15 Mac 2012

403 Sekolah Rendah Terima Insentif BITB



Seramai 14,000 warga pendidik daripada 403 buah sekolah rendah seluruh negara menerima Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) 2011 dengan jumlah keseluruhan hampir RM15 juta.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penganugerahan BITB itu merupakan kemuncak kepada keupayaan pendidik berkenaan dalam mencapai sasaran yang telah ditetapkan melalui akad tawaran atau "bai'ah" iaitu menyahut seruan kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan.

Daripada 403 buah sekolah itu, sebanyak 300 sekolah kebangsaan, 46 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 51 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan sebuah sekolah Orang Asli menerima BITB, katanya.


"Apa yang membanggakan kita semua ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar juga nampaknya membuahkan kejayaan.

"Ini terbukti apabila sebuah sekolah orang Asli iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Cini, Pekan telah berjaya menerima ganjaran tawaran baru ini," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Tawaran Baru Guru Besar (TBGB) Khamis 15 Mac 2012.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan anugerah TBGB, yang mula dilaksanakan pada 2010, kepada 403 guru besar sekolah rendah yang melonjakkan kecemerlangan sekolah masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.

"Bagi tahun 2011, saya amat bersyukur kerana sasaran pemimpin sekolah yang layak menerima ganjaran iaitu sebanyak empat peratus telah tercapai. Dari 7,635 sekolah rendah seluruh negara sebanyak 403 buah sekolah telah berjaya menerima anugerah TBGB ini," kata Muhyiddin.

Beliau berkata pemimpin sekolah mesti mampu untuk berinteraksi dengan orang lain yang berbeza pandangan, memahami keperluan semasa dan masa hadapan negara serta berjaya mengelompokkan pelbagai pandangan berbeza menjadi satu idea mantap demi kemajuan pendidikan negara.

"Guru besar yang hebat ialah pengurus sekolah yang berjaya menyediakan jambatan antara dirinya dengan guru, staf sokongan murid, ibu bapa dan komuniti setempat.

"Mereka mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang mampu menggarap potensi yang ada dalam warga sekolah tersebut. Mereka juga mesti 'bertenaga' dan menggabungkan potensi sedia ada dengan dasar kerajaan dan visi serta misi sekolah," katanya.

Muhyiddin berkata ciri kepimpinan seperti 'humanist', berwawasan, strategik, komited, berterusan, dan berfokus kepada keputusan juga perlu ada dalam diri semua pemimpin sekolah.

Sumber: BERNAMA

2 comments:

Ayu berkata...

Guru mmg wajar dpt yg terbaik!

ch000tz berkata...

seharusnya begini dari dulu..