03 Disember 2011

Yuna Pemuzik Bertudung

Bersama artikel ini, saya sertakan 2 klip video persembahan 'life' Yuna yang saya ambil daripada Youtube. Dua lagu ini saya kira sangat istimewa, bagaimana Yuna memberikan nafas baru terhadap lagu-lagu lama.


BERTUDUNG tidak menghalang Yuna untuk mencuba pelbagai jenis fesyen.

PENYANYI berusia 25 tahun ini merupakan karyawan pemuzik pelapis yang boleh dijadikan ikutan para peminat dan artis lain. Ini kerana, selain mengetengahkan bakat seninya, Yuna juga tampil dengan imej bertudung.

Pemilik nama sebenar Yunalis Zarai ini popular dengan lagunya seperti Dan Sebenarnya danPenakut. Pada masa sama, dia juga mempopularkan imej bertudung di kalangan pemuzik wanita di negara ini.

Justeru, kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini, dia tiada masalah menyanyi sambil bermain gitar biarpun tampil dengan imej bertudung.


"Sewaktu di awal pembabitan saya sebagai penyanyi ada orang yang mencadangkan kepada saya supaya buka tudung. Orang itu kata, kalau mahu jadi artis mesti kena buka tudung, tetapi saya tolak cadangan itu.

Yuna - Bulan Ditutup Awan


"Setakat ini saya tiada masalah untuk bertudung sambil bermain muzik. Apatah lagi, saya mula memakai tudung pada usia 18 tahun iaitu sebelum menjadi artis. Sejak saat itu, saya sudah biasa memakai tudung," ujarnya.

Malah, Yuna yang mula menghasilkan album EP pada 2008 melalui syarikat rakaman Yuna Room Records berkata, para peminatnya tiada masalah menerima serta menghayati lagu-lagu yang dinyanyikannya itu.

Sebaliknya, ramai peminat penyanyi tinggi lampai ini yang meniru fesyen bertudung yang digayakannya. Lantas tidak hairanlah daripada situ timbul istilah 'tudung Yuna' yang menjadi ikutan ramai terutamanya golongan remaja.

"Suatu ketika dulu, selebriti dan pelakon Wardina pernah mencetuskan trend fesyen 'tudung Wardina' di mana saya yang ketika itu belum menjadi penyanyi, turut terikut-ikut dengannya. Sekarang ini saya sendiri merasai pengalaman itu apabila tudung yang saya pakai pula menjadi ikutan ramai peminat remaja.

Yuna - Gelora Jiwa


"Bagaimanapun, saya tidak terkecuali meminta pandangan orang lain tentang tudung yang saya pakai ini. Saya misalnya, pernah merujuk dan meminta pendapat daripada Wardina.

"Begitu juga dengan penyanyi nasyid, Bienda yang banyak memberi nasihat dan perangsang kepada saya dalam bab bertudung. Pada masa sama, ibu saya juga antara orang yang kuat memantau tudung yang saya pakai," tuturnya.

Pemenang Anugerah Kembara pada Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) baru-baru ini menambah, lirik-lirik lagunya yang ke arah nilai-nilai positif seperti tentang kehidupan sosial seharian cukup selari dengan imej yang diperagakannya itu.

Jelas Yuna yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya, imej bertudung juga tidak asing dalam dunia muzik kerana semakin ramai pelajar jurusan muzik terutamanya di institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

"Di Fakulti Muzik, UiTM Shah Alam saya lihat ramai mahasiswinya yang bertudung. Mereka juga tiada masalah untuk bermain alat-alat muzik seperti gitar semata-mata kerana bertudung," komennya.

Didikan agama daripada ibu bapanya sejak kecil banyak mempengaruhi penyanyi ini. Dia berharap agar trend bertudungnya itu akan menjadi ikutan dalam masyarakat.

Yuna yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah juga tidak menafikan imej pemuzik bertudung sepertinya bukan sekadar memberi imej positif kepada para peminat, malah semakin ramai penyanyi muda yang tampil bertudung dalam persada muzik tempatan sejak akhir-akhir ini.

"Najwa Latif antara penyanyi baru yang tampil dengan imej bertudung. Selain penyanyi dan pemuzik, ramai juga pelakon seperti Irma Hasmie dan Diana Amir yang tampil bertudung. Ini menunjukkan bertudung tidak membataskan apa juga kerjaya yang kita ceburi.

"Cuma apabila bertudung saya memikul beban yang agak berat bagi memberi gambaran imej dan contoh teladan kepada para peminat saya. Walaupun bertudung, saya belum boleh menjadi ikon dalam masyarakat.

"Sebabnya, saya juga manusia biasa yang sentiasa melakukan transformasi dalam hidup termasuklah dalam hal yang berkaitan imej bertudung. Bagi saya, dalam hal menutup aurat pada masa sama kita juga boleh berfesyen.

"Saya sendiri selalu melayari Internet bagi melihat fesyen-fesyen tudung yang terbaru berada di pasaran. Banyak fesyen yang saya lihat itu diperagakan oleh wanita-wanita Arab di negara-negara Asia Barat dan Timur Tengah," katanya lagi.

Sumber: Utusan

3 comments:

Cikgu Ma berkata...

lagi cerita yuna..=)
bertudung tu manis dah, tapi ada menyerupai pakaian ****
kena hati2..

jemput baca (",)
hadiah untuk sahabat - mata yang indah

ch000tz berkata...

jangan hanya pakai utk jadikan trend udah hehehe

PYB berkata...

yg penting bukan bertudung tp tutup aurat.. ketrampilan juga, apa guna tutup aurat jika masih tergedik2.. lirik lagu & jenis lagu semuanya perlu d jaga supaya tak melampaui batas

tp Yuna, anda masih dlm situasi unik & terkawal.. semoga anda terus kekal d posisi ini