30 Mac 2012

Aplikasi Baru Google Maps Malaysia


Ciri baru pada aplikasi Google Maps. Ia dilengkapi dua panduan trafik dan transit berdasarkan masa sebenar. Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar.

GOOGLE Malaysia memperkenalkan tiga penambahan utama kepada Google Maps yang membolehkan pengguna di negara ini merancang dengan lebih baik perjalanan mereka dan mendapatkan maklumat semasa. Penambahan itu membabitkan dua lapisan baru, ‘Traffic’ dan ‘Transit’, serta antara muka dalam Bahasa Malaysia.

Pengurus Negara Google Malaysia Sajith Sivanandan berkata, dengan membuka lapisan ‘Traffic’ di Maps, pengguna boleh melihat dengan segera sama ada jalan raya sesak atau bergerak lancar berdasarkan kepada kod warna. Merah bagi jalan sesak, kuning bagi yang bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar. Lapisan baru ini memudahkan pemandu untuk merancang laluan alternatif ke destinasi mereka.

‘Transit’ menyediakan maklumat mengenai perjalanan menggunakan sistem pengangkutan awam Malaysia di Google Maps. Ia juga menawarkan pilihan lebih baik bagi pengguna Malaysia yang mahu mengelakkan kesesakan trafik dan pergi ke bandar dengan menggunakan pengangkutan awam.


Sajith berkata, data bagi ‘Traffic’ dan ‘Transit’ diperoleh daripada pelbagai sumber, termasuk, jabatan pengangkutan kerajaan dan penyedia data swasta. Sementara itu, Google Maps kini tersedia dalam bahasa Malaysia.

Versi Google Maps dalam bahasa Malaysia yang sudah lama ditunggu-tunggu itu memberikan pilihan kepada pengguna untuk mengemudi dan berantara muka dengan Google Maps, menggunakan bahasa yang mereka paling selesa.

“Penambahan baru ini adalah sejajar dengan misi Google untuk mengatur maklumat dunia dan menjadikan ia berguna dan boleh diakses sejagat, di samping mengukuh, menambah baik dan menyetempatkan produk dan perkhidmatan,” kata Sajith.

Sumber: BHarian

1 comments:

caliph shuriken berkata...

semakin menarik ni ^^