Nuff Atas

19 Februari 2012

Sejarah Pembukaan Kuala Lumpur


MASJID Jamek dan pertemuan dua sungai yang menyumbang kepada sejarah pembukaan Kuala Lumpur.

SEBELUM kedatangan Yap Ah Loy, pinggiran muara Sungai Gombak dan Sungai Klang telah didiami orang Mandailing, Rawa, Minangkabau, Bugis dan Jawa.

Kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang yang pada awalnya hanya digunakan untuk pertanian sara diri dan laluan pengangkutan, akhirnya berubah wajah apabila aktiviti perlombongan bijih timah mula dijalankan sekitar tahun 1850-an.

Penemuan itu secara tidak langsung membawa lebih ramai kemasukan orang Cina dan pedagang-pedagang sehingga Kuala Lumpur kemudian menjadi ibu negeri Selangor.


Atas nama pembangunan juga, orang Melayu yang merupakan penduduk asal di sekitar muara Sungai Gombak dan Sungai Klang hampir pupus.

Tidak mahu ia terjadi, pentadbiran Inggeris telah menubuhkan Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) di utara Kuala Lumpur.

Tujuh buah kampung iaitu Kampung Masjid, Kampung Periuk, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Pindah, Kampung Paya dan Kampung Hujung Pasir telah disatukan membentuk kawasan penempatan orang Melayu yang dikenali sebagai Kampung Baru.

Hari ini, setelah kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang berkembang pesat, jasa orang Melayu yang terlebih dahulu membangunkan Kuala Lumpur semakin dilupakan.

KL dan Legasi Sutan Puasa

NAMA Sutan Puasa mungkin tidak banyak ditulis dalam catatan sejarah. Namun beliau sebenarnya antara individu yang terlibat dalam membawa kemajuan Kuala Lumpur pada abad ke-19.

Menurut generasi kelima Sutan Puasa, Norhayati Salleh, 48, tidak banyak yang diketahui tentang moyangnya itu disebabkan pantang larang yang dipegang orang Mandailing pada masa tersebut.

"Orang Mandailing pada zaman dulu-dulu ada kepercayaan bahawa gambar mereka tidak boleh dirakamkan oleh sesiapa pun.

"Mungkin kerana itu juga, tidak ramai yang mengetahui tentang sumbangan moyang (Sutan Puasa) kepada perkembangan ekonomi Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mengakui Sutan Puasa antara penyumbang kepesatan ekonomi di kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang itu.

"Ramai yang tidak mengetahui tentang peranan Sutan Puasa dalam membuka Kuala Lumpur kerana tidak banyak cerita mengenai beliau diketahui umum.

"Dahulu orang Melayu tidak suka menyimpan rekod dan ia juga antara faktor menyebabkan pedagang dari Sumatera, Indonesia itu kedengaran asing dalam sejarah Kuala Lumpur," katanya.

Cerita Kay Kim, sebelum aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di Kuala Lumpur, orang-orang Mandailing telah membina penempatan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Pada masa sama, katanya, aktiviti pertanian dan perdagangan turut dijalankan di sekitar kawasan penempatan tersebut.

"Pentadbiran secara tidak langsung yang diamalkan oleh raja dan pembesar pada masa tersebut telah meluaskan pengaruh Sutan Puasa di kalangan orang Mandailing.

"Sebagai ketua, beliau bertanggungjawab mentadbir dan memastikan tiada kekacauan yang timbul di kalangan orang Mandailing serta akur kepada perintah raja," katanya.

Kata Kay Kim, ketua orang Mandailing itu sendiri telah menjemput Hiu Siew dan rakannya Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengembangkan perniagaan.

Hiu Siew kemudiannya menjadi Kapitan Cina Kuala Lumpur pertama dengan sokongan Sutan Puasa yang merupakan orang kaya Mandailing pada ketika itu.

Malah, pelantikan Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina Kuala Lumpur ketiga turut mendapat sokongan daripada Sutan Puasa walaupun ada di kalangan orang Cina menentang pelantikan itu.

Mengikut catatan Mandailing, di akhir hayat Sutan Puasa telah menetap di Kampung Rawa (Jalan Melayu sekarang) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Rumah Warisan Sutan Puasa



KALAU Hang Tuah pernah berpesan tidak akan Melayu hilang di dunia, maka rumah ini juga tidak akan hilang di Kuala Lumpur.”

Itulah ungkapan anak pemilik rumah yang beralamat di No. 41, Jalan Chow Kit, Batiah Jaafar kira-kira 25 tahun yang lalu.

Siapa sangka rumah kayu tradisional Melayu yang terletak di antara deretan bangunan komersial di celah-celah kesibukan Jalan Chow Kit itu sebenarnya adalah kediaman warisan keturunan Sutan Puasa yang masih ada hingga ke hari ini.

