalah separuh daripada hutan tropika yang masih kekal di dunia, dengan koleksi terbesar tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Kawasan berkenaan juga meliputi Lembangan Amazon dan suhu yang tinggi di kawasan berkenaan sesuai untuk pertumbuhan biodiversiti.

Lembangan itu juga adalah yang terbesar di dunia dan paling bernilai di muka bumi.

2. Teluk Hualong, Vietnam

Juga dikenali sebagai Ha Long Bay turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menajdi destinasi pelancongan terkenal di Vietnam. Teluk ini dikeliling gunung batu kapur berusia beribu-ribu tahun yang boleh ditemui dalam pelbagai saiz dan bentuk. Ha Long Bay adalah pusat zon yang meliputi Teluk Bai long ke timur laut, dan Pulau Cat Ba di barat dayanya.

Teluk ini meliputi kawasan seluas 1.553 kilometer persegi termasuk 1,960 hingga 2,000 pulau kecil, yang kebanyakannya adalah batu kapur. Daratan teluk adalah 334 kilometer persegi dengan kepadatan 775 pulau kecil. Di percayai usia batu kapur di teluk ini menjangkaui 500 juta tahun. Evolusi batu kapur di teluk ini mengambil masa 20 juta tahun kesan perubahan iklim tropika. Terdapat 14 spesies bunga dan 60 spesies fauna.

3. Air Terjun Iguaz, sempadan Argentina-Brazil

Terletak di kawasan seluas 2.7 kilometer di sempadan dua negara ini. Pelancong boleh melihat 257 air terjun di sepanjang kawasan berkenaan yang mana dua pertiga daripadanya berada di Argentina. Air terjun ini menjadi destinasi wajib pengunjung ke negara Amerika Selatan itu. Air terjun utama yang menjadi tumpuan ramai dikenali sebagai ‘Devils Throat’ berbentuk U terletak di Brazil setinggi 82 meter, 150 meter lebar dan panjangnya 700 meter. Iguazu (Sungai Bing di Guarani) pula paling banyak dikunjungi dengan sejumlah kira-kira 2,000 spesies tumbuhan, 400 burung dan 70 mamalia didaftarkan di kawasan berkenaan.

4. Pulau Jeju, Korea Selatan


PULAU gunung berapi, Pulau Jeju terletak kira-kira 130 kilometer dari Korea Selatan.

Pulau terbesar dan terletak di timur laut negara itu, kaya dengan tarikan pelancongan kawasan gunung berapi dan tinggalan lava membeku. Pulau ini juga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Pulau Jeju turut dikenali Jejudo. Menurut sejarah, Pulau Jeju terletak di Selat Korea di daerah Jeollanamdo sebelum berpisah menjadi daerah lain pada 1946.

Ia pernah juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Doi, Dongyeongju, Juho, Tammora, Takra, Tamra. Antara tarikan utama pulau pelancongan ini adalah gua bawah tanah dan Taman Hallim serta Taman Bonsai yang berusia lebih 150 tahun. Pulau Jeju berkeluasan 73 kilometer x 41 km ini turut memiliki kawasan unik dikenali Mysterious Road yang mana barangan termasuk kereta boleh bergerak sendiri tanpa sebarang ‘kuasa,’ menaiki kawasan berbukit.

5. Taman Negara Komodo, Indonesia

Taman ini terletak di Pulau Komodo iaitu salah satu daripada 17,508 pulau di Indonesia. Pulau ini terkenal bukan hanya warisan budaya tetapi spesies biawak dikenali komodo. Haiwan itu hanya boleh ditemui di Pulau Komodo dan binatang seperti cicak gergasi ini hidup berkeliaran di pulau itu selama lebih daripada empat juta tahun. Pulau ini ditemui kira-kira 100 tahun lalu. Terkini, dilaporkan kira-kira 4,000 biawak komodo hidup di tiga pulau selain Pulau Komodo iaitu Pulau Rinca dan Padar.

Selain itu, Taman Negara Komodo kaya dengan terumbu karang dan kira-kira 50 tapak menyelam yang hebat dan menarik. Pada 1986, ia menjadi tapak Warisan Dunia UNESCO dan Rizab Manusia dan Biosfera. Selain komodo, di taman negara ini pelancong boleh melihat haiwan unik dan eksotik seperti ayam hutan berkaki jingga, tikus endemik dan rusa Timor. Lebih daripada 1000 spesies ikan, kira-kira 260 spesies batu karang, 70 spesies span laut dan dugong, ikan jerung, dan sekurang-kurangnya 14 spesies ikan paus, ikan lumba-lumba dan penyu laut ditemui di perairan taman negara ini.

6. Sungai Bawah Tanah, Puerto Princesa


PENGUNJUNG menikmati keindahan sungai bawah tanah Puerto Princesa di Filipina.

Sungai ini terletak di Taman Negara Sungai Bawah Tanah Puerto Princesa terletak kira-kira 50 kilometer (30 batu) di utara pusat bandar Puerto Princesa, Palawan, Filipina. Taman negara terletak di Banjaran Gunung Saint Paul di pantai utara pulau itu. Ia bersempadan dengan St. Paul Bay ke utara dan di Timur Sungai Babuyan. Ia juga dikenali sebagai Taman bawah tanah Kebangsaan St. Paul River, atau Sungai Bawah Tanah St Paul dan tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1999.

Taman Negara ini dikelilingi gunung batu kapur dengan sungai sejauh 8.2 dilayari kilometer bawah tanah. Satu yang menarik sungai bawah tanah ini ia mengalir di dalam gua sebelum terus ke Laut China Selatan. Sebelum Sungai Yucatan di Semenanjung Mexico, ditemui pada 2007, Sungai Bawah tanah Puerto Princesa dikatakan menjadi sungai bawah tanah terpanjang di dunia.

Sungai bawah tanah Puerto Princesa terkenal dengan ciri-ciri saintifik, biologikal dan geologikal telah diumumkan sebagai tapak bersejarah dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1999.

Ia juga dinamakan sebagai Monumen Geologikal Kebangsaan pada Disember 2003.

7. Table Mountain, Afrika Selatan

Gunung berbentuk meja besar yang rata boleh dilihat di mana saja di Cape Town. Terletak di dalam Taman Negara Table Mountain, kawasan gunung itu saja dikelilingi lebih 1,500 spesies tumbuhan, manakala 2,285 spesies tumbuhan boleh ditemui di taman negara itu.

INFO: Yayasan New 7 Wonders of Nature

Diasaskan pada 2001 oleh penerbit filem Bernard Weber di Zurich, Switzerland.

Mengamalkan prinsip yang sama dalam penetapan tujuh keajaiban dunia pernah diumumkan sebelum ini termasuk Taj Mahal di India serta Piramid dan Giza di Mesir.

Sumber 1: Kosmo
Sumber 2: BHarian

2 comments:

afzalsukasuki berkata...

wah hutan amazon pon termasuk sekali ea?aku pun setuju rasanya..hutan tebal giler tu!

Tanpa Nama berkata...

kenapa 7 ja??? huhuhu.. rasa mcm nk melancong kat tmpt2 yg ada dlm list ja