26 Mac 2012
Pedro Pimentel Dipenjara 6,060 Tahun
BOLEHKAH seseorang itu hidup lebih seribu tahun? Jangan katakan 1,000 tahun, 100 tahun pun hanya segelintir manusia yang mampu mencapainya, inikan pula 6,060 tahun. Namun 6,060 tahun adalah jumlah hukuman penjara yang dijatuhkan oleh sebuah mahkamah Guatemala ke atas seorang bekas anggota pasukan khas tentera di negara tersebut.
Hukuman tersebut dijatuhkan ke atas Pedro Pimentel, 55, ekoran daripada penglibatannya dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai 'Las Dos Erres' pada 1982 di sebuah perkampungan di utara Guatemala yang menyebabkan 201 nyawa terbunuh. Pembunuhan ngeri itu dikatakan sebagai kemuncak keganasan konflik berdarah di negara Amerika Tengah tersebut.
Begitupun, panjangnya tempoh pemenjaraan itu sebagai simbolik semata-mata kerana undang-undang Guatemala hanya membenarkan seseorang penjenayah dipenjarakan maksimum 50 tahun.
Lelaki berbadan tegap itu merupakan bekas anggota pasukan tentera elit Guatemala dikenali sebagai 'kaibiles' yang kelima dihukum penjara dalam tempoh yang begitu panjang berikutan peranannya dalam peristiwa berdarah berkenaan.
Dia sebelum ini melarikan diri dan menetap di Santa Ana, California selepas berakhirnya perang saudara pada 1996. Di negara Uncle Sam itu, dia bekerja di kilang menghasilkan baju panas selama beberapa tahun sebelum diberkas oleh pihak Imigresen pada Mei 2010.
Lelaki itu kemudian diekstradisi ke Guatemala pada tahun lalu sebelum disusuli dengan pendakwaan di mahkamah atas tuduhan membunuh dan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan. Pimentel dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bagi setiap mangsa yang terbunuh dalam serangan tersebut dan penjara 30 tahun bagi jenayah terhadap kemanusiaan.
Seorang bekas tentera yang turut terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai itu sebelum ini dalam keterangannya menyatakan bahawa Pimentel menyertai kumpulan 20 anggota tentera yang menyerbu rumah-rumah di sebuah kampung di Dos Erress pada Disember 1982 untuk mencari senjata-senjata api yang hilang.
Dalam menjalankan misi mereka, anggota-anggota tentera itu bertindak menutup mata penduduk-penduduk kampung sebelum menjerut leher dan memukul mereka dengan tukul besi sehingga mati. Mayat mereka kemudian dibuang ke dalam sebuah perigi sedalam 15 meter.
Berdasarkan dokumen mahkamah, kaum wanita dan anak gadis turut dirogol sebelum dibunuh dengan kejam.
Guatemala membuka siasatan terhadap pembunuhan tersebut pada 1994 dan menemui 162 rangka manusia. Beberapa tahun kemudian, pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap ke atas 17 kaibiles tetapi perkembangan kes itu bergerak dengan lembap.
Pimentel yang kini rambutnya telah beruban menafikan kehadirannya semasa pembunuhan tersebut, sebaliknya menyatakan dia beredar meninggalkan kawasan itu pada November 1982 untuk menyediakan borang pendaftaran School of the Americas di Panama.
Perintah mahkamah itu dijatuhkan ketika Guatemala berusaha untuk membersihkan kekejaman ekoran perang saudara dari 1960-1996 yang membabitkan lebih 200,000 orang mati atau hilang.
Pada Ogos tahun lalu, seorang hakim menjatuhkan hukuman penjara dengan jumlah yang sama, iaitu 6,060 tahun bagi setiap empat bekas anggota tentera khas itu ekoran kejadian pembunuhan beramai-ramai Las Dos Erres.
Anggota tentera elit negara itu yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) bertanggungjawab ke atas sebahagian besar kematian, berdasarkan penemuan suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat tentang pertumpahan darah tersebut.
Oleh AMIRUDDIN HARUN
Sumber: Utusan
Labels:
Luar Negara
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments:
lama sungguh tempoh hukuman dikenakan..simbolik betoii
peh....
baik kata je penjara seumur hidup.....
mak aih..tulah baik seumur hidup je..keke
Catat Ulasan