20 Mac 2012

KDSF 'Bantu' Anak Sindrom Down

"SELAMAT MENYAMBUT HARI SINDROM DOWN SEDUNIA (21 MAC 2012)"

Sindrom Down adalah satu masalah genetik melibatkan kromosom badan manusia yang merencat perkembangan fizikal, intelektual dan pertuturan. Menurut statistik terkini, kebarangkalian sindrom ini di Malaysia adalah satu dalam setiap 660 kelahiran.



Loceng dibunyikan tepat pukul 8 pagi dan tiba-tiba bangunan tiga tingkat itu menjadi 'sepi'. Bunyi loceng itu menandakan bermulanya kelas sesi pagi bagi anak di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC), yang terletak di hujung Jalan Jenjarom, Petaling Jaya dekat sini.

Tiga jam kemudian, deringan loceng akan berbunyi sekali lagi menandakan berakhirnya sesi kelas pagi. Guru dan juruterapi akan berehat selama satu jam sebelum menyambung semula tugas mereka bagi sesi kelas petang pada pukul 1 tengah hari.

Itulah senario setiap hari dari Isnin hingga Jumaat (8 pagi-5 petang).


KEBAJIKAN ANAK SINDROM DOWN

Pengarah Operasi KDSF-NC, Angie Heng, menjelaskan bahawa institusi ini komited bagi kebajikan anak Sindrom Down.

"Fokus utamanya adalah pelajaran anak Sindrom Down di bawah umur enam tahun. Selain meningkatkan kesedaran awam terhadap Sindrom Down, KDSF-NC juga memberi tumpuan terhadap mengekalkan serta pembaikan program Pendidikan Khas, melatih Pendidikan Keperluan Khas selain memberi kaunseling kepada keluarga yang mempunyai anak Sindrom Down," kata beliau memberitahu Bernama.

KDSF-NC juga mempunyai pusat sumber yang komprehensif untuk maklumat mengenai Sindrom Down dan peralatan bantuan Pendidikan Khas.

"Kami mempunyai Program Stimulasi Bayi (ISP), Program Toddler (TOD) dan Program Pendidikan Khas (SEP)," jelas Heng.

ISP adalah untuk anak berumur dari dua bulan hingga dua tahun.

"Program ini adalah untuk menguatkan kelemahan fizikal (otot) melalui fisioterapi dan terapi gerak kerja bagi membantu anak itu mencapai matlamat awal seperti berupaya merangkak, mencari serta bermain objek, mempunyai refleks yang lebih baik selain kebolehan memori dan imitasi bunyi," kata beliau.

Bagi TOD (umur dua hingga empat tahun), Heng berkata, program itu dibina berdasarkan pencapaian kebolehan anak, bagi membantu anak itu mengikuti pendidikan seterusnya.

"Penekanan adalah pada pengembangan kebolehan yang lain seperti pertuturan peringkat awal, pra-akademik, penceritaan, muzik serta menyukai lukisan, semuanya dalam skop keceriaan dan permainan," kata beliau.

Bagi SEP (empat hingga enam tahun), program adalah bagi mengukuhkan kebolehan yang dipelajari seperti menghalusi kebolehan Motor Kasar dan Halus, Pra Akdemik dan Pertuturan selain kebolehan Bantu Diri dan Skil Sosial. Heng menjelaskan bahawa skil-skil ini memberi persediaan kepada anak Sindrom Down untuk memasuki alam persekolahan rendah.

Terdapat 16 guru terlatih dalam pendidikan khas, dua juruterapi fizikal serta satu juruterapi gerak kerja di KDSF-NC.

METODOLOGI PENGAJARAN

Kata Heng lagi, KDSF-NC mengamalkan konsep 'belajar melalui bermain' yang terbukti ia adalah satu suasana yang dapat merangsangkan anak istimewa.

"Kami merancang secara berterusan pelbagai aktiviti bagi anak di sini. Keutamaan adalah penglibatan dalam aktiviti stimulasi dan permainan yang bermakna serta penglibatan aktif dalam pelajaran," kata beliau.

Kaedah lain adalah belajar dalam kumpulan dan sesi 'satu dengan satu' (seorang guru akan bersama satu anak dalam sesi).

"Aktiviti kami juga dijalankan dalam sesi berkumpulan dan sesi satu dengan satu. Dalam sesi berkumpulan, anak itu belajar untuk bergilir, berupaya berinteraksi secara sosial dan mempunyai peluang berkomunikasi dengan rakan dan guru," kata beliau.

Sesi satu dengan satu dijalankan berasaskan pelan pengajaran individu anak itu. Keutamaan akan diberi kepada anak itu untuk mencapai matlamat pendidikan khas.

SKIL BELAJAR

Menurut juruterapi gerak kerja KDSF-NC, Nazahiyah Abdullah, Skil Belajar termasuklah Skil Motor Kasar di mana anak diberi latihan fizikal bagi menguatkan keseimbangan dan koordinasi badan mereka.

Aktiviti fizikal seperti berenang boleh membantu anak dalam gerak motor. Katanya, Skil Motor Halus bergantung kepada keberkesanan Skil Motor Kasar.

"Anak akan diajar koordinasi mata serta tangan seperti melekatkan kad dan memasukkan benang melalui manik. Mengenai Skil Pra-Akademik, anak diajar mengasingkan objek mengikut warna dan bentuk selain mengatur gambar," kata beliau.

Lokasi KDSF-NC ialah di Lot 13490 Jalan Jenjarum, Off SS23/1, Taman Sea, 47400 Petaling Jaya, Selangor. Atau hubungi 03-7803 0179 (Faks: 03-7806 4862). Keterangan lanjut boleh layari www.kdsf.org.my (email:info@kdsf.org.my).

Oleh Zulkiple Ibrahim
Sumber: BERNAMA (17 Mac 2012)

0 comments: