Nuff Atas

01 Disember 2011

Debaran Bakal Ibu


Hadapi tempoh hamil dengan perasaan tenang, positif

MENANTIKAN kelahiran cahaya mata adalah pengalaman pengalaman mendebarkan dan sering kali minda diburu pelbagai persoalan mengenai rupa paras dari segi fizikal dan mental bayi berkenaan.

Perasaan takut, teruja, bimbang dan was-was antara yang tidak boleh diketepikan, malah dialami kebanyakan bakal ibu yang melalui detik pertama melahirkan bayi. Perasaan seumpama itu seharusnya jangan dibiarkan terus membelenggu ibu hamil kerana ia bukan saja boleh menjejaskan kesihatan diri tetapi juga bayi yang dikandung.

Jika ingin tempoh kehamilan dan bersalin lancar, ibu hamil mesti hadapi tempoh itu dengan perasaan tenang serta berfikir positif. Paling penting patuhi nasihat doktor dan dapatkan sokongan pasangan atau ahli keluarga lain bagi meredakan perasaan cemas atau khuatir yang melanda diri.

Selain itu, ada beberapa hal atau persiapan penting yang perlu diberikan perhatian, sekali gus dapat membantu tempoh kehamilan dan saat bersalin berjalan lancar serta selamat. Antaranya ialah:



Jaga pemakanan

Mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat penting untuk ibu dan bayi. Perlu ingat sewaktu hamil, tidak bermakna anda perlu makan untuk dua orang kerana keperluan tenaganya tidak akan berganda hanya hamil tetapi yang penting cara pemakanan yang betul.

Makanlah makanan yang tinggi karbohidrat seperti nasi, kentang atau roti bagi memastikan kesihatan sihat sepanjang kehamilan. Kurangkan makanan yang rendah serat seperti snek, makanan daripada tepung atau kanji kerana ia boleh mengakibatkan kesulitan bersalin.

Ibu hamil juga memerlukan pengambilan kebanyakan vitamin dan mineral secukupnya seperti kalsium, folate, zat besi dan zink serta ambil lebih buah-buahan dan produk tenusu.

Pertambahan berat badan semasa hamil purata ialah antara 11.5 hingga 16 kilogram (kg) iaitu berat badan biasanya akan bertambah sebanyak 0.5 kg setiap minggu sepanjang tempoh kehamilan.

Hindari pakaian terlalu ketat

Elakkan memakai pakaian ketat terutama fabrik daripada jenis jeans. Memakai baju yang terlalu ketat tidak sesuai ketika hamil terutama apabila kandungan semakin sarat kerana ia akan menekan perut dan tekanan itu akan membuatkan anda tidak selesa. Pastikan juga memakai pakaian dalam khas untuk menyokong perut yang semakin membesar.

Fabrik yang sesuai untuk wanita hamil antaranya ialah kapas, viscose, lycra, polister, campuran polister dan sifon. Jenis pakaian disediakan juga mudah dijaga dan kebanyakannya tidak perlu digosok. Apa yang penting adalah mengamalkan memakai pakaian yang longgar dan bersesuaian dengan bentuk badan serta utamakan keselesaan anda dan kandungan.

Bagaimanapun, jika teringin memakai pakaian ketat, anda boleh memilih fabrik jenis memeri, sekali gus memberi keselesaan kepada ibu hamil.

Saiz tapak kaki juga bertambah satu atau dua lebih besar daripada normal. Jadi, anda perlu membeli kasut bertumit rendah dan tali kancing yang boleh dilonggarkan. Jika tidak, anda terpaksa membeli kasut besar hanya untuk dua atau tiga bulan terakhir kandungan.

Perkara yang perlu dielakkan dan diawasi

Jangan ambil sebarang ubat tanpa nasihat atau preskripsi doktor kerana ia mungkin boleh memudaratkan kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan. Jika merokok, buang serta merta tabiat buruk itu dan jangan ambil alkohol. Nikotin dan alkohol boleh menjejaskan peredaran darah dan mungkin akan menyebabkan kecacatan dan fizikal bayi yang bakal lahir.

Elakkan aktiviti berat atau melakukan senaman yang tidak sesuai ketika hamil terutama membabitkan pergerakan pantas dan mengejut, lebih-lebih lagi pada peringkat akhir kehamilan.

Jangan biarkan terdedah kepada penyakit rubella atau radiasi (sinar X). Makanan pedas dan berempah juga perlu dielakkan kerana dikhuatiri akan menyebabkan sakit perut.

Tentukan tempat bersalin

Salah satu keputusan penting yang perlu anda dan pasangan bincangkan ialah menentukan hospital atau tempat bersalin. Kini ada hospital kerajaan dan swasta, pilih dan tentukan mana satu yang menjadi pilihan. Sebaik-baiknya, bincang bersama dan luangkan masa untuk melawat hospital dan melihat kemudahan di sediakan di hospital berkenaan. Kumpulkan maklumat sepatutnya sebelum membuat keputusan.

Sediakan persediaan bersalin

Jika kehamilan sudah memasuki lapan bulan, sebaik-baiknya kemaskan beg pakaian sebagai persediaan untuk ke hospital. Anda mungkin tidak sempat menyediakannya sebaik saja sakit untuk bersalin sudah bermula.

Antara barang yang perlu dimuatkan dalam beg berkenaan ialah baju longgar, tuala wanita, stokin, kain batik atau seluar longgar, selipar, kelengkapan mandian, seluar dalam, kelengkapan dandanan diri seperti sikat dan getah rambut jika rambut panjang dan sebagainya.

Pastikan juga anda menyimpan kemas dokumen penting yang perlu dibawa ketika mendaftar di hospital seperti rekod kesihatan, kad insurans, surat jaminan majikan dan lain-lain lagi.

Kenali tanda waktu bersalin semakin hampir

Ibu hamil lazimnya, dapat mengesan tempoh bersalin semakin tiba harinya apabila dapat berasakan frekuensi atau kekerapan kontraksi yang berlaku pada dirinya. Waktu bersalin semakin hampir apabila kontraksi semakin sering terjadi iaitu setiap lima minit sekali dan disertai perut terasa ngilu, kaku dan tegang, juga memulas seperti ingin buang air besar.

Perhatikan juga jika ada keluar cairan dikenali sebagai air ketuban yang lazimnya tidak berbau, tidak berwarna seperti air beras. Jika cairan ketuban keluar semakin banyak sebaik-baiknya, hindari berjalan supaya jumlah cairan yang keluar tidak bertambah banyak tetapi jika belum pecah ketuban, amat digalakkan berjalan.

Susunan Nor Affizar Ibrahim
Sumber: BHarian

2 comments:

c'axoera berkata...

berangan lagi heheh lom tiba masa lagi >_<

EmpayarUtama berkata...

makcik jiran sebelah pesan jangan lupa buat buku merah dulu, itu paling penting