27 November 2011
Hijrah Membina Penghayatan Islam
Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.
Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud, Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)
Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah.
Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan, "Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".
Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.
Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).
Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam (ketika beliau memegang jawatan khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah) setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.
Hikmah Perbezaan Kalendar Hijrah dan Masihi
Beberapa cadangan telah dikemukakan kepada beliau, ada mencadangkan tarikh kelahiran Rasulullah SAW, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada mencadangkan tahun kewafatan Baginda.
Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui Saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain, seperti mana katanya: “Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal.”
Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali. Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (tarikh as-Syamsi) sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).
Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.
Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai.
Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tertentu.
Contohnya musim haji dan puasa. Mungkin pada tahun ini, umat Islam berpuasa atau menunaikan haji dalam musim sejuk, tetapi beberapa tahun kemudian pula dalam musim panas.
Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.
Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.
Sumber: Utusan dan BHarian
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 comments:
salam maal hijrah ya :)
salam maal hijrah...
maklumat yg bagus..rmi yg lupe ni sbb bnde setahun sekali..
salam maal hijrah..
salam maal hijrah 1433.. semoga kita menjadi lebih baik daripada sebelum ini... insyaallah... amin! :)
Salam Maal Hijrah ;)
Catat Ulasan