Menurut Norhayati Salleh, 48, rumah itu didirikan oleh moyangnya, Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar yang juga anak saudara Sutan Puasa pada tahun 1926.

Cerita Norhayati lagi, dahulunya kawasan tersebut sama seperti perkampungan Melayu lain. Jalan di depan rumah juga cuma laluan tanah berkerikil.

Rumah-rumah pula dibina sebelah-menyebelah. Biasanya setiap penghuni rumah-rumah itu mempunyai pertalian keluarga.

Katanya, di kawasan tersebut juga mempunyai sebuah sekolah Inggeris, Penuel High School selain padang.

“Boleh dikatakan kebanyakan rumah yang ada di sekitar kawasan ini dahulunya dimiliki oleh moyang saya iaitu Jaafar Sutan Sinombar.

“Sejak kawasan di sekitar Jalan Chow Kit dimajukan sekitar tahun 1940-an, satu persatu tanah di kejiranan tersebut dijual kepada pemaju Cina,” katanya.

Kata Norhayati lagi, kini rumah No. 41 itu menjadi satu-satunya rumah tradisional Melayu yang masih kekal sejak tahun 1920-an hingga sekarang di Jalan Chow Kit.

Lebih unik, katanya, rumah tersebut masih mengekalkan ciri-ciri binaan asal sejak 86 tahun lalu dengan kelengkapan dan barangan usang seperti papan congkak, almari kayu serta batu giling rempah yang diwarisi turun-temurun.

Pun begitu, Norhayati tidak pasti sampai bila rumah peninggalan moyangnya itu akan mampu melawan arus kemodenan Kuala Lumpur.

“Apabila nenek saudara (Batiah) meninggal dunia dan ibu saya (Normah Majawali) juga semakin uzur, rumah ini tidak diduduki sesiapa.

“Sejak itu, saya mendengar ura-ura bahawa rumah ini mahu dijual oleh waris-waris keluarga yang lain,” katanya.

Sebelum ini, kata Norhayati, nenek saudaranya (Batiah) yang berkeras tidak mahu menjual rumah tersebut kerana telah tinggal di situ sejak berusia enam tahun hingga ke akhir hayatnya.

Malah mengikut cerita generasi terdahulu, katanya, rumah No. 41 itu telah dikhaskan untuk anak-anak perempuan Jaafar Sutan Sinombar.

Namun kini, tanah rumah tersebut perlu dibahagikan dengan waris-waris yang lain mengikut hukum faraid.

“Sayang memanglah sayang, lagi-lagi saya dibesarkan di sini. Tapi nak buat macam mana, saya tidak mampu membeli rumah ini,” katanya.

Aktiviti Melombong Rancakkan Ekonomi



"KALAU awal-awal lagi Sungai Lumpur dipanggil Sungai Gombak, mungkin nama ibu negara Malaysia ialah Kuala Gombak dan bukannya Kuala Lumpur.

"Terdapat bukti yang menunjukkan sungai yang mengalir dan bertemu dengan Sungai Klang pada 1872 telah dipanggil Sungai Lumpur. Namun, tidak dapat dibuktikan siapa yang memberi nama tempat-tempat di sekitar Selangor."

Itu jawapan Pakar Sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menceritakan tentang titik permulaan ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Dalam Bahasa Melayu, katanya, telah menerangkan Kuala Lumpur bermaksud kawasan muara Sungai Lumpur.

"Tidak tahu mengapa dan bila, sekitar 1875 nama Sungai Lumpur telah bertukar kepada Sungai Gombak," katanya.

Cerita Kay Kim, sejarah moden Kuala Lumpur bermula pada pertengahan abad ke-19 apabila Raja Abdullah dilantik sultan sebagai ketua kawasan Klang yang ketika itu merupakan sebuah negeri.

Pada masa itu, katanya, tiada kereta api mahupun jalan berbatu.

Maka sungai memainkan peranan penting kepada masyarakat setempat untuk menguruskan kehidupan seharian.

Di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang pada ketika itu sudah terdapat penempatan orang Mandailing yang berasal dari Sumatera, Indonesia.

"Kampung Rawa dan Jawa juga adalah antara perkampungan terawal di sekitar sungai tersebut.



"Kawasan di sekitar Masjid India dahulunya adalah perkampungan Rawa. Manakala di sekitar Jalan Tun Perak di pertengahan tahun 1850-an adalah perkampungan Jawa," katanya.

Cerita Kay Kim, aktiviti perlombongan di Sungai Gombak dan Klang mula berkembang apabila ketua orang Mandailing iaitu Sutan Puasa menjemput Hiu Siew dan rakannya Ah Sze Keledek dari Sungai Ujung berhijrah ke Kuala Lumpur.

