03 Februari 2012
14 Sekolah Terima Pengiktirafan SBT Kohort Ketiga
Muhyiddin Yassin menyampaikan watikah pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada majlis pengiktirafan SBT Kohort 3 di Putrajaya.
Lima sekolah dari Johor, tiga dari Kedah, dua dari Terengganu, dua dari Pulau Pinang, serta masing-masing satu dari Pahang dan Negeri Sembilan, berada dalam kohort ketiga yang mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) hari ini (3 Februari, 2012), menjadikan jumlahnya kini 66 sekolah.
Semua pengetua dan guru besar 14 sekolah berkenaan tampil menerima watikah pengiktirafan dan peruntukan dana khas di Auditorium Parcel E di Putrajaya, yang disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata SBT bukan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan sekolah semata-mata, tapi yang lebih penting ialah memastikan kecemerlangan itu dapat memberi impak positif kepada pencapaian pelajar.
"Menerusi usaha-usaha terkini kerajaan, saya jangka selepas fasa penilaian semula, dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang akan dipikul warga SBT akan menjadi lebih mencabar lagi," katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau berkata SBT dilaksanakan dalam usaha mengangkat kualiti sekolah yang terbaik dengan cara meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan menerusi peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, di samping membenarkan ia melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing.
Kata beliau program itu juga bermatlamat untuk menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang dengan menjadikan SBT sebagai tempat melatih murid cemerlang bertaraf antarabangsa di samping menjadi personaliti unggul dalam semua bidang.
Sepuluh sekolah rendah yang menerima pengiktirafan SBT hari ini ialah:
1. SK(P) Sultan Ibrahim, Johor Baharu;
2. SK Infant Jesus Convent, Johor Baharu;
3. SK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah;
4. SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu;
5. SK Tengku Mahmud, Besut, Terengganu;
6. SK Assunta Convent, Kuantan, Pahang;
7. SK Minden Height, Pulau Pinang;
8. SJKC Kwang Hwa, Pulau Pinang;
9. SJKC Keat Hwa (H) Alor Setar, Kedah;
10. SJKC Foon Yew 2 Johor Baharu, Johor;
Dan empat sekolah menengah yang menerima pengiktirafan SBT hari ini ialah:
1. SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah;
2. SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan;
3. SM Sains Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor;
4. SM Sains Johor, Kluang, Johor.
Muhyiddin berkata 14 sekolah itu menunjukkan pencapaian yang cukup hebat dengan ada antara pelajarnya menjadi juara dalam pelbagai pertandingan peringkat antarabangsa, dan mengharumkan nama negara.
"Ini termasuk kejayaan menyandang gelaran johan dalam pertandingan menulis esei bahasa Jerman anjuran Goethe Institute Jerman dan menjadi johan Piala Barclay Ragbi di Singapura," katanya.
Selain itu katanya, sebuah SBT pula mendapat anugerah emas pada Asian Youth Inventors Exhibition, manakala sebuah lagi mendapat tempat pertama dalam pertandingan menulis esei dalam bahasa Cina negara-negara Asia Tenggara.
Muhyiddin turut berharap agar semua SBT akan terus berusaha untuk melonjak dan melestarikan kecemerlangan modal insan bagi memenuhi hasrat kerajaan dalam merealisasikan model baru ekonomi, demi mendukung gagasan "1Malaysia; Rakyat Didahulukan, pencapaian diutamakan".
Sumber: BERNAMA
Sebelum ini, 20 sekolah diumumkan sebagai SBT bagi Kohort 1/2010 manakala 23 sekolah lagi disenaraikan dalam Kohort 2/2011 disusuli sembilan lagi sekolah yang diumumkan sebagai tambahan kepada senarai SBT Kohort 2/2011.
Setiap sekolah terbabit masing-masing menerima peruntukan RM700,000 sebagai insentif menambah baik kecemerlangan pada masa depan.
Muhyiddin berkata pengiktirafan SBT, yang juga sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran, bertujuan meningkatkan pencapaian pelajar secara keseluruhan dengan meningkatkan akses kepada pendidikan bermutu.
Sumber: BHarian
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan