21 Mac 2012

Muzium Mainan Bantu Si Kecil Sayangi Barang Permainan


Foto: Kosmo

Kanak-kanak dan barang mainan memang sukar dipisahkan. Namun bagi sesetengah mereka, setelah jemu dengan sesuatu mainan itu, ia akan dibiarkan begitu sahaja. Mungkin kunjungan ke Muzium Mainan Melaka yang terletak di Jalan Penghulu Abbas, Bukit Baru mampu membuatkan kanak-kanak lebih menghargai dan menyayangi barang mainan mereka.

Muzium ini menempatkan sebanyak 10,000 pelbagai jenis mainan yang disusun rapi di dalam tujuh ruang pameran. Antara koleksi mainan yang terdapat di muzium ini ialah patung watak dan kelengkapan dari filem Superman, Hellboy, Spawn, Six Million Dollar Man, Iron Man, Transformers, Avatar dan Freddy Krueger.




SAYANGKAN MAINAN

Dengan slogan 'Sayangkan Mainan Kita Untuk Dinikmati Semua' muzium ini mampu membuka minda kanak-kanak untuk menjaga barang mainan mereka dengan baik.

Pemilik muzium, George Ang, 45, berkata lawatan ke muzium itu mampu merangsang pemikiran kanak-kanak dengan melihat barang mainan dari sudut berbeza.

"Mereka boleh menggunakan imaginasi untuk mewujudkan suatu situasi pada mainan mereka," katanya.

Katanya, kanak-kanak yang mengunjungi muzium ini pada mulanya pasti teruja dan ingin menyentuh dan mengambil mainan yang dipamerkan namun dengan sedikit perhatian dan penerangan oleh ibu bapa, mereka akan mula menghargai dan mengkagumi mainan berkenaan.

Menurut Ang, beliau sendiri sering memberi nasihat kepada pengunjung kanak-kanak agar menjaga mainan mereka supaya sentiasa berkeadaan baik dan dapat digunakan untuk satu tempoh yang lebih lama.

"Jika sesuatu mainan itu unik dan sukar diperoleh, ia mempunyai nilai yang tinggi pada masa depan dan boleh membawa keuntungan kepada pemiliknya," tambahnya.



MINAT

Mengimbas kembali mengenai penubuhan muzium itu, Ang berkata ia bermula dengan minatnya pada filem Star Wars yang menjadi fenomena layar perak sejak ditayangkan pada 25 Mei 1977. Bagaimanapun keluarga Ang tidak mampu membeli barang mainan watak dari filem itu untuknya.

Katanya, selepas memperoleh pekerjaan di sebuah syarikat pengiklanan di Kuala Lumpur lebih 20 tahun lepas, beliau mula mengumpul mainan watak dari filem Star Wars serta filem lain untuk dijadikan koleksi.

"Memang tidak terlintas dalam fikiran saya pada masa itu untuk membuka sebuah muzium khusus untuk mainan tetapi saya memang menjaga mainan-mainan ini dengan baik kerana ia hasil titik peluh saya. Lagipun masa kecil saya tidak ada mainan ini," kata bapa kepada tiga anak itu.

Ang yang kini menetap di Melaka berkata kesemua barang mainan itu pada mulanya disimpan di dalam bilik stor rumahnya sehingga tidak lagi mempunyai ruang untuk koleksi baharu.

Menurut Ang, keluarga dan rakan kemudian mencadangkan agar beliau mewujudkan sebuah muzium khas untuk semua mainan itu yang akhirnya membawa kepada pembukaan muzium mainan di sebuah premis di Jonker Walk di sini pada tahun 2009 sebelum berpindah ke Jalan Penghulu Abbas pada Ogos tahun 2011 lepas.

Katanya koleksi mainan di muzium itu kebanyakkan dibeli di kedai permainan di ibu negara dan Melaka selain belian secara talian dan sumbangan orang ramai.



CABARAN

Pembukaan muzium mainan di sini pada tahun 2009 merupakan muzium kedua seperti itu di negara ini selepas muzium seumpamanya diwujudkan di Pulau Pinang.

Beliau berkata pada awal pembukaannya muzium itu tidak mempunyai ramai pengunjung dan menyebabkan beliau menghadapi masalah kewangan yang serius untuk mengekalkan operasinya. Selain itu, katanya, terdapat pengunjung yang tidak berpuas hati dengan jumlah koleksi mainan yang dipamerkan di muzium berkenaan.

Katanya beliau hampir berputus asa, namun galakan dan sokongan keluarga dan rakan-rakan membuatkannya mampu bertahan sehingga sekarang.

"Paling menguatkan keazaman saya ialah apabila melihat kanak-kanak dan keluarga mereka gembira apabila datang ke muzium ini," katanya.

Malah, katanya, terdapat pengunjung termasuk daripada luar negara yang turut mempunyai minat mengumpul mainan, sanggup menyumbangkan koleksi peribadi mereka untuk dipamerkan.



BANTU

Sementara itu, Ang berharap dapat membesarkan lagi muzium yang sedia ada bagi memberi lebih kepuasan kepada pengunjung dalam menikmati koleksi mainan yang dipamerkan.

Katanya muzium di premis yang disewa di Jalan Penghulu Abbas pada masa ini tidak dapat menampung kesemua koleksi mainan selain tidak mempunyai banyak ruang untuk beliau menonjolkan kreativiti dalam mempamerkannya.

"Saya harap kerajaan negeri Melaka dapat membantu khususnya dalam memberi tapak lebih besar kepada muzium ini yang mampu membantu meningkatkan industri pelancongan di negeri ini," katanya.

Pada masa ini, katanya, beliau ada menerima galakan dan bantuan promosi daripada Tourism Malaysia.

Oleh Kamarul Irwan Alias
Sumber Artikel: BERNAMA
Sumber Foto: melakatoymuseum.blogspot.com

3 comments:

Hudalatip berkata...

bagus betul ada muzium mainan ni kan..at least tau menghargai mainan dan hargai duit yang dah dibelanjakan.

caliph shuriken berkata...

sesetengah menan berbaloi klau simpan ^^

anNaqia berkata...

menarik btol muzium ni. :)