"Biarpun bukan orang Cina yang memulakan aktiviti perlombongan, namun semenjak kedatangan mereka, baru ia berkembang pesat.

"Aktiviti perlombongan tersebut telah merancakkan perdagangan di Kuala Lumpur dan secara tidak langsung telah menarik lebih ramai orang Cina untuk berhijrah ke sana.

"Seorang kapitan telah dilantik bagi mengetuai orang Cina yang berada di Kuala Lumpur," katanya.

Apabila Kuala Lumpur musnah dijilat api pada 1880, tambah Kay Kim, Yap Ah Loy yang merupakan kapitan Cina ketiga pada masa itu telah dipertanggungjawabkan membangunkan semula ibu negeri Selangor itu.

Perpindahan Orang Melayu ke Kampung Baru


KUBUR Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Ampang.

"SEBELUM bercerita tentang Tanah Perkuburan Islam Ampang, terlebih dahulu kenalah tahu tentang sejarah pembukaan Kampung Baru ini."

Itu kata-kata yang diucapkan Setiausaha Kehormat Lembaga Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS), Shamsuri Suradi apabila ditanyakan tentang Tanah Perkuburan Islam pertama di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sejarah Kampung Baru bermula apabila aktiviti perlombongan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang semakin pesat dijalankan.

Sehubungan itu, katanya, orang Melayu yang kebanyakannya menghuni di pinggir sungai tersebut telah dipindahkan ke kawasan penempatan baru yang kini dikenali sebagai Kampung Baru.

"Ketika berlakunya revolusi perindustrian, bijih timah dari Tanah Melayu mendapat permintaan yang tinggi di negara barat kerana ia berkualiti tinggi.

"Orang Melayu masih meneruskan pekerjaan asal mereka iaitu bercucuk tanam dan hanya menjalankan aktiviti perlombongan pada masa lapang.

"Bagi meningkatkan pengeluaran bijih timah, Gabenor Inggeris telah memindahkan orang Melayu yang tinggal di muara Sungai Gombak dan Sungai Klang ke kawasan pertanian baru di utara Kuala Lumpur," katanya.

Cerita Shamsuri, pentadbiran British ketika itu menegaskan bahawa penempatan di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan.

Pada masa sama katanya, ia juga membuka peluang kepada orang Melayu mengambil bahagian dalam pentadbiran dan membolehkan penduduk menikmati pembangunan Kuala Lumpur.

"Kuala Lumpur utara yang sepatutnya menjadi tanah pertanian dan sawah padi terpaksa dijadikan kawasan penempatan berikutan kawasan tersebut kerap dilanda banjir.

"MAS kemudiannya memberi peluang kepada orang Melayu Melaka, Rawa, Minangkabau, Bugis, Mandailing dan Jawa memilih satu lot yang tidak lebih 0.2 hektar untuk dijadikan kawasan penempatan," katanya.

Jelas Shamsuri, sebuah fail mengenainya dibuka dan semua rekod itu disimpan oleh lembaga itu sehinggalah sekarang.

Katanya, kawasan tersebut diwartakan pada 1900 dan satu-satunya kampung di Tanah Melayu yang mempunyai perundangan tersendiri yang diselia oleh MAS.

"Sesiapa yang hendak tinggal di Kampung Baru pada masa dahulu akan direkodkan dalam buku lama ini. Malah apa sahaja yang mahu dilakukan di atas tanah tersebut mestilah dimaklumkan terlebih dahulu kepada MAS.

"Buku itu pula ibaratnya untuk 'check out', sebab itu Tanah Perkuburan Islam Ampang dulunya di bawah penjagaan MAS," katanya sambil menunjukkan buku rekod pendaftaran keluar (meninggal dunia) yang sudah berusia lebih 100 tahun.

Bercerita mengenai sejarah tanah perkuburan tersebut, Shamsuri berkata, ia dikenal pasti wujud sejak tahun 1860-an.

"Dahulunya, kawasan perkuburan ini dipanggil 'Burial Ground Ampang'. Asalkan Islam sahaja, mereka akan dikebumikan di situ.

"Tak kisahlah namanya Mohammad Tan atau Sanjay Abdullah. Sebab itu, ada pelbagai bentuk kubur lama yang boleh dilihat di situ," katanya.

Sumber: Utusan Artikel 1Utusan Artikel 2Utusan Artikel 3Utusan Artikel 4 dan Utusan Artikel 5.

5 comments:

TiraPengemis berkata...

huhu...sejarah nie...

YaYaNsMuM berkata...

Patutlah rumah tu nmpk mcm design dolu2...tak tahu la pulak...huhu...thanks for sharing...

khairul berkata...

dh byk beza

Nurul Aisyah berkata...

rajin betul cari maklumat ni...heheh

C i k P i p i T e m b a m berkata...

ouhhhh baru tauu..