Nuff Atas

21 Mac 2012

Kemala Dianugerah Sasterawan Negara Ke-11


TUANKU ABDUL HALIM mengurniakan Anugerah Sastera Negara Ke-11 kepada Ahmad Kamal pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-11 di Hotel Istana, Kuala Lumpur.

Para sasterawan negara dicabar supaya menghasilkan karya-karya bermutu tinggi agar pengiktirafan yang diterima tidak hanya terhad di peringkat negara serantau sahaja, sebaliknya turut diakui di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelenggara Anugerah Sastera Negara Ke-11, Dr. Awang Sariyan berkata, langkah itu penting bagi menjayakan hasrat mengangkat sastera Melayu ke peringkat dunia.

“Sasterawan perlu sentiasa menghasilkan karya yang bermutu agar mereka dapat menjadi warga sastera dunia. Jadi pengiktirafan diterima juga tidak hanya di peringkat serantau, sebaliknya menjangkau ke peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-11 pada 20 Mac, 2011.

Pada majlis tersebut, tokoh sasterawan negara, Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (lebih dikenali dengan nama pena, Kemala) yang banyak menghasilkan puisi-puisi kerohanian dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara, sekali gus diangkat menjadi Sasterawan Negara Ke-11.


Anugerah tertinggi sastera itu dikurniakan kerajaan kepada sasterawan yang berkarya dalam bahasa Melayu dan memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya bermutu tinggi.  Ia juga sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian sasterawan dalam memperkukuh dan memartabatkan karya sastera kebangsaan.

Pemilihan anugerah dibuat berdasarkan penilaian mutu kerja sastera, sumbangan kreatif dan fikiran berkaitan dunia sastera dan kegiatan sasterawan secara berterusan yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera negara.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemala, 71 dipilih sebagai Sasterawan Negara kerana telah memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

‘‘Saya bersyukur kepada Allah kerana pada usia 71 tahun ini saya masih dikurniakan anugerah tertinggi dalam negara. Saya berjanji akan terus menghasilkan karya-karya menarik termasuk menulis untuk cerita pendek, puisi, cerpen dan menjadi aktivis dunia sastera,’’ katanya.

Muhyiddin pada 3 Mei tahun lepas semasa mengumumkan pemilihan Kemala sebagai penerima anugerah tersebut berkata Kemala telah menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 buah antologi puisi, 10 buku kajian sastera, empat buku kumpulan cerpen, lapan buah antologi cerpen, empat buah drama, tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera.

Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara. Karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

Anugerah itu melayakkan Ahmad Kamal menerima wang tunai RM60,000, Watikah Penghormatan Negara dan mendapat tajaan menerbitkan 50,000 naskhah karya beliau ( kos cetakan karya bernilai maksimum RM500,000)  untuk dibeli oleh kerajaan yang akan diedarkan di perpustakaan, sekolah dan agensi kerajaan.

Kemala yang dilahirkan di Gombak, Selangor juga pernah menerima Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Sebagai makluman, Pemenang Anugerah Sastera Negara Ke-10 dimenangi oleh Anwar Ridhwan pada 2009.

Sumber: Utusan, BERNAMABHarian

1 comments:

Norgadis Labuan berkata...

Tahniah kepada Kemala...