02 Disember 2011

Solat Jemaah Asas Kekuatan



SOLAT adalah aspek penting dalam kehidupan seharian kita. Solat ditekankan dalam kehidupan setiap insan yang dilahirkan di dalam Islam mahupun kepada yang baru memeluk Islam.

Solat merupakan tiang kepada agama yang dapat mendisiplinkan umat dan dengan solat juga, ia dapat memelihara jiwa seorang Islam daripada kemaksiatan dan kemungkaran yang saban hari semakin mencabar dalam kehidupan arus kemodenan akhir-akhir ini.

Ia aspek penting dalam membentuk jati diri yang kuat untuk menempuh dugaan seharian yang menjadi permainan dalam kehidupan manusia.

Solat menjadi kekuatan jiwa yang hakiki dalam memainkan peranan yang penting untuk menjaga diri serta mendapat ketaqwaan yang tinggi dengan kekuatan-kekuatan tambahan yang harus difahami oleh setiap insan dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran semasa.


Namun, adakah sekadar cukup dengan mendirikan solat sahaja tanpa mengambil kira perkara yang harus menjadi perhatian untuk solat itu diterima di sisi Allah SWT?

Apakah di antara perkara yang ditekankan di dalam Islam di dalam mendisiplinkan diri untuk bersolat dan kebaikan yang boleh didapati daripada bersolat itu?

Bagaimana pula manfaat yang diperolehi apabila bersembahyang secara berjemaah ataupun berseorangan?

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar.

Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali ia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa.

Dan bila ia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama ia berada di tempat solat selagi ia tidak berhadas (doanya iaitu): Ya Allah, ampunilah ia, ya Allah, kasihanilah ia, Dan (para malaikat sentiasa mendoakannya) selama ia menanti solat. (riwayat Muslim no. 649)

Jelaslah dengan sabda Rasulullah SAW di atas akan kelebihan solat berjemaah berbanding solat bersendirian. Di dalam satu riwayat yang lain daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya solat berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian. (riwayat Muslim no. 1509)

Menyorot sirah Rasulullah SAW, selama 13 tahun baginda di Mekah, solat berjemaah tidak dapat dilaksanakan dengan aman akibat tekanan daripada pihak Quraisy.

Namun, apabila penghijrahan baginda ke Madinah, barulah baginda SAW mendirikan solat jemaah secara terang-terangan dan Baginda melakukannya sehingga ke akhir hayat.

Namun, kebelakangan ini, solat berjemaah seolah-olah terpinggir dan umat Islam kebanyakan yang tidak mengerti kelebihan solat berjemaah ini lebih selesa melakukan solat secara bersendirian.

Terdapat hukum yang menggariskan solat berjemaah itu fardu kifayah selain daripada solat Jumaat yang hukumnya fardu ain bagi setiap lelaki yang mukalaf.

Oleh itu, kefarduan tersebut tidak terlepas daripada penduduk sebuah kampung, kariah atau pekan, melainkan ada penduduk yang mendirikannya dengan jelas.

Sekiranya ia tidak didirikan atau didirikan dalam keadaan bersembunyi, makan seluruh penduduk kampung tersebut berdosa dan pemerintah wajib memerangi mereka. (rujuk kitabFiqh Mazhab Syafi'i bertajuk Menghuraikan Bab Bersuci dan Solat).

Melihat kepada pentingnya solat berjemaah, banyak buku yang diterbitkan bertujuan memberi kesedaran dan pentingnya solat berjemaah dalam kehidupan seharian umat Islam.

Perbagai kategori telah diklasifikasikan dalam menentukan hukum-hakam solat berjemaah yang bertujuan memberi ilmu pengetahuan dan manfaat kepada umat Islam.

Salah sebuah buku yang menerangkan kepada pentingnya solat berjemaah itu adalah daripada Mohamad Subki Abdul Rahman al- Hafiz yang bertajuk Solat Berjemaah, Asas Kekuatan Peribadi, Masyarakat dan Ummah melalui kata pengantar daripada Tuan Guru Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Buku ini menerangkan solat-solat yang menjadi keutamaan dalam amalan seharian umat Islam.

Turut diterangkan di dalam bab-bab berkaitan antara punca mengapa solat berjemaah itu kurang diamalkan, kaitannya dengan isu semasa, sosial dan sejarah, kelebihan solat berjemaah, ganjaran mendirikan solat berjemaah, kisah kesungguhan Rasulullah SAW dalam mendirikan solat berjemaah, keperihatinan salafussoleh dengan solat berjemaah dan hukum hakam dalam solat berjemaah mengikut pandangan ulama.

Telaga Biru mengambil inisiatif menerbitkan buku ini melalui bimbingan ulama dan mengharapkan agar umat Islam prihatin dan mendapat ilmu secukupnya dalam menyedari pentingnya mendirikan solat berjemaah.

Sumber: Utusan

4 comments:

sud@is berkata...

mulakan dirumah kadang2 ada susah dan payah juga

ch000tz berkata...

dah cuba tak tahu and mmg nampak susahkann :)

r-5 berkata...

Insya'Allah dalam proses untuk memperbaiki diri.. :)

Unknown berkata...

semoga iman dan taqwa akan bertambah..amin