21 Mac 2012

Keputusan SPM 2011 (21 Mac 2012)

"TAHNIAH KEPADA SEMUA CALON SPM YANG BERJAYA DENGAN CEMERLANG"
(Untuk Maklumat Lanjut Sila Skrol Ke Bawah)



Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan pada 21 Mac 2012. Pengumuman analisis keputusan pula diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran pada hari yang sama.

Calon-calon mula mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi. Bagi calon persendirian keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri.

Keputusan juga boleh disemak menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888. Perkhidmatan itu diaktifkan mulai pukul 10 pagi 21 Mac hingga 12 tengah malam 27 Mac 2012.

Sumber: BERNAMA (15/3/2012)

559 Calon SPM 2011 Peroleh Semua A+

Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 403 pada tahun 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud berkata daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada tahun 2010.

"Pencapaian keseluruhan calon SPM 2011 bertambah baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 5.04, berbanding 5.19 pada tahun 2010," katanya pada majlis pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM pada 21 Mac 2012.

Seramai 468,808 calon mendaftar telah menduduki peperiksaan tersebut di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara pada tahun 2011.

Abd Ghafar berkata seramai tujuh calon memperoleh semua A+ dalam 12 mata pelajaran, 72 calon (11 mata pelajaran), 284 calon (10 mata pelajaran) dan 143 calon (sembilan pelajaran).

Jika dibandingkan dengan SPM 2010  calon memperoleh semua A+  adalah 47 calon  (11 mata pelajaran), 207 calon  (10 mata pelajaran) dan 105 calon (sembilan mata pelajaran).

Tahun lalu sebanyak 80 sekolah mencapai kategori Cemerlang iaitu pencapaian GPS 0.00 hingga 2.25 berbanding 67 pada 2010, 400 mendapat kategori Baik (GPN 2.26-4.50) berbanding 340 pada 2010.

Penurunan sebanyak empat dan 17 sekolah bagi kategori Memuaskan (4.51-6.75) dan Berpotensi (6.76-9.00) menunjukkan pertambahan baik kerana kebanyakan sekolah melonjak ke kategori lebih tinggi. Sebanyak 1,679 sekolah mencatat kategori Memuaskan berbanding 1,683 dan Berpotensi 49 berbanding 66 pada 2010.

Berdasarkan GPN, Abd Ghafar berkata keputusan SPM 2011 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata pencapaian GPN calon bandar dan luar bandar bertambah baik dengan calon bandar sebanyak 0.22 iaitu daripada 4.89 pada tahun 2010 kepada 4.67 pada tahun 2011 dan calon luar bandar sebanyak 0.13 iaitu daripada 5.52 pada tahun 2010 kepada 5.39 pada tahun 2011.

"Namun, jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar bertambah sebanyak 0.09," katanya.

Abd Ghafar berkata pencapaian sekolah pada keseluruhannya menunjukkan peningkatan dengan sekolah dalam kategori Cemerlang dan Baik masing-masing bertambah sebanyak 13 dan 60 buah manakala sekolah dalam kategori memuaskan dan berpotensi masing-masing berkurang sebanyak empat dan 17 buah.

Beliau berkata kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik, Memuaskan dan Berpotensi adalah berdasarkan indeks Gred Purata Sekolah (GPS).

Abd Ghafar berkata seramai 662 calon berkeperluan khas menduduki peperiksaan SPM pada tahun lepas dan seramai 343 calon berjaya mendapat sijil SPM berbanding 319 pada tahun 2010.

"Tiga calon rabun, seorang calon cacat pendengaran dan tiga calon lain-lain jenis kecacatan mendapat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

"Kejayaan tujuh calon berkeperluan khas ini menunjukkan semua calon, tanpa mengira kekurangan mereka, berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM," katanya.

Bagi pretasi mata pelajaran, Abd Ghafar berkata sebanyak 63 daripada 112 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, manakala 35 mata pelajaran menunjukkan penurunan prestasi.

Beliau berkata prestasi lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral bagi calon di bandar adalah jauh lebih baik daripada calon luar bandar.

"Bagaimanapun, prestasi mata pelajaran sains bagi calon di luar bandar adalah lebih baik daripada calon di bandar, iaitu 92.6 peratus berbanding 91.4 peratus," katanya.

