09 Februari 2012
Goncang Bayi Boleh Bawa Maut
KECENDERUNGAN ibu bapa menggoncang bayi sama ada untuk meredakan tangisan ataupun hanya untuk bermain sebenarnya boleh membawa maut. Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan komplikasi serius khususnya pada otak.
Tabiat ibu bapa atau pengasuh yang gemar menggoncang bayi mereka dikenali sebagai Sindrom Goncang Bayi (Shaken Baby Sindrom (SBS). Ia merujuk kepada kecederaan otak yang dialami ekoran goncangan kuat yang diterima mangsa.
Tahukah anda sindrom ini juga dianggap sebagai salah satu bentuk penderaan kanak-kanak?
Menurut Pakar Bedah Otak, Hospital Pantai Klang, Dr. Gunasegaran Thangaveloo, statistik menunjukkan satu per empat atau 25 peratus kanak-kanak yang digoncang dengan kuat dan mengalami kecederaan kepada yang major akan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Tambah beliau, baki daripada angka tersebut akan mengalami kecederaan otak ataupun kecederaan berterusan untuk jangka masa yang panjang seperti kurang pintar, perubahan tingkah laku, masalah pembelajaran, kecacatan akal dan banyak lagi.
"Lazimnya, situasi ini terjadi apabila bayi digoncang dengan kuat, menyebabkan berlakunya pergerakan kepala yang kuat ke depan atau ke belakang tanpa kawalan dan memusingkan pergerakan kepala.
Elakkan perilaku seperti ini terhadap bayi.
"Keadaan ini akan menyebabkan tisu otak, salur darah dan saraf pada otak terkoyak. Pergerakan yang kuat ini juga akan mengakibatkan otak terhentak pada tempurung kepala di dalam sekali gus menyebabkan tisu otak berdarah dan membengkak," ulasnya.
Dr. Gunasegaran berkata, berdasarkan kajian, SBS ini biasanya terjadi pada kanak-kanak yang berusia lima tahun ke bawah dan ia juga paling kerap dialami oleh bayi yang berusia setahun ke bawah. Begitupun, sindrom ini juga boleh berlaku kepada kanak-kanak yang berusia lima tahun.
Dikatakan bayi berusia setahun ke bawah lebih mudah mengalami kecederaan di otak apabila mereka digoncang kuat kerana kepala mereka lebih besar dan berat daripada tubuh. Ini disebabkan kepala bayi hanya disokong oleh otot-otot tengkuk yang tidak kuat untuk menyokong kepalanya selain saluran darah yang masih lembut di dalam otak.
Ujar Dr. Gunasegaran lagi, kebanyakan kes yang berkaitan dengan sindrom tersebut selalunya berlaku kepada bayi lelaki dan pelakunya pula adalah lelaki muda yang berusia awal 20-an. Turut menyatakan tidak mengetahui mengapa senario tersebut berlaku, beliau turut mendedahkan lazimnya bayi atau mangsa digoncang dengan perasaan marah.
Disebabkan itu juga, kadang kala bayi bukan sahaja mengalami SBS mereka juga berkemungkinan besar akan mengalami patah tulang rusuk. Caranya, goncangan yang kuat dilakukan dengan mencengkam kuat pada bahagian tulang rusuk mangsa.
Bagaimanapun, kecederaan ringan akan menyebabkan tanda-tanda SBS kurang ketara apatah lagi kebanyakan kes kanak-kanak yang mengalami kecederaan pada otak ini secara fizikalnya tidak memperlihatkan kesan yang berbahaya pada bahagian luar tubuh mereka.
Cuma, kanak-kanak tersebut mungkin muntah, terlalu sensitif, merungut, cerewet, lembap dan tidak lalu makan.
Namun, kecederaan yang serius akan menyebabkan sawan, denyutan jantung yang perlahan, menghadapi masalah pendengaran atau pendarahan dalaman di dalam mata bayi tersebut.
"Untuk pengetahuan semua, mangsa yang mengalami sindrom ini tidak boleh dipastikan 100 peratus kesahihannya kerana ia tidak mempunyai tanda yang khusus.
"Sekiranya ada kes-kes seperti ini, kami hanya mengesyaki dahulu sebelum pemeriksaan selanjutnya dilakukan," katanya lanjut.
Sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya jangan sesekali menggoncang anak-anak kerana ia boleh membahayakan kesihatan anak-anak. Ini kerana goncangan yang kuat meskipun hanya berlaku sekali boleh menyebabkan kerosakan otak teruk.
Mungkin bayi anda hanya menunjukkan tanda-tanda ringan pada awalnya, tetapi perlu diingat apa juga kecederaan kepala yang dialami oleh kanak-kanak boleh mendatangkan kesan bahaya kepada mereka.
Sebab itu, penting bagi ibu bapa atau penjaga mendapatkan bantuan sekiranya ada sesuatu yang tidak kena pada bayi mereka. Justeru, bagi membantu mengatasi masalah itu, ibu bapa atau pengasuh perlu mempelajari cara untuk mengurangkan tekanan dan kemarahan.
Namun, bergurau atau bermain dengan anak seperti mengenjut anak menggunakan lutut mahupun menimang dengan lembut termasuk menidurkan anak di dalam buai, tidak akan menyebabkan berlakunya Sindrom Goncang Bayi ini.
Oleh mariatul qatiah zakaria
Sumber: Utusan
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
4 comments:
subahanallah..menakutkan jea baca entry nie..
salam;
ya ke?...dulu selalu juga timang anak dgn lambung ke atas!!.,
memang dah tau dri dulu..kalau dlm keta pon jgn letak anak(baby) tidur atas sit belakang...masa keta bergerak..itu pun x elok...
dgr citer dok dlam buai pon bahaye..sbb kepale baby masih lembut..hmm
Catat Ulasan