16 Mac 2012

Seorang Amah Indonesia Untuk Satu Tugas



Amah dari Indonesia yang akan mula dihantar ke Malaysia bulan April 2012 depan hanya akan melakukan satu tugas khusus di rumah majikan mereka dengan gaji minimum RM700. Ini bermakna, seandainya seorang amah diupah untuk mengasuh bayi, tugasnya hanyalah mengasuh bayi dan tidak akan melakukan kerja-kerja rumah yang lain.

Sehubungan itu, bakal majikan di Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan kepada seorang amah sahaja untuk melakukan semua kerja di rumah mereka.

Keputusan itu dicapai hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia yang menetapkan penghantaran Tenaga Kerja Indonesia (TKI) akan mengikut kemahiran masing-masing dalam empat bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah


Menurut Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr. Reyna Usman, penetapan empat bidang khusus itu dibuat sebagai langkah memastikan amah yang dihantar ke Malaysia benar-benar terlatih.

Pada masa sama, keputusan itu juga jelas beliau, dilakukan, bagi menyenangkan majikan di Malaysia yang sering berhadapan dengan masalah pembantu rumah.

Selama ini, jelas Dr. Reyna, amah yang dihantar ke Malaysia tidak profesional dan melakukan semua kerja rumah sehingga menyebabkan majikan mudah marah kerana pembantu berkenaan tidak terlatih.

"Seorang TKI yang dihantar ke Malaysia akan menjalankan satu tanggungjawab sahaja. Kalau dia diperlukan untuk menjaga anak, maka jaga anak sahajalah. Tetapi kalau majikan mahukan TKI melakukan kesemua empat tugas khusus itu maka mereka harus mengambil empat TKI melakukan kerja-kerja itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan JTF Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta ejen pembantu rumah asing Malaysia.

Bagaimanapun, untuk menguasai kemahiran dalam setiap empat bidang khusus tersebut, Dr. Reyna menjelaskan, kesemua amah harus mengikuti latihan selama 200 jam di pusat bimbingan yang diiktiraf oleh pemerintah Indonesia. Latihan selama 200 jam berdasarkan bidang khusus itu dijangka selesaikan dalam tempoh 21 hari .
Menurutnya, kedua-dua JTF juga bersetuju kos pengambilan pembantu rumah ditetapkan pada RM4,511 dan majikan hanya boleh mengambil balik RM1,800 yang dibayar terlebih dahulu bagi pihak pekerja mereka kepada agensi pekerjaan.

Persetujuan lain yang turut dicapai kata beliau, ialah pembantu rumah akan diberi satu hari cuti setiap minggu serta dibenarkan menyimpan pasport sendiri.

Pemerintah Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Pembekuan sementara itu ditarik balik pada 1 Disember 2011 lalu, susulan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun 2011 lalu.

Sumber: Utusan

Tambahan RM108 Sebulan Jika Kerja Tanpa Cuti

Majikan Malaysia perlu membayar upah lebih masa RM27 sehari bekerja jika memerlukan khidmat pembantu rumah Indonesia pada hari cuti rehat mingguan mereka. Jika mereka bekerja penuh sebulan tanpa mengambil cuti mingguan, bererti majikan perlu membayar upah lebih masa berjumlah RM108, sebagai tambahan kepada gaji bulanan mereka.

Perkara ini dinyatakan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman.

Sumber: BERNAMA

Tiada pindaan MoU mengenai pengambilan amah

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, berkata tiada sebarang pindaan dilakukan terhadap memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia antara kerajaan Malaysia dan Indonesia setakat ini.

Beliau berkata, MoU antara Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Tenaga Buruh Indonesia yang termaktub pada November 2011 lalu masih kekal.

"Namun sekiranya ada pindaan dilakukan, perkara berkenaan akan diumumkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam," katanya.

Maznah mengulas laporan yang memetik Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, berkenaan gaji minimun RM700 kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Reyna berkata, keputusan itu adalah antara persefahaman yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia.

Mengulas lanjut, Maznah berkata kementeriannya tidak menerima sebarang usul rasmi dari kerajaan Indonesia berhubung permohonan gaji minimum RM700 kepada pembantu rumah mereka yang bekerja di negara ini.

"Apa yang kita tahu, MoU itu (sebelum ini) bahawa bayaran dan upahan adalah mengikut pasaran, sudah termaktub dalam MoU Disember 2011 yang kita tandatangani semula. Yang penting apa mesti dibuat melalui jawatankuasa task force dibawa ke jawatankuasa induk, selagi tak sampai pada kami (kementerian), tiada apa-apa perubahan," katanya.

Sumber: BHarian

Indonesia Tarik Balik Satu Amah, Satu Tugas

Semua amah dari Indonesia yang bakal dihantar bekerja di negara ini tidak lagi terikat dengan tuntutan hanya melakukan satu tugas khusus dalam empat bidang iaitu mengemas rumah, memasak, mengasuh bayi dan menjaga orang tua seperti yang dituntut oleh republik tersebut sebelum ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam dengan menyatakan, kerajaan Indonesia telah membatalkan tuntutan syarat pembantu rumah dari negara itu hanya melakukan satu tugas khusus serta tuntutan upah tambahan jika bekerja pada hari cuti mingguan.

“Pembantu rumah Indonesia akan menjalankan tugas seperti biasa seperti mengurus rumah, memasak, mengasuh bayi atau menjaga orang tua dan bukan terikat dengan satu tugas khusus seperti yang diusulkan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia sebelum ini.

“Mengenai gaji pula, memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui antara kedua-dua negara berhubung pengambilan amah dari Indonesia pada Mei 2011 tidak menetapkan gaji minimum sebaliknya terpulang kepada budi bicara majikan,” katanya.

Menurut Subramaniam, penarikan balik tuntutan bahawa amah dari Indonesia tidak lagi terikat hanya pada satu tugas itu diberitahu oleh rakan sejawatnya dari Indonesia iaitu Dr. Reyna Usman melalui telefon.

Sumber: Kosmo
Kemaskini 22 Mac 2012

1 comments:

ch000tz berkata...

amah saya dtg 2mggu skali ajer takyah stay kat umah...murah dan mudah...RM10 ajer sejam hhehehe