Untuk memastikan peperiksaan SPM mendapat pengiktirafan antarabangsa, Abd Ghafar berkata Kementerian Pelajaran menggunakan pakar-pakar pentaksiran dari luar negara, iaitu Cambridge International Examinations (CIE), United Kingdom, Victoria Curriculum and Assessment Authority (VCAA) Australia dan London Chambers of Commerce and Industry (LCCI) United Kingdom.

"Para Pentaksiran yang hadir amat berpuas hati dengan proses penentuan standard, pembinaan instrumen dan pemeriksaan yang dilaksanakan dengan penuh profesionalisme dan kredibiliti.

"Mereka juga berpendapat bahawa semua proses itu menepati ciri-ciri pentaksiran pendidikan dan telah diurus secara sistemaik bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi," katanya.

Sumber: BERNAMA (21/3/2012) dan BHarian (22/3/2012)

Cemerlang Kerana Ibu Bapa Dan Guru, Kata Pelajar Terbaik

"Dorongan ibu bapa dan berkat tunjuk ajar guru telah membawa kejayaan keputusan cemerlang dalam keputusan saya," kata seorang pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Aisyah Yusairah Mohd Zaidi.

Aisyah Yusairah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad, Pokok Sena, Kepala Batas, memperolehi 11A+ iaitu gred cemerlang tertinggi dan beliau turut mengharumkan nama sekolah itu apabila muncul antara tiga pelajar terbaik peringkat negeri.

"Saya belajar seperti biasa secara berkumpulan dengan kawan sekelas, tetapi membuat nota khas yang ditampal di setiap ruang dalam almari pakaian di asrama untuk mudah dilihat.

"Masa menonton televisyen tetap ada termasuk tidak pernah melepaskan peluang menonton rancangan drama Korea bersiri, bersukan dan beriadah bersama teman," kata anak sulung daripada lapan beradik itu.

Aisyah yang merupakan anak pengurus kilang dan berasal dari Kajang, Selangor, bercita-cita menjadi jurutera kimia dan memilih untuk melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.

Sumber:  BERNAMA

Koding Berkata.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengurniakan segala rahmat. Tahniah kepada semua Calon SPM 2011 yang berjaya dengan cemerlang terutama yang berjaya memperolehi 5A dan ke atas.

Tahniah:
7A (Athirah Ayuni, Balqis, Fahmadiyana, Anis Athirah dan Nor Azira),
6A (Arina Balqis, Fatin Syahirah, Puteri Naseerah, Fahmi, Nurul Ain, Nurul Aisyah, Ilyana, Nurul Nadia dan Suzy Suhana),
5A (Lizawati, Shahira Atiqah, Izzati, Hafify. Nafasha, Yasmin, Haikal, Aimi Nadia, Annuryana, Nafis, Nurul Ashikin, Ashikin Emelia, Farahin, Alia Hafiza, Hamimifatin, Ruhila, dan Amirah Atikah)

Tahniah Puteri Serikandi: Peningkatan GPS 2.97 (SPM 2011), berbanding 3.87 (SPM 2010).

Tahniah juga kepada para guru yang berjaya mendidik dan membimbing pelajar-pelajar tersebut tanpa mengenal rasa jemu demi memastikan kecemerlangan mereka di dalam SPM.

Tahniah dan Terima kasih: Pn. Hanizah, Pn. Eriniwati, En. Fazil dan Pn. Normela. Teruskan usaha murni anda mendidik dan membawa kecemerlangan kepada semua. InsyaAllah.

Kepada semua pelajar, harus selalu ingat jasa guru. Tanpa guru kejayaan tersebut belum tentu akan menjadi kenyataan. Lakukanlah sujud syukur, lafazkan Alhamdulillah. Segala kejayaan berlaku kerana keizinan daripada Allah S.W.T.

Terima kasih kepada pelajar-pelajar kerana masih ingat dan tidak lupa untuk mengucapkan kata-kata penghargaan.....

"Terima Kasih Cikgu ......"

3 comments:

teha berkata...

21 pulak.. mule2 dngr 22.. hehe :)

Karen Monica berkata...

tahniah buat adik-adk yang berjaya dan harapnya adik-adik yang kurang berjaya tak akan give up untuk terus berjaya

anNaqia berkata...

tahniah utk semua. :)